Loading...
Saturday, December 14, 2013

Liyana makin matang


PERWATAKANNYA masih seperti Liyana Jasmay yang dikenali bertahun-tahun dahulu. Senyum dan tawanya masih sama. Sosok genitnya juga masih belum menampakkan banyak perubahan walaupun di dalam rahimnya, sedang mengandung cahaya mata pertama.
Ya, wanita yang dahulunya gadis lincah itu sudah berumahtangga dan kini kehamilannya sudahpun mencecah empat bulan. Sekitar lima bulan lagi, dia dan Fathuddin Mazlan yang bernikah pada Februari lalu bakal bergelar ibu bapa. Biasa kedengaran tapi itu bukan sekadar panggilan, tetapi sebuah fasa baharu yang selama ini mengulit hidupnya selama 27 tahun.
"Bila sudah mengandung, banyak pula rasa dan perasaan tidak selesa. Bila saya meluahkan kepada mama, mama cuma cakap sebab itulah syurga itu di bawah kaki ibu, anak tak boleh derhaka kepada ibu, nanti masuk neraka," lentur Liyana seraya tertawa sambil diperhatikan sang ibu, Habsah Simpon yang setia menemani pergerakan si anak bongsunya itu.
Cuma ada sedikit perbezaan, Liyana yang sebelum ini ada keletahnya itu agak bersahaja. Bukan tidak bermaya tapi darjah kelincahan menurun mungkin disebabkan alahan kehamilan yang dialami.
Ralit bercerita tentang situasi hidup yang sedang berubah, kata Liyana, kesibukan promosi yang selalu pulang ke Kuala Lumpur menimbulkan rindu dan ingatan buat suami yang kerap ditinggalkan di Kota Kinabalu, Sabah.
"Di sini (Kuala Lumpur) saya ada ramai ahli keluarga, tapi dia (suami) seorang diri di sana. Kasihan juga, tapi sekejap sahaja. Januari nanti saya akan balik semula ke Sabah, di sana kami baru pindah ke rumah baharu. Siap ada bilik khas untuk mama dan papa. Senanglah mereka nak bertamu nanti," katanya ketawa merangka-rangka aturan hidup menjelang kehadiran orang baharu, Mei tahun depan.
Terheret berbicara tentang keluarga dan kehidupan, bekas penyandang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 itu teruja berkongsi soal kerja berbanding kehidupan bahagia yang sedang ditatang. Biarpun sudah mengambil keputusan untuk berehat tanpa sebarang penggambaran sehingga tempoh bersalin, Liyana kini sibuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Papadom 2.
"Rasanya Papadom 2 sebuah filem yang meninggalkan kesan istimewa untuk saya. Terlalu banyak perasaan dan nilai kehidupan serta kekeluargaan dalam filem itu.
"Rasanya, berbaloi menunggu selama tiga tahun untuk menyaksikan tayangan filem ini. Lagu tema nyanyian Shahmeen Shah sendiri sudah cukup ekspresif inikan pula ceritanya," katanya yang menang anugerah terbesar dalam karier lakonannya menerusi watak Maisara dalam Papadom edisi pertama.
WATAK Miasara lakonannya dalam Papadom 1 mengangkat nama Liyana sebagai Pelakon Wanita Terbaik. Sekarang, Maisara muncul lagi dalam Papadom 2 dengan karakter yang lebih dewasa dan matang.


Kahwin lelaki tua
Kembali menghidupkan karakter Miasara, jika dalam Papadom yang pertama Liyana membawakan watak Miasara yang masih di alam kampus, dalam Papadom 2, karakter itu berkembang membawa Miasara masuk ke alam pekerjaan. Sisi keremajaan Miasara juga berubah.
"Untuk filem ini, Miasara masih juga seperti dahulu, masih berada bawah kawalan bapanya selama 24 jam. Sekarang Miasara sudah masuk alam pekerjaan dan mula hendak berkahwin. Konfliknya apabila ayah Miasara tak sanggup melepaskan anak kesayangannya kepada lelaki lain. Konflik pilih menanti dan paling penting Miasara mahu berkahwin dengan lelaki jauh berusia daripadanya," jelas Liyana.
Dari satu sisi yang lain, Liyana menyifatkan Papadom 2 sebagai pengisian emosi dan kasih sayang yang cukup hebat antara anak dan bapa. Paling utama, kisah Miasara dan Saadom itu menjadi kisah semua orang yang menonton. Itu magis yang jarang-jarang dapat dirasai dalam kerja lakonan dana naskhah-naskhah komersial.
"Naskhah seperti Papadom jarang ada, isu kekeluargaan yang begitu. Biasanya kisah cinta, aksi atau komedi. Seronoknya menjadi Miasara apabila ia mengingatkan penonton terhadap bapa masing-masing. Begitu juga Saadom. Ia seperti cerminan dan impaknya refleks kepada penonton. Saya percaya ada ramai Miasara dan Saadom di luar sana," ujar Liyana mengakui semakin menghargai kasih sayang ibu bapanya usai penglibatan dalam jenama Papadom.
Tambah Liyana lagi: "Saya percaya ramai kaum bapa sukar untuk melepaskan anak perempuan mereka yang mahu berkahwin. Perasaan yang sama juga barangkali dirasai oleh bapa saya sebelum ini. Mereka mahukan yang terbaik untuk anak. Saya sendiri sangat manja dengan bapa. Berlakon Papadom menjadi satu penghormatan buat saya."
LIYANA JASMAY percaya kehidupan seorang wanita itu sangat indah. Bermula sebagai anak kecil, remaja, dewasa menjadi isteri dan ibu ialah satu anugerah yang cukup mahal.


Refleksi diri
Tidak hanya Papadom dan Maisara yang diharapkan boleh menjadi cerminan kepada khalayak, Liyana sendiri melihat dirinya di sebalik nama Miasara.
"Kembara hidup seorang gadis, membesar, belajar, bercinta, berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri merupakan satu kembara yang sungguh indah. Saya bersyukur kerana dilahirkan dalam semua keluarga yang sering menyokong hidup saya.
"Saya sendiri sedang dalam fasa dan kembara itu. Apabila mengetahui bahawa dalam perut saya ini orang baharu yang bakal lahir, perkara paling mengujakan ialah persoalan bagaimana hendak menjaga dan melalui hari-hari dengannya. Semoga Tuhan akan melancarkan segala-galanya. Sebab itu Papadom sangat tinggi nilai sentimentalnya terhadap saya," luah Liyana sambil mengusap perutnya yang sudah berisi itu.
Beraksi bawah arahan pengarah berjiwa besar seperti Afdflin Shauki dan bekerjasama dengan ramai pelakon hebat seperti Khir Rahman, Rizman Ruzaini, Adlin Aman Ramlie, Dira Abu Zahar serta ramai lagi juga memberikan banyak kepuasan kepada wanita kelahiran Kuantan itu.
Tidak hanya mematangkan jiwa seninya, cabaran menggalas watak Miasara juga menghadirkan persepsi berbeza.
"Berlakon filem yang memerlukan banyak pergerakan fizikal macam filem aksi atau seram lain situasinya berbanding watak dalam filem yang bersifat drama macam Papadom. Ia soal yang kena diluahkan menerusi ekspresi dan paling penting, lakonan itu tidak kelihatan sebagai lakonan tapi orang percaya.
"Itu yang susah. Rantaian emosi kena solid dan kena sampai ke jiwa, barulah lakonan itu jadi indah di mata penonton. Sebab itu juga saya mahu suami saya menonton filem berkenaan. Lagi pun dia kenal dan lihat saya berlakon pun menerusi watak Miasara daripada filem Papadom yang pertama," cerita Liyana sambil memberitahu bapanya Jasmay juga tidak ketinggalan menyokong Papadom.
Tambahnya: "Bapa tidak datang semasa pratonton filem, dia pemalu. Tapi, dia janji mahu memenuhkan satu panggung menonton Papadom 2 bersama kawan dan kenalan dia. Mungkin itu cara dia menunjukkan sokongan terhadap saya."
Berkongsi perjalanan ke arah menjadi wanita yang sempurna, punyai anak dan keluarga bahagia, Liyana tidak pernah membuang cinta untuk menghasilkan penerbitan karya drama dan filem. Ilmu yang ditimba ketika mengikuti pengajian filem di New York mahu dibuktikan menerusi hasil kerja. Jiwa seninya tetap mekar bersama senyuman dan kehidupan baharu yang terbentang. Selepas Papadom 2, tahun 2014, dia juga bakal muncul dengan sebuah lagi filem bergenre aksi berjudul Tokan.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP