Lembaran Ilmu
Kelebihan Bertukar Juadah .
Assalamualaikum ...
Dengan lafaz Bismillah ...
Suatu ketika dahulu , pada tahun 80-an , 70-an , 60-an dan seterusnya , beriftar di kampung sangatlah meriah . Selaluya juadah untuk berbuka tidaklah banyak diatas meja makan . Mereka hanya membuat beberapa juadah ringkas yang mampu mereka sediakan tetapi pada skala yang besar kerana mereka nak agihkan atau bertukar juadah dengan jiran tetangga .
Adat Bertukar Juadah
Adat dijunjung , budaya disanjung . Adat yang saya nak kongsikan di sini sangat sinonim dengan bulan bulan Ramadhan . Ketika waktu mula menginjak ke jam 6 petang , anak - anak dara juga para ibu akan mengagihkan juadah berbuka kepada jiran tetangga . Jiran pula akan memulangkan bekas makanan dengan juadah mereka pula . Inilah adat bertukar juadah yang sudah menjadi satu kemestian . Dari hanya satu jenis juadah yang dihasilkan untuk berbuka , mereka akan dapat lebih banyak apabila bertukar juadah .
Mengeratkan Ukhwah
Pertukaran juadah ini sebenarnya dapat mengeratkan ukhuwah sesama mereka . Malah makanan juga boleh menjadi perantara bagi mereka yang bersengketa . Tak percaya ? Cuba anda ingat kembali bagaimana drama Melayu kita . Bukankah kita sering dihidangkan dengan cerita gaduh - gaduh manja serta merajuk - merajuk sayang antara jiran tetangga juga besan ? Tetapi akhirnya berdamai dengan makanan sebagai perantara . Itulah realitinya kehidupan kita . Malangnya , mengeratkan ukhuwah cara ini lebih banyak dipraktikkan di kampung berbanding warga bandar . Orang bandar sibuk kerja . Jiran pun kadang tak kenal . Jauh sekali nak bersembang .
Jimat belanja
Semasa saya kecil , bunda tak buat banyak hidangan untuk berbuka . Selalunya hanya masak nasi bersama lauk pauk . Hidangan pembuka selera atau pencuci mulut atau kuih muih hanya satu jenis sahaja . Tapi disebabkan adat bertukar juadah yang aktif , meja makan boleh penuh dengan pelbagai juadah . Menjimatkan bukan ! Tak perlu membazir masak banyak tetapi dapat beriftar dengan pelbagai hidangan .
Sedekah Yang Ikhlas
Keseronokan bertukar juadah di bulan Ramadhan menzahirkan sedekah yang paling ikhlas dan paling mudah dilakukan selain senyuman berbanding dengan sedekah lainnya . Bila kita ikhlas memberi maka kita akan menerima keikhlasan mereka juga . Ibarat kata pepatah ' orang memberi kita merasa . '
Melimpahkan Rezeki
Dari sekadar beberapa jenis juadah ringkas , akhirnya iftar kita disajikan dengan pelbagai juadah pemberian jiran . Jadi , bermula dengan tak cukup atau sekadar apa yang ada telah menjadi lebih dari cukup untuk menjamu anda sekeluarga .
Di kampung saya , adat ini masih ada . Kampung sama ada bersaiz besar atau kecil , mereka tetap mengenali antara satu sama lain . Jadi tidak wujud masalah nak memberi juadah pada siapa . Sebut saja nama , anak - anak sudah kenal yang mana satu rumahnya .
Di bandar pula , yang memiliki kejiranan yang ' mesra jiran ' , adat ini juga ada diamalkan . Maklumlah , orang duduk di bandar pun kebanyakannya berasal dari kampung juga . Bezanya , jarang dapat kenal jiran setaman kecuali taman perumahan itu aktif dengan aktiviti dan semua penghuninya terlibat sama .
Inilah salah satu rahmat disebalik Ramadhan yang kita kurang ambil peduli sebagai warga kota . Kita lebih utamakan buffet Ramadhan dan jemputan beriftar di sana sini .
Ditulis oleh :
Hakmilik mutlak Lembaran Ilmu @ veesandy.blogspot
0 comments:
Post a Comment