Loading...
Tuesday, January 7, 2014

Najwa Latif nafi dirinya diraba

AWAL pagi 1 Januari lalu, timbul kekecohan di laman sosial apabila ramai mempersoalkan status yang dimuat naik oleh pelantun Sahabat, Najwa Latif menerusi akaun Twitter miliknya. Status yang berbunyi “Saya merasa kesal dengan tindakan liar perusuh himpunan di Dataran Merdeka ambil alih pentas Dataran dan meraba beberapa orang wanita.” telah menimbul dan mengundang kecaman teruk daripada peminat.

Tidak mahu imejnya terus tercalar, Najwa tampil menafikan perkara itu. Dengan sekeras-kerasnya, Najwa atau nama sebenar Imratul Najwa Abdul Latif, 19, berkata, tuduhan yang ditimbulkan pihak bertanggungjawab itu tidak berlaku kerana dia mempunyai saksi iaitu kakaknya Syafika dan pengurus Azahari Jaafar di tempat kejadian bagi mengesahkan perkara terbabit.
Bagi mendapatkan pengesahan dan apa tindakan selanjutnya, wartawan Hits, GARRET DAWUM yang berkesempatan menghadiri konsert sempena pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 malam Sabtu lalu, terus berjumpa dan bertanya dengan Najwa sendiri.
HITS: Selepas Konsert Ambang Tahun Baharu 2014, Najwa ada memuat naik status mengatakan awak diraba. Apakah kebenaran dengan kenyataan itu.
NAJWA: Mana ada saya kena raba. Benda itu tidak berlaku langsung. Ia fitnah semata-mata. Sejujurnya tidak ada apa yang berlaku. Saya ada bersama kakak dan pengurus ketika konsert itu. Apabila selesai saja persembahan, kami terus masuk kereta dan pulang dengan selamat. Persembahan saya bermula pukul 11.15 dan berakhir pada pukul 11.20 malam tetapi keadaan masih tenang. Selepas pukul 11.30 malam keadaan mula kecoh dan kakak serta pengurus saya ambil keputusan untuk pulang. Kira-kira pukul 11.40 malam, kami terus pergi ke kereta dan bergerak keluar dari Dataran Merdeka.
Kenapa dakwaan sebegitu boleh berlaku?
NAJWA: Saya sendiri tak pasti dan keliru bagaimana boleh timbul tuduhan itu. Benda ini mungkin berpunca daripada satu gambar screen capture Twitter saya yang mengatakan saya memuat naik mesej kononnya saya kesal dengan apa berlaku malam itu.
Dari mana Najwa mula tahu tentang status yang dimuat naik itu?
NAJWA: Saya tidak tahu apa-apa. Sampai di rumah kawan saya bagi Whatsapp kata saya ada muat naik status berkenaan. Apabila saya periksa balik, saya memang tidak pernah memuat naik apa-apa status. Yang buat saya sedih dan kesal apabila segelintir peminat menghentam saya dengan kata-kata kesat kerana ‘tweet’ itu. Mereka sangkakan ia adalah daripada saya. Padahal benda itu tak berlaku pun.
Mungkin Najwa ada syak sesiapa berkenaan muat naik status di dalam Twitter itu?
NAJWA: Sekali lagi, saya katakan dakwaan yang timbul itu adalah palsu dan ianya telah diubahsuai. Saya tidak boleh kata siapa yang membuat kerja tidak bertanggungjawab itu. Saya tidak tahu siapa yang memulakan ‘permainan’ itu. Saya cuma lihat benda itu sekitar pukul 1 pagi.
Apa pengajaran yang Najwa perolehi selepas kejadian itu?
NAJWA: Dengan apa yang berlaku, saya telah mendapat pengajaran supaya berhati-hati selepas ini. Kejadian ini memberi pengalaman baharu dalam dunia Internet. Sedih memang sedih difitnah, tapi saya terima ujian ini. Lagipun, saya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Shah Alam selepas berlakunya perkara itu. Keterangan saya juga sudah diambil 3 Januari lalu pada pukul 6.30 petang.
Menjejaskan karier atau peribadi awak tak? Awak tahu motif orang buat perkara itu?
NAJWA: Saya tidak boleh nak cakap apa. Ini pertama kali saya dikaitkan dengan perkara ini dan tidak pasti siapa yang memulakan fitnah ini. Saya memaafkan orang yang membuat tuduhan itu dan berharap dia tidak akan mengulangi kesilapannya.
Mungkin awak serik dalam keadaan pentas terbuka terutama berlakunya demonstrasi?
NAJWA: Saya percaya apa yang berlaku ada hikmahnya. Jadi, saya belajar banyak dan mengambil kejadian itu sebagai satu pengalaman dan pengajaran buat saya. Insyallah saya tidak akan serik membuat persembahan dalam keadaan pentas terbuka.
Pesanan buat rakan-rakan artis lain?
NAJWA: Berhati-hati dan percaya dengan kuasa Allah. Apabila kita buat orang, Allah pasti akan membalasnya. Jadi, janganlah kita menabur fitnah terlebih dahulu.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP