Loading...
Sunday, March 16, 2014

Noh dikias supaya bersara

SELEPAS menunaikan ibadah haji bersama isterinya Mizz Nina pada penghujung tahun lalu, vokalis band Hujan, Noh Salleh mengakui kehidupannya banyak berubah ke arah yang lebih baik.
Isterinya yang dulunya sinonim dengan imej moden, kini tampil anggun dengan hijab penuh. Mizz Nina, 34, juga sudah menyuarakan isi hatinya untuk berhenti menyanyi dan memberi fokus kepada perniagaan busana Muslimah yang diberi nama Madeena.
Noh, 30, yang ditemui pada sesi pradengar album solo sulungnya di studio miliknya di Ampang Jaya, Selangor baru-baru ini memberi sokongan penuh terhadap perubahan drastik yang dilakukan isterinya.
“Saya sokong apa sahaja keputusannya termasuk berhenti menyanyi. Mulanya memang sukar sebab saya tahu minatnya terhadap muzik cukup mendalam.
“Sekembalinya daripada menunaikan haji, dia banyak menghadiri kuliah agama dan nampaknya sekarang dia lebih arif soal agama berbanding saya. Saya suka dengan perubahannya sehinggakan jika ada tawaran nyanyian, dia tolak begitu sahaja,” kata Noh.
Tambahnya, Mizz Nina ada memberi kiasan kepadanya untuk dia juga berhenti menyanyi. Bagaimanapun kata Noh, isterinya tidak mendesak sebaliknya membuatnya terfikir tentang masa depannya sendiri.
“Nina ada berkias untuk saya juga berhenti menyanyi tetapi dia tidak mendesak. Selepas dia cakap begitu, ia membuatkan saya terfikir sendirian, apa lagi yang saya boleh buat selain muzik.
“Buat masa ini, saya masih fokus pada bidang muzik. Bayangkan, sudah 10 tahun saya bergelumang dalam muzik, kemahiran dan pendapatan saya hanya dalam bidang ini. Jika saya berhenti, apa yang saya mampu lakukan,” ujar Noh tanpa berselindung.
Album baharu
Bercakap tentang album solo pertamanya yang diberi judul Noh Salleh itu, tegas Noh, kelahiran album solo itu tidak bermakna band Hujan sudah berpecah, sebaliknya ini hanyalah salah satu projek individu.
“Apabila saya bersama band Hujan, muzik yang dilahirkan merupakan idea lima orang tetapi album solo ini merupakan idea saya sepenuhnya kerana saya tahu apa yang diinginkan.
“Hujan masih wujud dan akan terus wujud kerana kami sudah umpama sebuah keluarga. Masing-masing mempunyai projek solo sendiri, meskipun sekarang saya berehat daripada band Hujan tetapi jika ada undangan pentas, kami tetap mengadakan persembahan bersama,” balasnya.

NOH kini bahagia bersama Mizz Nina dalam pelayaran bahtera rumah tangga.


Justeru, adakah album solo ini merupakan persediaan buatnya andai band Hujan tidak lagi diminati pada masa hadapan?
“Sejujurnya, saya tahu band Hujan naik terlalu cepat. Jika cepat sangat naik, cepatlah juga sebuah band itu akan turun.
“Sebenarnya, kami semua sentiasa bersedia andai band Hujan tidak lagi diminati. Hari itu pasti akan tiba tetapi selagi kami menerima tawaran dan ada permintaan terhadap Hujan, kami akan sentiasa bersama,” kata Noh yang turut mendapat sokongan anggota band Hujan untuknya tampil dengan album solo.
Album yang dibikin selama setahun ini penuh dengan rasa romantis kerana isterinya merupakan inspirasi untuk setiap lagu di samping suntikan genre new age jazz dan pop nusantara.
Mengandungi lima buah lagu iaitu Angin Kencang, Biar Seribu, Bunga Di Telinga, Sang Penikam dan Gelung, ujar Noh, selepas lapan tahun bersama Hujan, baru hari ini dia mempunyai keyakinan untuk tampil solo.
“Memang saya sudah terbiasa menyanyi dengan sokongan band Hujan di belakang saya. Bersama band Hujan, saya membina keyakinan diri untuk menjadi diri saya hari ini.
“Saya sedar, saya tidak ada suara sehebat Aizat tetapi saya meletakkan keseluruhan jiwa saya di dalam lirik-lirik yang saya tulis,” jawab Noh.
Meskipun sudah berani menghasilkan album solo, tegas Noh, dia masih belum bersedia untuk menghasilkan lagu ketuhanan kerana tanggungjawabnya sangat besar.
“Hiburan dan agama suatu perkara yang sangat besar. Saya masih belum berani untuk campurkan dua perkara itu. Terus terang, saya belum bersedia untuk buat lagu ketuhanan, biarlah saya fokus terhadap muzik saya sahaja sekarang ini,” ucap Noh.

\

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP