Loading...
Sunday, January 5, 2014

Azam tak payah tunggu tahun baru


SEWAKTU bertemu dengan pelakon Nurkusyairy Zakuan Osman atau lebih sinonim dengan panggilan Beto Kusyairy ketika penggambaran telemovie Kasih Ayah minggu lalu, perkara pertama yang ditanya adalah mengenai azam baharu.
Ia satu pertanyaan yang cukup wajar memandangkan ketika itu tinggal beberapa hari sahaja lagi menjelang ambang tahun 2014 dan setiap individu pastinya mempunyai azam yang ingin direalisasikan.
Bagaimanapun, jawapan yang diterima daripada pelakon Istanbul Aku Datang itu agak mengejutkan kerana dia memberitahu selama ini dia tidak seperti orang lain yang akan teruja menceritakan azam masing-masing.
"Mungkin akan ada segelintir pihak yang agak hairan dengan saya tetapi itulah pendirian saya sejak dahulu lagi. Sejujurnya saya agak kurang percaya dengan azam baharu ini.
"Bagi saya, kalau ingin mengejar sesuatu impian atau mahu melakukan sebarang perubahan dalam diri, tidak perlu hendak tunggu tahun baru dan lakukan sahaja dengan segera," tegasnya.
Menceritakan tentang perjalanan kariernya sepanjang tahun 2013, Beto meluahkan rasa syukurnya kerana semua berjalan dengan lancar serta rezeki yang tidak putus datang.
Menurutnya, sama seperti tahun-tahun yang sebelumnya, dia merasakan tiada apa yang perlu dirisaukannya memandangkan sehingga kini dia masih lagi mendapat kepercayaan ramai penerbit dan pengarah.
BETO KUSYAIRY mengatakan resolusi atau azam tidak perlu dipasang pada setiap tahun baru, sebaliknya boleh dilakukan dengan segera pada bila-bila masa.


"Setakat ini saya memang tidak mahu merungut memandangkan segala-galanya tiada apa yang kurang. Apa sahaja tawaran yang diperoleh, saya akan terima setelah dibuat pertimbangan dan penilaian.
"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan perjalanan karier sebagai pelakon sepanjang 2013 dan percaya apa yang saya nikmati ini sudah ditentukan dan ada hikmah di sebaliknya," ujar pelakon berusia 33 tahun itu.
Katanya lagi, biarpun sejak kebelakangan ini wajahnya agak kurang muncul di kaca televisyen atau layar perak tetapi diari lakonannya sentiasa padat dengan jadual penggambaran.
"Tidak mustahil ada yang beranggapan saya sudah kurang berlakon kerana tidak selalu muncul. Sebenarnya, kebanyakan drama bersiri, telemovie dan filem yang saya lakonkan masih belum ditayangkan lagi di televisyen dan pawagam.
"Misalnya, pada tahun ini sahaja sebanyak empat buah filem saya yang sedang menanti untuk ditayangkan seperti Bravo 5, Balun, Gila Baby dan CEO manakala sebuah telemovie lakonan saya iaitu Qadar juga bakal ditayangkan di saluran Astro First," jelasnya.
Jadi pengarah
Sudah sedekad menjadi seorang pelakon, Beto turut diaju dengan pertanyaan tentang impian dan hala tujunya sebagai anak seni setelah membintangi banyak drama bersiri, telemovie dan filem.
Pelakon berkelulusan Diploma Perhotelan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu berkata, dia sebenarnya mempunyai impian untuk duduk di kerusi pengarah.
"Setiap pelakon pastinya ada memasang impian untuk meningkatkan lagi kerjaya dalam bidang seni ini. Kalau ditanya tentang impian saya, sudah tentu saya mahu menjadi seorang pengarah suatu hari nanti.
BETO mempunyai empat buah filem dan beberapa telemovie yang masih menunggu giliran untuk ditayangkan pada tahun ini.


"Namun begitu, saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa untuk mengejar impian berkenaan. Lagipun sekarang ini masih mentah dan perlu belajar lebih banyak selok-belok dalam dunia lakonan," ujarnya.
Jelas Beto, tidak semestinya dia perlu sasar tahun ini untuk bergelar seorang pengarah memandangkan dia memerlukan lebih banyak masa lagi menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman.
Projek baharu
Bercerita mengenai projek baharunya pula, Beto memberitahu, dia baru sahaja terbabit dengan penggambaran telemovie untuk tayangan di stesen televisyen Alhijrah berjudul Kasih Ayah.
Dalam telemovie berkenaan, dia memegang watak utama sebagai Hakim dan turut berlakon bersama beberapa pelakon popular lain seperti Dira Abu Zahar, Dian P. Ramlee dan Fathil Dani.
"Watak saya sebagai Hakim merupakan seorang lelaki yang menjaga kepentingan keluarganya tetapi kerana terlalu memberikan tumpuan kepada pekerjaan, dia telah melupakan tanggungjawab sebagai ayah dan suami.
"Saya tertarik untuk berlakon dalam telemovie ini kerana skrip dan jalan ceritanya sangat bagus serta banyak memberi nasihat yang berguna kepada penonton," ujarnya.
Selepas terbabit dengan penggambaran telemovie berkenaan, Beto memberitahu, dia akan berlakon pula sebuah lagi telemovie berjudul P.I serta beberapa buah projek lakonan lain yang kini dalam proses perbincangan.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP