Loading...
Friday, March 7, 2014

Tidak tiru Anuar Zain

JAUH di sudut hati, Arja Lee mahu menjadikan bidang nyanyian sebagai karier utama.
Kelibat Arja Lee dalam industri seni bukan baharu. Malah, boleh dikatakan dia salah seorang aktor yang mempunyai bakat lakonan yang cukup baik.
Pelbagai watak telah dilakonkan dan semuanya mendapat sambutan baik daripada penonton.
Sebut sahaja filem kontroversi Anu Dalam Botol, pasti ramai yang akan terkesan dengan lakonan mantapnya sebagai seorang mak nyah.
Tetapi, bidang lakonan bukanlah sesuatu yang menjadi impian buat Arja Lee. Sebaliknya, dia lebih mengimpikan untuk menjadi seorang penyanyi. Satu cabang seni yang membuat ramai orang tertanya-tanya.
Terus mengejar impian, Arja Lee baru-baru ini melancarkan single pertamanya berjudul Cerita Pada Mereka yang berentak balada.
Mendengar buat pertama kali, sudah ada yang mengatakan bahawa rentak dan gaya penampilan Arja Lee menerusi single itu seakan-akan sama dengan penyanyi Anuar Zain.
Tidak terkejut ketika ditanya mengenai perkara itu, Arja Lee sendiri sudah dapat mengagak bahawa perbandingan itu akan dilakukan.
“Daripada awal lagi Alfa Booty yang menyusun lagu ini sudah bertanya kepada saya, tidak takutkah lagu ini dikatakan seperti Anuar Zain.
“Selepas mendengar penyampaian saya, bolehlah dibuat kesimpulan bagi mereka yang mendengar sekali imbas, mungkin akan mengatakan ia seakan-akan sama dengan Anuar Zain.
“Tetapi bagi mereka yang mempunyai pengetahuan dalam bidang muzik, mereka tahu apa yang membezakan antara saya dan Anuar Zain," katanya.
Malah, Arja turut menegaskan bahawa dia tidak mahu menjadi Anuar Zain kedua.
“Daripada segi konsep dan imej, mungkin saya dan dia mempunyai selera dan cita rasa yang sama. Itu yang menampakkan lagi seolah-olah saya sama seperti dia.
“Lagipun, penyanyi kita yang tampil dengan imej sut penuh tidak ramai. Di luar negara, sudah ramai yang berpenampilan begitu.
“Malah, saya sendiri ketika ditanya oleh Alfa Booty, saya cakap pada dia, saya tidak mahu lagu saya seperti Anuar Zain. Lagipun, saya masih baharu dah Anuar Zain sudah mencapai tahap yang tinggi," ujarnya.
Jelas Arja, arwah ibunya, Salmah Aziz menjadi penguat semangat untuknya terus bertahan dan bergelar seorang penyanyi.
“Ibu banyak memberi kata-kata semangat kepada saya dan setiap butir bicaranya menjadi penguat semangat untuk terus menjadi yang terbaik dalam industri ini," jelasnya yang menangis ketika sesi pelancaran singlenya dek terkenangkan arwah ibunya.
Belum bercinta, tetapi berkawan rapat
Ketika ditanya mengenai kehidupan peribadinya, Arja Lee tidak kedekut untuk berkongsi dan mengakui sedang mengenali seorang aktres wanita bernama Shima Anuar.
Menurutnya, dia mula mengenali wanita itu kira-kira setahun yang lalu semakin lama, hatinya mula menyukai wanita itu.
“Jujurnya, saya memang suka dengannya dan merasakan bahawa dia juga menyimpan perasaan yang sama dengan saya.
“Tetapi kalau hendak mengatakan kami bercinta itu, saya sendiri masih takut untuk mengatakan ya kerana kami belum bercakap apa-apa tentang itu," jelasnya.
Tidak mahu terburu-buru untuk menamatkan zaman bujangnya, jelas jejaka ini, sasarannya untuk berkahwin mungkin di usia 33 tahun.
“Umur saya dah menginjak ke usia 30 tahun dan tipulah kalau saya katakan tidak mempunyai hasrat langsung untuk bergelar seorang suami.
“Tetapi memandangkan single saya pun baharu keluar, lebih baik saya fokus kepada kerjaya seni dahulu, baik daripada segi lakonan mahupun nyanyian.
“Lagipun, saya sendiri mempunyai tanggungjawab yang perlu dilunaskan terlebih dahulu terhadap keluarga dan mahu mengukuhkan ekonomi saya terlebih dahulu," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP