Loading...
Wednesday, February 12, 2014

Belajar jadi isteri

LAPAN tahun berkenalan akhirnya mereka bersatu sebagai suami isteri pada 16 Disember lalu. Menurut penyanyi Farawahida Razali, 28, sehingga saat ini dia masih menyesuaikan diri dengan status baharu itu. Baru sahaja selesai mengadakan resepsi kedua di Dewan NĂ¢€™Dah Shah Alam, baru-baru ini, Farawahida dengan jelas memberitahu kehidupannya kini semakin sempurna.
Pelantun Tanpamu ini memberitahu sikap memahami suaminya, Abdul Shukur Mohd Zain, 29, sedikit sebanyak menyebabkan dia tidak sabar untuk lebih gigih dalam memperkukuhkan karier nyanyian pada masa hadapan. Dengan status sebagai isteri, Farawahid memberitahu kehidupannya jelas lebih terancang dan segala keputusan untuk kehidupan akan dirujuk kepada suami terlebih dahulu.
"Jujurnya suami saya seorang yang sangat memahami. Selama 8 tahun berkenalan dia memang kenal siapa saya.
"Buat masa ini saya masih dalam proses menyesuaikan diri sebagai seorang isteri. Saya sedar bila sudah berkahwin semuanya perlu minta keizinan suami,"katanya lembut.
Belum sempat meneruskan acara berbulan madu, menurut Farawahida buat masa ini dia dan suami masih sibuk menguruskan kerjaya masing-masing. Bagaimanapun dia tidak menolak untuk melawat negara Jepun sedikit masa lagi bersama orang tersayang.
"Mungkin kami akan pusing Malaysia dahulu. Selain itu, kami sudah ada perancangan untuk ke Jepun memandangkan kakak saya juga ada di sana. Cumanya mengikut cuaca yang amat sejuk di sana kami tangguhkan dahulu,"jelasnya.
Berbicara soal anak, menurut Farawahida memang dia dan suami tidak merancang. Mengharapkan rezeki Allah akan datang dalam hidup mereka, Farawahida jujur memberitahu dia sudah bersedia bergelar ibu.
"Kami tidak merancang, semuanya terpulang kepada rezeki. Dengan umur saya kini, mungkin kalau boleh mahu secepat mungkin,"katanya tersenyum.
Mendapat tajaan perkahwinan bernilai setengah juta ringgit, ada yang melabelkan Farawahida sebagai seorang yang suka menunjuk-nunjuk. Jujurnya menurut Farawahida dia sendiri juga tidak tahu akan perkara tersebut. Menjelaskan kenyataan itu tidak pernah keluar dari mulutnya, dia melihat ini sebagai salah satu kesan buat mereka yang tidak pernah mahu ambil pusing akan situasi sebenar.

" Nilai tersebut bukan keluar dari mulut saya. Secara jujur, saya sendiri tidak mengetahui nilai sebenar tajaan yang kami terima daripada perunding pernikahan, mungkin ini satu publisiti untuk pihak mereka.
"Bila melihat komen yang diberikan, memang saya sedih. Ada yang mengatakan saya riak dan sebagainya. Tetapi bukan itu yang berlaku,"katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP