BIARPUN bergelar selebriti terkenal, namun bintang terkenal, Taylor Swift, merupakan selebriti yang sering berada bersama peminat. Bukan sahaja sering terlibat dalam aktiviti amal, malah Swift juga tidak pernah menjarakkan dirinya bersama masyarakat khususnya peminat.
Ini dibuktikan dengan keprihatinan Swift terhadap peminat ciliknya, Delaney Ann Brown, 8, yang berkeinginan berbicara dengan bintang kesayangannya. Hasrat Delaney atau lebih mesra di sapa, Laney, untuk berbual dengan Swift disampaikan oleh, Yayasan, Make-A-Wish.
Menurut Swift, derita penyakit leukemia yang dialami oleh Laney, meruntun jiwanya lantas peluang yang ada digunakan untuk memberi semangat kepada peminat cilik itu.
“Semasa menghubunginya, saya memastikan dia gembira dan perbualan kami begitu mesra. Saya turut memberi dorongan dan semangat kepadanya untuk meneruskan kehidupan. Namun, saya tidak sangka, ianya merupakan perbualan pertama dan terakhir kami.
“Laney pergi meninggalkan kami pada Hari Natal yang lalu. Hati saya hancur saat mengetahuinya,” kata pelantun lagu, Love Story ini.
Pada 25 Disember lalu, Laney telah meninggal dunia di sisi keluarga dan rakan-rakan terdekatnya. Selain daripada hasratnya untuk berbual dengan Swift, 8,000 orang telah berkumpul di tingkap bilik Laney dengan menyanyikan lagu kegemarannya, Frosty the Snowman dan Jingle Bells.
Artis paling dermawan!
Jika kebanyakan daripada rakan selebritinya masih hidup dalam huru hara, namun Swift lebih berminat untuk melibatkan diri dalam hal kebajikan. Malah, usaha Swift dalam pertubuhan
kebajikan melayakkan dirinya di senaraikan pada tangga teratas, Top 20 Celebs Gone Good.
Pada sambutan hari lahirnya pada 13 Disember lalu, Swift tampil menyumbangkan RM327,563, kepada kumpulan orkestra, Nashville Symphony. Selain itu, Swift juga turut terlibat dalam konsert amal bersama bintang terkenal, Bon Jovi di Winter White Gala, London, untuk mengisi dana kebajikan.
Menurut Swift, apa jua yang dilakukan dalam bentuk sumbangan adalah untuk meraih kepuasan pada diri sendiri.
“Saya suka lihat mereka senyum dan menerima pemberian saya. Tiada apa yang lebih bermakna daripada melihat senyuman mereka. Bagi saya, ia adalah kepuasan untuk diri sendiri di mana saya akan rasa lebih tenang sekiranya dapat membantu,” katanya lagi.
Selain Swift, bintang yang turut disenaraikan dalam kelompok ini termasuk One Direction, Beyonce Knowles, mendiang Paul Walker, Sandra Bullock, Ryan Seacrest, Jennifer Lawrence, Alicia Keys, Miley Cyrus, Demi Lovato dan Justin Bieber.
Rindu zaman kanak-kanak
Seperti selebriti lain, Swift juga turut berkesempatan meraikan sambutan Hari Natal, pada 25 Disember lalu. Sama seperti tahun sebelumnya, Swift, 24, masih menyambut perayaan itu bersama ahli keluarganya secara sederhana.
Menurut Swift, keriangan pada hari ini tidak dapat dibandingkan ketika usianya di zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan.
“Saya rindukan zaman kanak-kanak saya di mana ketika itu saya merasa segala-galanya mengenai Krismas. Riang, ketawa bersama dan ianya merupakan momen yang akan terpahat di hati sampai bila-bila.
“Masa berlalu dengan begitu pantas sehinggakan saya sendiri tidak sedar, sudah 20 tahun kenangan itu berlalu,” katanya yang menghabiskan masa seharian bersama keluarga dengan beberapa aktiviti.
Sukar lupakan Harry Styles?
Walaupun hubungan bersama ahli kumpulan One Direction, Harry Styles sudah lama terkandas, namun Swift ternyata sukar melupakan bintang itu. Ini terbukti apabila album kelima Swift, berkisarkan mengenai kehidupan peribadinya termasuk impian cinta yang tidak kesampaian.
Pun begitu, Swift menafikan album tersebut hanya berkaitan mengenai cinta semata-mata, namun lebih kepada perjalanan hidup menuju proses kematangan.
“Umur semakin meningkat dan pengalaman lalu adalah pengajaran untuk hari mendatang. Memang ianya turut diselitkan dengan cinta, namun ia hanyalah sebahagian.
“Namun saya akui, cinta yang membuatkan saya semakin dewasa dan memahami siapa itu lelaki dan kehidupan realiti,” katanya yang pernah menolak keinginan Styles untuk kembali bersama.
Setelah berpisah dengan Styles, Swift pernah dikaitkan dengan pelakon kelahiran Autralia, Brenton Thwaites.
Namun, sehingga kini, hubungan mereka masih belum didedahkan secara umum dan Swift lebih selesa menganggap Thwaites sebagai temannya sahaja.
Taylor Swift ikut kata fan nya
Labels:
Gossip artis malaysia
0 comments:
Post a Comment