Loading...
Sunday, March 9, 2014

‘Bukan kawan tapi kekasih’

Soal kekasih tidak pernah menjadi rahsia buat pelakon Siti Saleha. Aktres jelita kacukan Melayu-Inggeris ini memang sangat terbuka tatkala berbicara soal peribadi.
Tanpa berselindung, pelakon yang mempunyai nama penuh kemelayuan ini akui hatinya dimiliki jejaka yang dikenali sejak lapan bulan lalu.
Namun hanya setakat itu yang mampu dikongsi kerana dia berasakan perincian dengan siapa dia berkawan dan siapa teman lelakinya adalah bersifat peribadi.

“Kalau orang tanya sudah ada ‘boyfriend’, saya mengaku sudah ada, tapi siapa dia, bagaimana rupa dan kerjayanya, saya rasa masyarakat tidak perlu tahu.

“Saya tidak suka bila orang bertanya, mengaku ‘hanya kawan’. Bagi saya, ia menipu orang sekeliling, terutama apabila berdepan ahli keluarga. Kenapa nak tipu dan cakap hanya kawan?” katanya jujur ketika bersantai di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.
Saleha yang hanya dapat bersama rombo­ngan media pada hari kedua kerana mengalami demam panas, tidak menjadikan masalah kesihatan sebagai alasan untuk memerap dalam bilik sepanjang bersama rombongan AirAsia ke kota kedua terbesar Thailand selepas Bangkok. 

Dia seboleh mungkin tidak mahu ketinggalan mengikuti jadual yang disusun selepas keting­galan melawat beberapa tempat menarik pada hari pertama.

Antaranya, Muzium Ukiran Kayu Ban Roi An Phan Yang yang diusahakan pesara guru untuk melihat beberapa ukiran kayu berusia ratusan tahun pelbagai bentuk dihasilkan daripada pelbagai jenis kayu tempatan.

Pada hari kedua, baru Saleha memberi komitmen sepenuhnya kepada hampir setiap aktiviti di­atur agensi pelancongan kelolaan Amazing Thailand dan AirAsia.

Dia yang kini membintangi drama bersiri Aku Ada Wali di TV Alhijrah akui sering membawa teman lelakinya keluar bersama kawan dan bertemu keluarganya.

Katanya, teman lelakinya berusia 27 tahun berketurunan Serani Portugis itu sangat ringkas, cuma tidak terlalu terbuka di depan kamera atau acara hiburan.

Walaupun Saleha mendakwa teman lelakinya bukan kuat cemburu, pernah berlaku situasi mereka menonton satu drama lakonannya dan kekasihnya terkejut dengan adegan mesra membabitkannya.

“Saya terkejut kerana dia memberi reaksi tidak selesa tetapi selepas dijelaskan jenis watak dibawa, dia dapat terima sepenuhnya. Kali pertama dia menonton drama lakonan saya ialah telefilem Luh Mahfuz selepas beberapa bulan kami berkenalan.

“Dia jujur apabila mengkritik dan akui kagum dengan lakonan saya. Dek kejujurannya itu, saya selesa dengannya,” kata Saleha yang bakal muncul dengan filem Mamak Cupcake, Tujuh dan Bravo 5 tidak lama lagi.

Saleha turut bercerita mengenai keinginan memberi tumpuan kepada lakonan di layar perak pula. Katanya, dia lebih selesa menerima tawaran berlakon telefilem kerana faktor masa dan keperluan kepelbagaian sebagai pelakon.

Antara impiannya ialah berlakon memegang watak aksi kerana mahu mencabar diri, contoh terbaik seperti aktres Angelina Jolie dalam Tomb Raider atau Mr and Mrs Smith.

Berkongsi pengalamannya sepanjang di Chiang Mai, Saleha berkata, pengalaman paling tidak dapat dilupakan ialah kunjungan ke Kem Gajah Maesa dan Flying Squirrels apabila berpeluang melakukan aktiviti lasak ‘flying-fox’ dan melihat gelagat gajah membuat persembahan unik.

“Saya tidak pernah melakukan aktiviti lasak seperti itu. Baya­ngkan bergayut pada ketinggian berpuluh meter pada kabel sepanjang 600 meter, siapa yang tak takut.

“Walaupun demam, saya tetap teruja melakukannya. Demam terus hilang sebaik menamatkan semua 26 ‘pit-stop’ di situ,” katanya gembira.

Siti Saleha juga teruja dapat menyaksikan dan bermesra dengan gajah yang jinak. Di kem itu, semua gajah tidak dikurung, sebaliknya dilepaskan semula ke hutan belantara selepas tamat masa melawat.

Keadaan ini memberi ruang kepada gajah bergerak bebas tanpa dikongkong atau ‘naik minyak’ kerana tekanan akibat kurungan dan layanan kejam manusia tidak bertanggung-jawab.

Gajah di situ juga diberi rawatan kelas A dengan wujudnya hospital verterinar serta diberi vitamin dan makanan sihat. Pada sebelah malam, Saleha menikmati kemeriahan pasar malam Wualai untuk membeli-belah barangan cenderamata, terutama produk tempatan, pada harga berpatutan. Antara yang sempat dibeli ialah anting-anting dan beberapa produk kraf lain.

Rombongan media seramai 10 orang dianjurkan AirAsia berlepas ke Chiang Mai menaiki pesawat AirAsia dari Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang pada 27 Februari lalu dan pulang ke tanah air dengan pesawat AirAsia pada 2 Mac.

Sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai, rombongan dibawa ke Hug You Sheep Farm di Lampang, hampir 100 kilometer dari pusat bandar.

Rombongan berpeluang menikmati suasana ala ladang biri-biri di New Zealand di samping merasai produk berasaskan haiwan itu termasuk aiskrim, losen dan krim plasenta untuk kecantikan.

Dari ladang ternakan biri-biri, rombongan dibawa ke pekan Lampang menaiki kereta kuda mengelilingi pekan. Ia kenderaan utama digunakan masyarakat Lampang satu ketika dulu dan hingga kini kenderaan itu masih digunakan, tetapi menjurus kepada aktiviti pelancongan dan membawa produk pertanian dan kraf untuk dijual di pekan.

Selepas hampir sejam di sana, rombongan dibawa pula ke perkampungan kraftangan di Ban Tawai yang menjalankan perusahaan ukiran kayu untuk melihat perusahaan seni halus masyarakat desa Ban Tawai.

Lokasi menarik lain ialah Taman Diraja Ratchapruek, taman bunga yang mempunyai pelbagai spesies bunga, termasuk 44 jenis orkid, pokok bonsai, tanaman herba, termasuk 500 jenis flora tempatan dan luar negara.

Pada sebelah malam, rombongan melawat Chiang Mai Night Safari yang menyediakan pelbagai spesies haiwan dari seluruh dunia dan kebanyakan haiwan dibiar bergerak secara terbuka, sekali gus memberi pengalaman baru kepada pengunjung melihat aktiviti haiwan pada waktu malam.

Di zoo ini, haiwan bergerak bebas dan hanya dipisahkan kepada beberapa bahagian me-ngikut keperluan masing-masing.

Pengunjung ibarat berada dalam filem Jurassic Park arahan Steven Spielberg di mana haiwan dan manusia boleh berinteraksi antara satu sama lain.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP