Loading...
Sunday, March 9, 2014

Berderau darah kak engku

Setiap kali tibanya sambutan Hari Wanita Sedunia, penyampai Sinar FM, Raja Azura pasti akan menyisipkan kata-kata semangat kepada kaum wanita menerusi segmen Sinar Pagi yang dikendalikannya bersama Salleh Yaacob dan Khairil Rashid.
Apabila setiap tahun menyatakan perkara yang sama, Raja Azura yang lebih mesra disapa Kak Engku berasa tiada ertinya lagi jika dia sendiri tidak melakukan sesuatu bagi membuktikan setiap kata yang dilafazkannya. 

Lantas pelakon dan pengacara popular yang juga pemilik nama sebenar, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 41, menyahut cabaran Pengurus Kandungan Sinar FM, Rizal Sahimy untuk ke udara secara langsung dari ketinggian 300 meter di Lapangan Terbuka Menara Kuala Lumpur, Jumaat lalu. 

“Ia adalah idea Rizal. Dia cabar saya berani atau tidak untuk ke udara pada ketinggian 300 meter dari aras tanah di Menara Kuala Lumpur (MKL) sempena Hari Wanita Sedunia.
RAJA Azura bersama Salleh dan Khairil ketika ke udara secara langsung di Menara KL.

“Saya yang sememangnya takut berada di tempat tinggi dalam debaran yang kencang terima cabarannya itu dengan hasrat untuk membuktikan kepada wanita di luar sana tiada apa yang mustahil.

“Cabaran itu juga bertujuan mengumpul dana untuk ibu tunggal yang sekali gus merealisasikan impian saya untuk membela mereka yang senasib dengan saya,” katanya yang ditemui selepas dia menyelesaikan cabaran itu di MKL. 

Lega dan puas kerana berjaya mengharungi cabaran itu, cerita Kak Engku dia tidak dapat tidur kerana terlalu memikirkan apakah yang akan berlaku nanti. 

“Saya gagal melelapkan mata dan seawal jam 5 pagi saya sudah berada di MKL bersama kru Sinar FM, Salleh dan Khairil yang turut bersiaran di Lapangan Terbuka itu. 

“Melihatkan lapangan yang agak luas dan selesa itu saya rasa selamat, sekali gus melenyapkan segala kebimbangan, tetapi sangkaan saya meleset kerana cabaran saya bukan di situ, tetapi di atas tebing di luar lapangan. 

“Berderau darah saya. Segala persiapan peralatan keselamatan dilakukan Koordinator Kawalan Keselamatan MKL, Faizul Abdul Razak dan dua orang dari Nasa Team menjaga saya di kiri dan kanan. 

“Dalam debaran yang kian kencang, terasa rimas apabila dipasangkan banyak mikrofon untuk televisyen dan kamera pro di tubuh saya,” katanya. 

Sementara Kak Engku terpaksa berdiri di tebing, Salleh dan Khairil pula bersiaran di lapangan menara itu. 

“Saya juga tidak makan dan minum agar saya tidak akan ke tandas selama empat jam ke udara (dari jam 6 hingga 10 pagi). Saya hanya sempat minta seteguk air daripada Salleh,” katanya. 

Empat cabaran menanti Kak Engku iaitu pertama dia perlu berdiri di tebing pertama, kemudian melangkah ke tebing paling hujung, seterusnya dia duduk dan akhirnya melunjurkan kedua-dua kakinya. 

“Apabila saya berada di tebing pertama pada ketinggian 300 meter, 10 saat pertama terasa nyawa saya tinggal separuh dan apabila saya berdiri di tebing paling hujung, nyawa saya sudah berada di hujung kaki.

“Langkah awal saya supaya tidak gayat dan gementar saya tidak mahu fikir yang saya berada di tempat tinggi, kemudian saya tutup mata dan perlahan-lahan membukanya dengan memandang ke atas dulu, barulah saya lihat ke bawah.

“Saya berasakan diri saya paling selamat apabila saya duduk dan melunjurkan kedua-dua kaki, ketika itu saya rasa amat lega dan tidak takut apa-apa lagi.

“Untuk terus menghilangkan rasa gementar, saya bercakap untuk memberitahu situasi saya kepada pendengar kerana jika saya diam, saya tambah gugup,” katanya. 

Kejayaan Kak Engku mengharungi cabaran itu, dia berjaya mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya penyampai radio wanita yang berstatus ibu tunggal ke udara 300 meter dari atas tanah. 

Mereka yang datang melihat aksinya pada pagi itu dikenakan bayaran RM99 di mana RM50 disumbangkan kepada dana Persatuan Ibu Tunggal Malaysia. Sebanyak RM3,000 dapat dikumpul pada hari itu. 

Seramai 10 orang ibu tunggal daripada persatuan itu turut datang dan wang kutipan itu terus diserahkan kepada mereka. 

“Inilah sumbangan kecil saya untuk mereka. Kejayaan ini bukan saja saya mahu membuktikan semangat juang seorang wanita, tetapi saya mahu anak-anak jadikan saya idola mereka yang ibu mereka pernah mencipta sejarah di MKL. 

“Saya mahu memberi inspirasi kepada mereka, jangan takut berdepan dengan cabaran hidup,” katanya yang berhasrat untuk melakukan Base Jump juga di MKL pada September ini.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP