PETALING JAYA: Pelakon Serina Redzuawan mengakui tidak meminta pandangan daripada bapanya iaitu chef terkenal Chef selebriti Datuk Mohd Redzuawan Ismail (Chef Wan) untuk membuka restoran yang diberi nama Char Kuey Teow Simply Delicious Penang Mai.
Serina, 31, berkata, sejak daripada kecil dia lebih selesa berdikari dan membuat keputusan sendiri tanpa campur tangan bapanya itu.
"Saya baru sahaja membuka restoran iaitu Char Kuey Teow Simply Delicious Penang Mai di The Strange, Kota Damansara beberapa bulan lalu, ia merupakan restoran yang menghidangkan Char Kuey Teow yang popular di Pulau Pinang.
"Saya buka sendiri dan tanpa meminta pandangan daripada bapa kerana jika ada campur tangan dia, ianya akan menjadi rumit kerana dia terlalu cerewet dan hanya inginkan barisan chef yang hebat belaka, sedangkan saya mahu makanan yang mudah dan digemari ramai" katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, kata Serina, selepas restoran tersebut siap untuk beroperasi barulah dia menjemput bapanya untuk merasai hidangan yang ditawarkan di restoran tersebut.
Jelasnya, dia tidak bermaksud untuk membelakangkan bapanya, namun lebih gemar berdikari sendiri tampa bergantung kepada keluarga.
"Saya seorang yang berdikari sejak daripada kecil lagi dan kalau boleh tidak mahu bantuan daripada keluarga.
"Dia (Chef Wan) memang marah dengan tindakan saya ini, namun dia memahaminya," katanya.
Tambah Serina, bapanya juga sering menghubungi bertanya tentang restoran tersebut dan menawarkan bantuan jika diperlukan.
Dalam pada itu, Serina turut memiliki pusat kecantikan dan farmasi serta syarikat produksi yang dikongsi bersama Yusof Kelana.
Jelasnya, cabaran mengendalikan empat buah perniagaan membuatkannya memilih untuk mengenepikan bidang lakonan dan pengacaraan.
"Tipu jika saya katakan tidak rindu kepada bidang pengacaraan serta berlakon, namun banyak perkara yang perlu saya utamakan seperti suami dan anak-anak. Masa yang suntuk membataskan saya untuk kembali aktif," katanya
0 comments:
Post a Comment