Loading...
Friday, January 10, 2014

Muka Macam Manohara, Neelofa

Karier seninya terjadi begitu indah. Terasa seperti kisah dongeng pula tatkala mendengar ceritanya.
Bertitik tolak daripada pertandingan Puteri Indonesia 2008 dan memenangi kategori pilihan penonton iaitu ‘Puteri Favourite’, saham pelakon dan model jelita Indonesia, Raline Rahmat Shah, 29, atau nama komersialnya Raline Shah naik mendadak dan mula menjadi buruan ramai.
Perubahan hidup yang tidak pernah dijangka kerana menyertai pertandingan ratu cantik itu juga bukan atas kemahuan hati, sebaliknya dia didaftarkan oleh seorang sahabat.

Setiap peringkat dilalui dengan mudah bersandarkan tiket iaitu aset dirinya yang bukan saja cantik tetapi juga bijak.
Pendek kata, Raline si jelita yang cukup bertuah!
“Ketika itu saya baru tamat pengajian di National University Of Singapore dalam jurusan Sains Politik dan sudah lama tidak pulang ke Indonesia. Justeru, seorang teman mendorong saya mencuba nasib dalam pertandingan Puteri Indonesia.

“Alhamdulillah, saya berjaya menempatkan diri di peringkat final dan dipilih penonton sebagai peserta ‘favourite’. Banyak perkara yang saya belajar sepanjang pertandingan itu dan ia sangat membantu kerjaya saya hari ini.

“Sesudah pertandingan itu, saya mulai dikenali dan mendapat banyak peluang oleh pihak media selain dihujani pelbagai tawaran berlakon, iklan komersial dan duta produk,” katanya kepada RAP, baru-baru ini.

Menurut Raline, pembabitannya sebagai model juga berlaku secara tidak sengaja. Waktu itu dia masih menuntut dan seorang rakan mengajaknya ke sebuah agensi model.

“Sebenarnya saya kurang gemar bergambar tetapi anehnya agensi berkenaan memilih saya.

“Sehingga kini sudah banyak pentas peragaan saya jayakan dan yang paling manis ialah di New York ketika memperagakan songket tenun Indonesia,” katanya.
Tidak sebarangan memilih watak, gadis dilahirkan pada tanggal 4 Mac 1985 itu lebih cenderung memilih peranan yang mampu memberi kesan baik buat dirinya dan juga penonton.

Biarpun masih hijau di persada seni Indonesia, Raline tidak mahu bersikap ‘sapu semua’ hanya kerana mahu cepat popular.

Dalam pada meletakkan ‘standard’ tersendiri, gadis dengan ketinggian 172 sentimeter ini tetap juga bertuah di mana filem yang menampilkannya sebagai watak utama iaitu 5 CM pada 2012 dan 99 Cahaya di Langit Eropa (2013) menjadi filem terlaris di Indonesia.

“Saya tidak melakukan sesuatu kerana wang tetapi memilih untuk berlakon dalam filem yang boleh memberi kepuasan kepada diri dan ada manfaatnya buat penonton.

“Saya suka mesej yang terdapat dalam kedua-dua filem adaptasi novel ini. Jika 5 CM, ia menceritakan sekumpulan anak muda yang ingin mengejar cita-cita, sekali gus berani mengatasi ketakutan dengan mendaki puncak tertinggi Jawa iaitu Puncak Mahameru.

“Filem 99 Cahaya di Langit Eropa pula mengisahkan Hanum yang menetap di Eropah kerana menemani suaminya, Rangga yang sedang mengikuti pengajian sarjana di sana,” katanya.

Faline berkata, dalam filem itu dia berlakon sebagai Fatma, seorang Muslimah dari Turki. Mengenali Fatma membuka mata Hanum betapa hebatnya cabaran dan suka duka menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim yang juga golongan minoriti di Eropah.

“Saya sukakan watak Fatma kerana itu saya menolak watak utama yang diberikan kepada saya kerana lebih tertarik dengan watak ini. Alasan utama, saya tidak punya wajah wanita Indonesia yang diperlukan untuk watak Hanum.

“Apabila menolak watak utama, saya harus meyakinkan pengarah bahawa saya boleh menghayati karakter Fatma sebaik mungkin, bahkan harus berdialog dalam bahasa Perancis.

“Dalam menempuh kehidupan yang sukar, status sebagai ibu tunggal yang mempunyai seorang anak perempuan dan menghidap kanser, namun dia masih mampu menjadi Muslim yang baik antara sebab mengapa saya begitu inginkan watak Fatma.

“Saya berharap saya dapat menjadi penganut Islam yang baik seperti Fatma suatu hari nanti,” katanya.

Pernah juga menimba pengalaman membintangi teater muzikal adaptasi daripada kisah dongeng tersohor Indonesia, Timun Mas, Raline menyifatkan pembabitannya dalam pementasan itu paling memberi kepuasan kerana dia perlu menyempurnakan rutin seperti nyanyian, tarian dan pada masa sama berlakon.

Malaysia rumah kedua

Raline yang ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini adalah anak sulung daripada tiga beradik dan menganggap Malaysia adalah rumah keduanya.

Katanya, selain mempunyai ramai kenalan di sini, neneknya berasal dari Johor manakala datuknya dari Melaka.

“Apabila di Indonesia mereka fikir saya orang Malaysia dan apabila di sini pula mereka sangka saya orang Indonesia. Saya letakkan diri saya di tengah-tengah kerana Indonesia mahupun Malaysia tetap keturunan saya.

“Apatah lagi, Malaysia bukan saja seperti rumah kedua tetapi saya sendiri pernah menetap di sini selama lima tahun selain belajar di Kolej Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan.

“Bezanya setiap kali saya pulang ke sini, saya manfaatkan saat itu untuk menikmati ‘holiday’. Jadi saya belum berkesempatan pulang untuk bekerja di bawah produksi di Malaysia,” katanya.

‘Merampas’ takhta daripada dua penghibur hebat, Datuk Rossa dan Anggun sebagai duta Pantene, sebagaimana ibu bapanya yang aktif terbabit dalam kerja amal begitulah diibaratkan Raline.

Pada usia yang masih muda, Raline dan sahabatnya sudah berjaya menubuhkan rumah kebajikan iaitu Tree Little Angel untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai penyakit kritikal.

Malah, sebelum ini Raline pernah terbabit dalam penganjuran dana ‘Sih Saya Peduli’.

Hasrat murni gadis ini sehingga dia berharap dapat mengumpul dana untuk membantu kanak-kanak di seluruh dunia yang mengalami penyakit kritikal.

“Malah saya juga tidak keberatan menimba pengalaman bekerja dengan produksi
di sini sekiranya menerima tawaran yang bersesuaian,” katanya.

Status sebagai anak kepada pengusaha terkenal di Medan, Sumatera Utara iaitu Rahmat Shah yang turut bergiat aktif dalam bidang politik, langsung tiada kaitan dengan keputusan Raline melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Politik.

Bahkan, ujar Raline, bapanya langsung tidak pernah mendesaknya untuk terbabit dalam bidang berkenaan. Sebaliknya dia sendiri mendapati pengajian dalam bidang itu sangat menarik.

Sebelum menoktahkan perbualan, Raline sempat ditanya, apabila wajahnya dikatakan mempunyai iras Manohara dan Neelofa. Bahkan di Internet, ada yang membandingkannya dengan bekas isteri aktor kacak, Orlando Bloom iaitu Miranda Kerr.

“Persamaan mungkin kerana saya dan Miranda memiliki raut wajah bulat. Apapun tentu sekali saya gembira disamakan dengan wanita cantik seperti Manohara, Neelofa dan Miranda,” katanya

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP