Loading...
Tuesday, February 11, 2014

Hans belajar tafsir al-Quran - Tasha

TAHUN lalu, pelakon tinggi lampai, Tasha Shilla pernah dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan pemain bola sepak negara, Mahalli Jasuli.
Bagaimanapun, selang beberapa bulan digosipkan dengan atlet sukan itu, tuan empunya nama Natasha Sheila Abd. Razak, 28, dikaitkan pula dengan seorang ahli tinju sukan Muay Thai yang hanya dikenali sebagai Hans.
Selepas beberapa kali berdolak-dalik mengenai hubungan istimewa yang terjalin antara mereka, pada hari Sabtu yang lalu, gambar Tasha dan Hans dirakamkan berjalan bersama di atas karpet merah sempena penganjuran Anugerah MeleTOP Era yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Kosmo! semalam, Tasha tidak kisah dengan sebarang spekulasi yang dihamburkan kepadanya mengenai hubungan sebenar dia bersama Hans.
Tambah aktres yang berasal dari Ampang, Selangor itu, dia dan lelaki itu masih lagi dalam proses mengenal hati budi masing-masing. Ikuti temu bual selanjutnya bersama pelakon yang popular menerusi drama Sahara itu.
Kosmo!: Anda membawa Hans berjalan bersama ke majlis karpet merah pada Anugerah MeleTOP Era pada Sabtu lalu. Adakah tindakan itu seperti memberitahu bahawa Hans merupakan teman lelaki anda?
TASHA: Saya tidak hadir ke anugerah itu berdua dengan Hans. Saya datang bersama dua orang rakan yang lain. Jadi tiada istilah kami mempunyai hubungan istimewa dan datang ke majlis tersebut berdua-duaan.
Ada antara peminat yang mendakwa anda dan Hans bercium pada majlis tersebut. Adakah kenyataan ini benar?
Saya tak sangka ada individu yang sanggup membuat dakwaan sedemikian rupa. Majlis tersebut dihadiri oleh puluhan wartawan dan juga jurugambar. Jika saya dilihat bercium dan bercumbu di hadapan khalayak ramai, kenapa gambar saya tidak dirakam? Mengapa cerita ini perlu disampaikan melalui mulut ke mulut? Saya berharap agar individu terbabit dapat menunjukkan bukti terlebih dahulu sebelum sewenang-wenangnya membuat tuduhan.

MENAFIKAN bercium di khalayak ramai dengan Hans, kata Tasha, lelaki itu sangat menghormati dirinya sebagai seorang Islam.



Apakah perasaan anda apabila dihambat dengan cerita-cerita negatif seperti ini?
Orang yang tidak suka pada saya boleh melakukan apa sahaja. Paling menyedihkan apabila ibu dan bapa saya terpaksa membaca cerita-cerita yang tidak betul seperti ini. Saya berasa sungguh kecewa.
Ada yang mengatakan anda seperti enggan menerima sebarang teguran oleh peminat di laman sosial milik anda. Apa komen anda?
Sebagai seorang manusia biasa, saya masih melihat kepada komen-komen yang boleh membawa
kepada perubahan positif. Tetapi sebagai peminat, mereka harus menerima saya seadanya.
Sudah berapa lama anda mengenali Hans?
Saya mula mengenalinya lebih kurang enam bulan lalu setelah diperkenalkan oleh pelakon Sharifah Sakinah.
Bagaimanakah hubungan anda dengan Hans setakat ini?
Saya dan Hans masih berkawan dan dia begitu menghormati saya sebagai seorang Islam. Walaupun dia menganut agama lain, dia faham bahawa Islam melarang umatnya untuk mencacah tatu dan cuba perlahan-lahan untuk membiasakan diri menutup tatu berkenaan. Dia turut memakai pakaian berlengan panjang apabila keluar bersama saya.
Maksud anda, Hans sudah mula mendalami ajaran Islam?
Sudah tiga tahun dia cuba mendalami dan mengenali ajaran agama Islam. Dia sendiri mempunyai ramai kawan-kawan dalam kalangan kaum Melayu. Selain itu, dia turut belajar membaca al-Quran melalui kitab tafsir.
Apa respons kedua ibu dan bapa anda mengenai hubungan anda bersama Hans?

Alhamdulillah, ibu dan bapa saya menerima baik hubungan kami berdua. Bagi saya, keutamaan harus diberikan kepada ibu dan bapa. Selagi mereka tahu dengan siapa saya berkawan, itu sudah memadai.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Buat masa ini, saya fokus terhadap satu-satu projek sahaja. Sekarang saya sedang menjalani penggambaran untuk drama bersiri Gerimis Salju Naminara bersama Nazim Othman, Afiq Muiz dan Syatilla Melvin.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP