Loading...
Tuesday, March 11, 2014

Pernah dilamar jejaka India

PERNAH disangka sebagai seorang gadis berketurunan India lantaran wajah yang dimiliki serta kebolehannya berbahasa Tamil, ternyata ia memberikan kelebihan tersendiri buat pelakon Raja Ramilah Begum Raja Mohamad atau lebih dikenali sebagai Raja Ilya itu.
Selain kerap membintangi drama dan telefilem Melayu sejak berkecimpung dalam bidang lakonan tujuh tahun lalu, pelakon berdarah kacukan Melayu dan Malayam itu juga agak 'laku' dalam dunia lakonan Tamil tempatan.
Bagaimanapun, kelebihan yang dimilikinya itu sebenarnya pernah mengundang kekeliruan segelintir pihak kerana ada yang menyangka dia merupakan seorang gadis berketurunan India.
Bertemu dengan Ilya semasa majlis pengumuman pra kemuncak ABP 2013 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada minggu lalu, pelakon itu berkongsi cerita yang agak melucukan.
"Pada tahun lepas saya pernah ikut rakan yang membuat rakaman video ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves, Selangor memandangkan saya memang teringin hendak melihat dengan mata sendiri tentang penganut agama Hindu meraikan perayaan tersebut.
"Paling menarik kehadiran saya di sana menjadi tumpuan kerana ada yang menyangka saya ini gadis berketurunan India. Sehingga ada seorang lelaki yang berjumpa dengan rakan saya dan meluahkan hasratnya untuk mengambil saya sebagai isteri," ceritanya sambil ketawa tentang kejadian lucu tersebut.
Mengakui agak gementar dengan keadaan yang dialaminya itu, Ilya menyatakan dia agak bernasib baik kerana lelaki berkenaan tidak meneruskan hasratnya itu setelah mengetahui dia merupakan seorang gadis Melayu.
Bercerita tentang perkembangannya dalam bidang seni, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Tamil tempatan berjudul Appalam itu meluahkan rasa gembira dengan segala yang dinikmatinya sekarang.

ILYA mempunyai ramai peminat dalam kalangan penggemar naskhah Tamil.



Ujarnya, sokongan yang diterima terutama dalam kalangan peminat Melayu dan India sangat menggalakkan dan itu yang menyebabkan tawaran lakonan yang diterima semakin mencurah-curah.
"Pada tahun lalu, saya mendapat tahu ada seorang peminat yang sanggup mengendalikan sebuah akaun Facebook khusus untuk para peminat saya iaitu Raja Ilya Fan Club (IFC) tanpa pengetahuan saya sendiri.
"Apa yang mengejutkan, ketika saya menghubungi pengendali akaun Facebook berkenaan, rupa-rupanya dia merupakan seorang remaja lelaki India berusia 17 tahun dan sudah mengikuti perkembangan karier seni saya selama empat tahun," jelasnya.
Menurut Ilya, tanpa mendapat sokongan yang padu daripada peminat sudah tentu dia tidak akan tercalon dalam senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular 2013 bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular buat julung-julung kalinya.
Lebar sayap
Memandangkan kerap tampil dalam produksi drama bersiri dan filem Tamil tempatan, Ilya memberitahu kini dia berpeluang untuk melebarkan sayap lakonannya di luar negara.
Ujarnya, baru-baru ini dia telah mendapat tawaran untuk membintangi sebuah filem Tamil di India dan akan bergandingan dengan seorang pelakon lelaki yang agak popular di sana.
"Kali pertama ditawarkan berlakon dengan sebuah produksi dari India, saya seperti agak terkejut dan tidak percaya. Mungkin kelebihan saya yang mampu bertutur dalam bahasa Tamil merupakan satu kelebihan sehingga ditawarkan watak utama.
"Saya sudah bersetuju berlakon dalam filem berkenaan, cuma belum pasti bila penggambaran akan dimulakan. Ketika ini saya sedang menunggu jadual yang akan dihantar oleh pihak produksi serta masih belum pasti tentang identiti sebenar pelakon lelaki berkenaan," jelasnya.

SUDAH dilamar untuk terbabit dalam sebuah produksi antarabangsa dari India, Ilya kini menunggu masa untuk memulakan penggambaran sulung filem Tamil antarabangsa lakonannya.



Biarpun menyedari tawaran lakonan di Malaysia yang semakin banyak sekarang, namun Ilya meluahkan bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk dia cuba mencipta nama di luar negara menerusi tawaran yang diperoleh itu.
"Sebagai pelakon saya ada sasaran tersendiri dan salah satunya mahu mencipta nama di luar negara dengan kelebihan yang saya ada. Kalau boleh, saya ingin menjadi seperti Tan Sri Michelle Yeoh," luahnya dengan penuh yakin.
Watak antagonis
Jika kebanyakan pelakon gemar sekiranya ditawarkan watak protagonis dalam sesebuah naskhah sama ada drama bersiri atau filem, sebaliknya Raja Ilya mengakui dia lebih tertarik membawakan watak antagonis.
Jelas Ilya, lakonannya dalam drama bersiri Dahlia pada tahun lalu dengan membawakan watak antagonis bernama Haliza ternyata memberi impak tersendiri dalam kariernya sebagai seorang pelakon.
"Ramai yang memberikan maklum balas positif terhadap lakonan saya dalam drama berkenaan, meskipun membawakan watak yang dibenci penonton. Malah, ia telah memberikan impak yang positif terhadap karier saya sebagai pelakon.
"Pada mulanya agak takut juga untuk membawakan watak antagonis, tetapi rupa-rupanya kekuatan saya lebih terarah kepada watak sedemikian sehingga mendapat banyak pujian daripada penonton," ujarnya.
Berkenaan dengan aktiviti lakonannya yang terkini pula, dia bakal berlakon dalam drama bersiri berjudul Cinta Ibadah sebanyak 80 episod bersama pelakon Zul Huzaimi dan Aishah Ilias.
"Dalam drama berkenaan saya sekali lagi membawakan watak antagonis. Saya sendiri yang minta diberikan watak tersebut. Lagipun sudah lama saya tidak membawakan watak antagonis selepas drama Dahlia," ujarnya.
Selain itu, dia juga bakal membintangi sebuah filem pendek berjudul Rumah Itu Duniaku yang turut menampilkan beberapa pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su dan Josiah Hogan.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP