Salam Aidiladha saya ucapkan kepada semua umat Islam yang meraikannya semalam. Tahun ini, sambutan Hari Raya Haji sedikit memilukan buat saya kerana terpaksa meraikannya sendirian sekali gus berjauhan dengan keluarga.
Ada juga terfikir untuk pulang, dapatlah merasai kemeriahannya bersama keluarga, menikmati juadah istimewa raya, lepak bersama keluarga dan rakan-rakan. Namun, disebabkan kerja saya tidak punya pilihan dan terpaksa berada di Los Angeles (LA).
Nampaknya saya raikan Aidiladha dengan keluarga menerusi Skype saja tahun ini. Mujur ada Skype dapat juga lihat wajah babah dan mama. Dengan pertolongan mama saya juga, saya dapat berkorban dari jauh. Seekor lembu dikorbankan untuk disedekahkan kepada orang di kampung, semalam.
Nampaknya saya raikan Aidiladha dengan keluarga menerusi Skype saja tahun ini. Mujur ada Skype dapat juga lihat wajah babah dan mama. Dengan pertolongan mama saya juga, saya dapat berkorban dari jauh. Seekor lembu dikorbankan untuk disedekahkan kepada orang di kampung, semalam.
YUNA diiringi pemain gitar kumpulan Incubus, Mike Einziger yang juga penerbit albumnya ketika konsert di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sebut saja Aidiladha, pasti saya akan teringatkan pengalaman pulang ke kampung halaman selain terimbau dengan kemeriahan majlis korban binatang al-an’am seperti lembu, unta dan sebagainya.
Namun, selepas usia makin meningkat, saya mula terfikir apakah erti pengorbanan? Adakah semuanya hanya dari segi material? Wang ringgit atau sekadar korban binatang?
Saya selalu bersyukur dilahirkan sebagai seorang Islam. ‘I have a beautiful religion that teaches me the meaning of sacrifice’. Sepanjang pengalaman saya dalam industri muzik ini, tidak kiralah di dalam mahupun luar negara, saya berjumpa dengan pelbagai kerenah orang.
Ada kenalan saya dibesarkan keluarga yang langsung tidak menerapkan erti ‘pengorbanan’. Malah, ada sesetengah orang, korban sikit pun tak boleh, nak susah sikit pun, tak mahu.
Alhamdulillah, saya dibesarkan kedua-dua ibu bapa dan juga guru-guru di sekolah, yang mengajar saya pengorbanan itu adalah sesuatu yang wujud dalam setiap inci kehidupan kita. Secebis kebaikan yang kita lakukan juga satu bentuk pengorbanan. Kita korbankan sedikit apa yang kita ada, untuk menjadikan sesuatu keadaan lebih baik tanpa apa-apa pulangan atau balasan.
Aidiladha bagi saya adalah saat paling baik untuk kita muhasabah diri dengan menilai diri kenapa kita wujud di dunia ini. Adakah hanya sekadar ‘wujud’ untuk saja-saja dan tiada peranan? atau kita wujud untuk berkorban dan menjadikan dunia tempat yang lebih baik dan bermanfaat untuk semua?
Agak payah untuk memahami erti pengorbanan jika kita tiada perasaan rendah diri, kita dibebani perasaan tamak haloba dan hanya mementingkan diri sendiri. Pengorbanan yang kita lakukan setiap hari haruslah ikhlas.
Kita tak perlu jadi sempurna dan yang paling penting adalah sentiasa berusaha melakukan perkara yang betul dan Insya-Allah apa yang anda korbankan itu untuk keredaan ke jalan Allah SWT.
Sekalipun untuk perkara yang kecil, contohnya korbankan tiga jam bersusah payah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung berjumpa dengan ibu bapa dan keluarga.
Atau korbankan RM10 terakhir yang ada dalam kocek anda untuk disedekahkan kepada peminta derma rumah kebajikan atau anak yatim.
Banyak cara untuk berkorban dan membahagiakan orang lain. Mungkin boleh dapatkan masa berkualiti dengan ibu kita, dengan mengorbankan 30 minit anda daripada menonton TV untuk bersembang-sembang dengan ibu.
Pengorbanan bagi saya tak perlu ‘grand’. Jika anda mampu, anda boleh mengadakan majlis korban dengan bersedekah daging lembu atau kambing yang dikorbankan . Jika tidak berkemampuan, tidak mengapa kerana agama Islam tidak pernah mendesak atau menyuruh umat-Nya menunjuk-nunjuk padahal di luar kemampuan kita.
Bagi saya sekecil manapun pengorbanan tetap ada ganjarannya dari Yang Maha Esa. Bahkan saya percaya pengorbanan yang kecil pun, mampu mengubah dunia ini, menjadikan ia tempat yang lebih baik untuk semua penghuni bumi.
Rasanya, coretan saya sudah cukup panjang dan moleklah kiranya saya menoktahkan kata-kata saya setakat ini. Pun begitu, sebelum beredar, sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat Aidiladha kepada anda semua.
Korbankanlah sedikit masa untuk bersama keluarga anda di Hari Raya Korban ini!
0 comments:
Post a Comment