Loading...
Tuesday, January 7, 2014

Ila Damia Sonaone

NAMA dua penyanyi ini mungkin masih baharu dan belum lagi hebat meniti di bibir para peminat. Namun, kehebatan yang ditonjolkan oleh mereka sebagai penyanyi genre R&B dan hip hop pasti menjadi perhatian dengan gaya berbeza.
Berada di bawah naungan yang sama iaitu Kartel Records, Ila Damiaa Johar, 25, dan Sonaone, 26, mengakui mereka sudah boleh merasa selesa dengan tahap penerimaan label itu terhadap diri masing-masing.
"Bekerja dengan mereka adalah satu peluang yang tidak disangka. Ruang dan pendedahan yang diberikan oleh Joe Flizzow semenjak menjadi protege saya dalam rancangan Mentor 4 sangat menyeronokkan.
"Syukur sangat abang Joe menjadi mentor saya. Sejak dalam Mentor lagi, dia sudah beritahu segala perancangannya untuk saya. Dia nampak bakat saya dan apabila semangatnya tinggi seperti itu membuatkan saya menjadi lebih bersemangat.
"Sebaik saja keluar daripada Mentor, saya terus masuk studio merakamkan tiga buah lagu. Itu yang menjadikan perjalanan karier saya terus lancar sampai sekarang. Senang cerita, abang Joe banyak membantu diri saya sebagai penyanyi," katanya ketika menghadiri sesi fotografi bersama Hits baru-baru ini.
Lain pula ceritanya dengan Sonaone atau nama lengkapnya Mikael Adam Lozach yang memulakan kehadiran bersama Kartel sebagai pelajar praktikal dalam bidang grafik.
"Saya tidak menyangka akan berada di bawah naungan Kartel. Saya hanya menjalani latihan industri tetapi berminat dengan mencipta beberapa buah lagu berentak rap buat Joe Flizzow.
"Selalu saya akan membuat rentak dan lagu sendiri sehingga disedari oleh abang Joe yang berminat dengan lagu saya. Memang tidak disangka dia percaya akan lagu yang saya buat dan album terbaharunya, Havoc ada lagu yang saya cipta. Rasanya sudah lebih dari empat tahun saya bersama dengan Kartel. Banyak yang saya belajar daripada abang Joe," ujarnya.
Ketika ditanya tentang kolaborasi, masing-masing mengakui tahap kepercayaan adalah sesuatu yang penting sebelum ingin bersama dalam sesebuah lagu.
"Mungkin kami masih belum ada kesempatan untuk berkolaborasi tetapi mana tahu suatu hari nanti kami akan bersama," ujar Ila.
Suka kolaborasi
Walaupun tidak tersenarai sebagai peserta akhir rancangan Mentor 4, Ila Damiaa kekal mengikut acuan karier mentornya, rapper Joe Flizzow apabila dia tampil dalam single berjudul Untukmu selepas keluar daripada rancangan tersebut.
Nasib ternyata menyebelahi Ila dan lagu itu berjaya mengangkat namanya tetapi tidak banyak kisah tentang penyanyi tersebut diketahui umum sementelah beritanya jarang disebarkan media.
"Menerusi lagu itu, saya hanya menyanyi beberapa rangkap sahaja tetapi ramai yang mula mengenali diri saya," katanya yang lebih suka kolaborasi berbanding nyanyian solo.
Bagi Ila, dia masih lagi tidak begitu yakin dengan nyanyian solo dan kini mula bertatih untuk berdikari dengan lagu sendiri.

Sebagai langkah kedua, Ila tampil dengan beberapa formula untuk lebih dikenali. Single baharunya, Di Sebalik sudahpun muncul dan lagu itu pastinya akan menaikkan lagi namanya di dalam industri muzik tempatan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembawakan lagu berbahasa Inggeris, gadis kelahiran Kuching, Sarawak ini turut menyatakan tidak berkeyakinan kerana bahasa itu sendiri mungkin akan jadi penghalang.
"Saya masih tidak lagi bersedia untuk merakam lagu di dalam bahasa Inggeris. Biar dalam masa terdekat ini, saya cuba menyesuaikan diri dengan lagu Melayu dulu.
"Lagu Di Sebalik juga banyak cabaran yang saya hadapi. Lagu ini bagi saya rentaknya sangat laju berbanding lagu-lagu yang saya bawa sebelum ini," jelasnya yang bakal mengeluarkan album solo tidak lama lagi.
Tidak pernah menyangka lagu yang diciptanya, No More akan menjadi hits, Sonaone terus bercita-cita untuk mencipta pelbagai versi lagu. Katanya, dia akan mencipta lagu-lagu rap dalam pelbagai bahasa. Antara bahasa pilihannya adalah bahasa Sepanyol dan Perancis.
"Buat masa sekarang, biar saya buat lagu dalam bahasa Inggeris kerana saya sudah selesa dengan bahasa tersebut. Bagi lagu dalam bahasa Melayu pula, saya masih menyesuaikan diri. Lagu Havoc adalah antara lagu Melayu saya yang menjadi siulan ramai.
"Sekarang saya fokus kepada single baharu dan persiapan album saya. Saya memang tidak sangka, single pertama akan menjadi hits," katanya yang akan tampil dengan album pertama dalam masa terdekat ini.
Bercerita mengenai album itu, Sonaone berkata, dia akan memuatkan 12 buah lagu dan buat masa sekarang album itu masih lagi dalam proses.
"Ini kali pertama saya akan keluar dengan album. Saya berharap semua peminat akan menyukai dan gemar dengan lagu-lagu yang saya ciptakan," kata Sonaone.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP