Loading...
Sunday, March 16, 2014

Enggan letak sebarang sasaran

SEJAK memulakan kariernya dalam bidang seni secara serius lima tahun lalu, pelawak Nur Jihan Musa pastinya boleh berbangga dengan pencapaian yang diraihnya sekarang ini.
Selaku bekas naib juara program Raja Lawak 3, setakat ini dia dilihat antara pelawak wanita yang cukup menyerlah serta berhasil menarik perhatian peminat dengan telatah lucunya yang mencuit hati.
Bagaimanapun, terdapat beberapa persoalan yang masih bermain di fikiran mengenai kisah peribadi dirinya terutama sekali yang membabitkan tentang cinta dan perkahwinan memandangkan usianya yang sudah mencecah 31 tahun.
Apatah lagi, sudah ramai yang mengetahui tentang hubungan cintanya yang sudah terjalin sejak tujuh tahun lalu dengan seorang jejaka yang dikenali sebagai Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli.
Bertemu dengan Jihan semasa majlis BBQ Party SYJ di Seksyen 13, Shah Alam baru-baru ini, dia mengakui masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat.
“Kalau ditanya bila akan berkahwin, saya sendiri masih belum ada jawapan lagi buat masa ini. Tidak dinafikan saya dan Hariz sudah lama bercinta tetapi perancangan ke arah hubungan yang lebih serius masih belum ada.
“Ketika ini masing-masing sibuk dengan kerjaya dan saya sendiri sedang berusaha untuk mengembangkan lagi karier seni. Lagipun keluarga faham dengan situasi kami dan mereka tidak pernah mendesak,” jelasnya apabila diajukan pertanyaan tentang perkahwinan.
Mengakui hubungannya dengan Hariz yang juga bekas peserta program Pilih Kasih musim kedua masih kekal seperti biasa, Jihan menyatakan, sekiranya dia sudah bersedia melangkah ke alam perkahwinan, keluarga merupakan pihak pertama yang akan diberitahu.
Berbicara lanjut mengenai perkara tersebut, dia menegaskan bahawa keluarga seharusnya menjadi keutamaan apabila sesuatu keputusan itu dibuat, terutamanya membabitkan masa depan.
“Selagi tiada sebarang perbincangan dibuat dengan keluarga, saya tidak akan berkata apa-apa tentang perkahwinan kepada umum. Bagi saya, keluarga perlu diberitahu terlebih dahulu sebelum dihebahkan kepada orang lain,” tegasnya.

JIHAN pernah merancang menamatkan zaman bujang pada usia 23 dan 27 tahun.



Mengenai sasaran untuk menuju ke gerbang alam rumah tangga pula, Jihan menjelaskan, dalam keadaannya yang cukup sibuk sekarang ini, dia tidak berani meletakkan sebarang sasaran.
Menurutnya, setiap kali sasaran dibuat pastinya ia tidak menjadi realiti dan sekarang ini dia lebih selesa untuk berserah kepada takdir apabila ia berkaitan dengan soal jodoh.
“Dahulu saya pernah meletakkan sasaran berkahwin pada usia 23 tahun tetapi tidak berjaya. Kemudian saya rancang menamatkan zaman bujang ketika berusia 27 tahun dan tidak terlaksana. Jadi, saya sudah tidak berani letak apa-apa sasaran lagi,” ujarnya.
Penyampai radio
Ditanya tentang perkembangan kerjayanya selepas menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM 2013) bersama kumpulan SYJ, Jihan memberitahu, tawaran berlakon dan membuat persembahan semakin bertambah.
Yang terbaharu, dia telah dipilih menjadi salah seorang penyampai radio Sinar FM sejak Februari lalu. Bertugas pada setiap hari Sabtu untuk program Sinar Sabturday bersama Shahrol Shiro, mereka akan ke udara pada pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.
“Sebenarnya saya sudah beberapa kali menjadi penyampai jemputan bagi menggantikan penyampai yang bercuti. Namun begitu, tiba-tiba timbul perasaan seronok pula apabila bertugas di konti radio.
“Kemudian semasa sedang bersaing dalam program MLM 2013, saya ada menerima tawaran menjadi penyampai radio secara separuh masa. Bagaimanapun, saya hanya memberikan persetujuan setelah tamat MLM 2013 kerana mahu memberikan tumpuan kepada program berkenaan terlebih dahulu,” ujarnya.
Ujar Jihan, dia bersetuju menerima tawaran menjadi penyampai radio kerana ingin mengembangkan lagi kerjaya seni yang diceburinya sekarang serta sebagai salah satu cara untuk melatih cara bercakap dengan lebih baik dan spontan.
“Pada mulanya agak sukar untuk membuat keputusan memandangkan jadual saya juga agak padat. Setelah difikirkan beberapa kali, rasanya tidak salah kalau saya mencuba suatu bidang yang baharu dan ia merupakan satu perkara yang positif dalam kerjaya saya,” ujarnya.
Menurutnya, sepanjang empat jam ke udara setiap minggu, dia dan Shahrol akan mengendalikan beberapa segmen menarik seperti Drama Parodi, Debat XX vs XY dan Cerita Dari Topi.

KIRA-KIRA 100 peminat meluangkan masa menghadiri majlis BBQ Party SYJ yang berlangsung di Shah Alam, Selangor.


Utamakan SYJ
Kali pertama bergabung dengan dua pelawak lelaki, Syuk dan Yassin untuk membentuk kumpulan SYJ bagi menghadapi saingan MLM 2013 ternyata membuahkan hasil yang memberangsangkan, biarpun tersingkir di minggu ke-11.
Menceritakan masa depannya bersama SYJ selepas MLM 2013 berakhir, Jihan berkata, mereka bertiga masuk meneruskan kerjaya lakonan masing-masing dan menegaskan SYJ akan kekal bersama.
“Setakat ini saya masih terus mendapat tawaran berlakon dan membuat persembahan secara solo, begitu juga dengan Syuk dan Yasin. Sekiranya ada tawaran yang membabitkan SYJ, kami akan bergabung sekiranya ada kelapangan.
“Walaupun kali pertama digabungkan, kami tidak mengambil masa lama mendapatkan keserasian. Biasanya kalau ada mana-mana pihak yang menawarkan saya membuat persembahan, saya akan cuba usulkan nama SYJ agar persembahan menjadi lebih mantap,” jelasnya.
Selain itu, dia memberitahu atas sokongan padu yang diberikan oleh peminat sehingga kini turut menjadi faktor utama SYJ akan terus dikekalkan demi tidak mahu mengecewakan mereka.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0317&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2wAYoxaaP 
Hakcipta terpelihara 

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP