Loading...
Tuesday, January 7, 2014

Nabila makin seksi makin menjadi

JIKA boleh diukur kadar kekerapan wajahnya muncul di kaca televisyen tahun lalu, mungkin ramai yang mengandaikan Nabila Huda sebagai pelakon terlebih publisiti.
Bagaimanapun, kekerapan itu dilihat berjalan positif seiring dengan komitmen dan kualiti yang dipersembahkan melalui aksi lakonannya dalam sesebuah produksi.
Sambutan hangat yang diterima melalui drama-drama rantaian seperti Teduhan Kasih, Jodoh Itu Milik Kita, Sangkar, Janji Shirah, Dia Suamiku dan Udin Glamor Balik Kampung sudah cukup untuk membuktikan pelakon berusia 30 tahun itu tidak pernah memandang enteng dengan apa yang dilakukan sepanjang bergelar seorang pelakon.
Terbaharu, Nabila atau lebih mesra disapa Abil muncul dengan sebuah drama bersiri Ariana Rose, sebuah karya yang diadaptasi daripada novel popular hasil tulisan Evelyn Rose.
Tawaran demi tawaran yang diterimanya itu membuatkan wanita ini dilihat sebagai Ratu Drama Melayu masa kini.
Tidak terus mengiyakan gelaran yang diberikan kepadanya itu, Nabila menegaskan, dia menceburi bidang lakonan bukan semata-mata mahu mengejar status ataupun sebarang pengiktirafan dan anugerah. Sebaliknya, penglibatan Nabila dalam bidang seni sejak dia berusia 16 tahun semata-mata kerana cintanya yang mendalam terhadap bidang itu.

Bukan kejar anugerah
"Saya tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran dalam karier setakat ini. Apa sahaja tawaran yang diterima saya cuba lakukan dengan baik. Jauh sekali mengimpikan anugerah atau sebarang pengiktirafan.
"Bidang lakonan merupakan pilihan utama saya. Setiap kali bangun daripada tidur, saya berasa gembira kerana diberi peluang untuk melakukan sesuatu yang saya suka.
"Jika ditakdirkan tercalon dan menang dalam sesebuah acara anugerah, saya menerima dengan tangan terbuka. Namun, meletakkan sasaran anugerah yang ingin saya kecapi, tidak sama sekali," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Arianna Rose di Sri Pentas TV3, Kuala Lumpur baru-baru ini.

NABILA HUDA masih cemerlang dalam kariernya. Dia kini menjadi rebutan pengarah untuk membintangi naskhah mereka kerana kredibiliti yang ditonjolkan.



Ibu kepada Keisha Laila ini turut memberitahu, apa yang ingin diburunya selama bergelar pelakon ialah peluang melakonkan pelbagai watak yang menuntut permainan emosi dan mampu menyentuh jiwa penonton.
"Saya akui, orang ramai mengenali saya sebagai pelakon yang sering membawakan watak-watak berat. Saya juga turut menjadi pilihan produser untuk memainkan watak-watak bersifat antagonis.
"Namun, itu tidak bermakna saya enggan untuk mencuba karakter yang berlainan dalam drama-drama akan datang. Sebagai contoh, saya bakal hadir dengan drama berbentuk biopik berjudul Saloma.
"Drama itu menuntut lebih banyak permainan emosi berbanding drama-drama biasa yang pernah saya lakonkan," jelasnya lagi.
Bunuh abang
Dalam pada itu, ketika berbicara mengenai wataknya dalam drama bersiri Ariana Rose, karakter Liyana yang didukung Nabila sedikit berbeza dengan watak-watak yang pernah dilakonkan sebelum ini.
"Watak Liyana merupakan watak antagonis dalam Ariana Rose tetapi kehitaman watak ini sedikit berbeza dengan watak-watak antagonis yang saya bawa selama ini," ujarnya yang menyifatkan perkembangan wataknya berubah seiring dengan perjalanan cerita.
Tambah Nabila, watak jahat tidak semestinya statik tanpa sebarang makna. Pelakon yang diberikan tanggungjawab itu perlu bijak mewarnai karakter dengan jiwa yang tersendiri apabila berdepan dengan watak-watak baharu.
"Saya tidak mahu watak jahat yang dipersembahkan tampak klise setiap kali muncul di kaca televisyen. Apa yang penting adalah cara kita mengolah karakter yang diberikan," ujarnya lagi.
Menjadi Saloma
Melanjutkan bicara tentang perjalanan kariernya yang tidak pernah sepi, Nabila saat ditanya tentang kesempatan menjadi Saloma dalam biopik Saloma nyata teruja dengan kepercayaan yang diberi sutradara Melissa Saila itu kepadanya.
Ujarnya, menjayakan watak Saloma merupakan suatu pengalaman yang begitu mencabar kredibilitinya sebagai seorang pelakon.
"Saya diminta untuk hadir pada sesi uji bakat bagi mencari pendukung watak Saloma oleh pengarahnya sendiri iaitu Melissa Saila.
"Ketika itu, saya sungguh terkejut. Namun, Kak Melissa begitu yakin dengan saya dan menggalakkan saya untuk mencuba. Alhamdulillah, tidak berapa lama selepas sesi uji bakat itu berlangsung, saya terpilih untuk membawakan watak tersebut," ujarnya.

MENGAKU hatinya kini telah kembali dimiliki oleh seseorang, Nabila bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut kisah percintaannya.



Nabila turut memberitahu, mendalami karakter seorang biduanita legenda yang wujud sebelum dia dilahirkan sememangnya satu tugas yang sukar.
"Bagi membawa watak Saloma dengan baik, saya perlu belajar cara pembawaan dirinya dengan betul. Cara dia bercakap, berjalan dan menari turut memainkan peranan kepada saya untuk menjiwai karakter tersebut.
"Justeru, saya banyak belajar dengan Sasha, kakak kepada Melissa Saila. Dia pernah tinggal dan membesar sebumbung dengan Saloma. Atas bantuannya, saya sedikit yakin dalam membawakan watak isteri kepada P. Ramlee itu," katanya yang mengguna- kan suara Liza Hanim sebagai suara nyanyian menerusi drama tersebut.
Anak teman hidup
Kehidupannya yang begitu sibuk membuatkan Nabila begitu berkira untuk berenggang dengan anak perempuan kesayangannya, Keisha.
Lebih-lebih lagi apabila dia terpaksa bergilir hak penjagaan dengan bekas suaminya setiap minggu seperti yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah.
"Dia sering menangis ketika tiba giliran untuk tinggal bersama ayahnya tetapi saya menasihati Keisha supaya tidak mudah menangis dan berjanji untuk menghabiskan masa bersama pada minggu berikutnya," katanya.
Nabila memberitahu, dia dan Keisha turut berkongsi hobi yang serupa iaitu gemar duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama-sama.
"Jika saya tidak sibuk di lokasi penggambaran, saya lebih suka lepak dengan dengan anak saya. Keisha juga tidak gemar keluar untuk bersiar-siar.
"Pernah pada suatu hari, saya membawanya keluar untuk membeli-belah. Tidak sampai sepuluh minit berada di sana, dia merengek mahu pulang untuk bermain. Jadi, pada hari itu, kami pulang awal dan duduk seharian di rumah," katanya sambil ketawa.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP