Loading...
Tuesday, October 22, 2013

Noreen Noor selamat dikebumikan

JASIN 22 Okt. - Jenazah pelakon dan penyanyi terkenal pada era 1980-an, Noreen Noor selamat dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulai, Merlimau, di sini hari ini.
Allahyarham Noreen atau nama sebenarnya, Noraini Mohamad Noor, 52, meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri kira-kira pukul 5.50 pagi akibat komplikasi buah pinggang dan jantung.
Jenazah yang dibawa dari Kuala Lumpur tiba di kampungnya kira-kira jam 10.40 pagi terus dimandi dan dikapankan oleh kaum keluarganya sebelum disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Pulai selepas solat Zohor.
Turut mengiringi jenazah ialah anak lelakinya, Danial Baharuddin, 22, dan anak angkatnya, Diyana Tihani serta bekas suaminya, Baharuddin Ngah.
Antara rakan seperjuangan Allahyarham yang hadir ialah Norshila Amin, Siti Fairuz Hussin, Salwa Abdul Rahman, Azizul Khamis dan komposer, Eddie Hamid.
Jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 1.40 petang.
Norshila berkata, dia masih terkejut dengan berita pemergian sahabat karibnya itu yang dikenali sejak 23 tahun lalu.
Menurutnya, Noreen merupakan sahabat yang manja dan pemurah serta pemberi semangat kepada rakan-rakan lain sepanjang penglibatan dalam dunia seni selain seorang anak bertanggungjawab kerana sanggup berhabisan duit untuk membiayai rawatan ibu bapanya.
"Sehingga sekarang saya masih terkejut dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar bagi kami kerana dia sahabat yang menyenangkan.
"Kali terakhir kami bertemu ketika bergandingan dalam sebuah rancangan pada Hari Raya Aidilfitri lalu, namun kami sentiasa berhubung di laman sosial Facebook dan telefon," katanya.
Noreen pernah popular dengan lagu Siang Terbayang Malam Merindu selain popular di layar perak dengan filem pertama lakonannya, Talak diterbitkan tahun 1980.
Antara filem lain yang pernah dibintanginya adalah Hantu SiangWira Angkasa dan Pelumba Malam.
Sementara itu, sahabat Allahyarham, Halimahtun Abdul Jalil berkata, dia pernah menawarkan diri membawa arwah ke hospital namun arwah menolak kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa.
"Saya terkejut apabila mengetahui arwah memandu sendiri sambil ditemani Diyana ke hospital dan saya dimaklumkan beliau nazak awal pagi ini," katanya.
Tambahnya, arwah menunjukkan perubahan sikap sejak seminggu lalu selepas tidak mahu bertemu sesiapa.

Pelakon, penyanyi popular era 1980-an, Noreen Noor meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang, jantung

“Ibu pandu kereta ke hospital kira-kira jam 10 pagi (kelmarin). Saya tidak sangka ibu mampu memandu dalam keadaan dirinya yang sakit,” kata Daniel Baharuddin, 22, anak penyanyi dan pelakon, Allahyarham Noreen Noor yang meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, akibat komplikasi buah pinggang dan jantung, kira-kira jam 5.50 pagi semalam. 
Daniel berkata, ketika diserang sakit, ibunya hanya ditemani adik angkat, Diyana Tihani Abdullah, 11, di rumah. 


“Saya tidak berada di rumah ketika kejadian. Ibu pandu sendiri kereta ke hospital. Saya hanya mendapat tahu apabila dihubungi pihak hospital pada sebelah petang.

“Ibu kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada jam 12 tengah malam kelmarin kerana difahamkan keadaan kesihatannya bertambah teruk,” katanya yang ditemui selepas upacara pengebumian Allahyarham Noreen di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulai, Serkam, dekat Jasin, semalam.

Daniel yang bersedih dengan pemergian ibu tercinta tanpa disangka, memberitahu sempat menjaga Allahyarham sepanjang malam.

“Saya berada di hospital sepanjang malam sehingga ibu menghembuskan nafas terakhir," katanya. 
Allahyarham Noreen atau nama sebenarnya, Noraini Mohd Nor, 54 meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang dan jantung, kira-kira 5.50 pagi semalam.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pulai, Serkam, pada jam 1.40 tengah hari semalam.

Antara rakan artis yang hadir pada majlis pengebumian Allahyarham ialah komposer Eddie Hamid, Norshila Amin, Siti Fairuz dan Azizul Khamis.

Ambil berat keluarga, suka bantu orang susah

Abang sulung Allahyarham, Rosli, 56, berkata, pemergian Allahyarham amat dirasai kerana dia sering mengambil berat masalah keluarga, terutama ketika ibu bapa mereka sakit, beberapa tahun lalu.

"Saya mendapat tahu mengenai kematian Noreen jam 6 pagi tadi (semalam). Sejurus itu, saya memutuskan untuk mengebumikan jenazah di Kampung Pulai selepas solat zohor.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah adik saya," katanya.

Seorang penduduk Kampung Pulai, Ibrahim Jebah, 66, berkata, Allahyarham seorang yang periang, suka bergurau dan gemar membantu orang susah.

"Sepanjang hidupnya, Allahyarham banyak membantu orang kampung yang miskin dan sakit. Setiap kali pulang ke kampung, ada saja duit ditinggalkan kepada saya untuk diagihkan kepada golongan berkenaan.

“Kami terhutang budi dengan Allahyarham. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya," katanya.


INFO: Noreen Noor
Nama asal: Noraine Mohd Nor 
Asal: Singapura
Profesion: Penyanyi, pelakon
Album: Kepastian, Dariku Untukmu, Air Mata
Filem: Talak, Hantu Siang, Wira Angkasa, Pelumba Malam.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP