Loading...
Monday, January 6, 2014

Wanna Ali selebriti yang semakin bersinar.

PERJALANAN Nor Syazwana Mohd. Ali atau lebih dikenali sebagai Wanna Ali sebagai selebriti tampak semakin bersinar. Kemunculannya dalam seni suara menerusi lagu Lepaskan ciptaan Ajai menguatkan lagi dirinya di persada seni.
Tingkah laku Wanna yang masih lagi tebal dengan gaya keanak-anakan itu bukan penyebab untuk dirinya terus dilupakan. Aura penghiburnya menyerlah dek kerana bijak bergaya dan mencuri tumpuan peminat kerana sejak kecil, dia sudah memasang angan-angan untuk bergelar penyanyi.
Sebagai anak kepada pemilik produksi Pencil Pictures Sdn. Bhd., Normashayu Putih, sedikit sebanyak membuka peluang buat Wanna untuk berjinak-jinak dalam dunia hiburan.
Atas usaha ibunya itu jugalah, Wanna mula bertapak dalam dunia seni. Selain menyanyi, Wanna pernah terlibat sebagai pelakon pembantu dalam filem terbitan ibunya iaitu, Aku Ada, Kau Ada.
Lalu, peluang itu muncul. Mengembangkan bakatnya sebagai penyanyi dan pelakon dalam masa lebih kurang dua tahun sehingga namanya terukir sebagai bintang, Wanna kini sudah mampu tersenyum apabila pendakiannya untuk bergelar anak seni akhirnya tercapai.
"Saya bersyukur kerana mempunyai ibu yang sangat komited dan yakin dengan bakat yang saya ada. Hadirnya ibu memberi seribu makna kepada saya.
"Ibulah penyokong dan pendukung di sebalik kejayaan saya sebagai selebriti," kata gadis berusia 17 tahun ini.
Menolak dakwaan suara-suara yang sinis mendakwa bahawa dia melalui jalan mudah untuk berjaya, jelas Wanna, ketentuan rezeki mengatasi segala-galanya.
"Tidak kisahlah apa yang orang akan kata kerana saya menganggapnya sebagai peluang buat saya. Lagipun tidak salah untuk saya mencuba nasib kerana minat saya bukan syok sendiri tetapi kerana minat yang mendalam kepada bidang nyanyian," ujar Wanna.
Sedar bahawa dirinya masih mentah untuk membuat keputusan tentang kerjaya masa depan, anak kelahiran Kuala Lumpur itu menjelaskan, bidang pelajaran tetap diberi keutamaan.
"Sebab itu, jika ada yang memanggil untuk membuat persembahan, saya akan bataskan semuanya. Saya cuma akan membuat persembahan semasa musim cuti sekolah sahaja.
"Ada buat masa sekolah tetapi hanya pada hujung minggu sahaja. Hari biasa saya akan tumpukan pada pelajaran.Lagipun tahun ini saya akan duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya yang bersekolah di Sri KDU, Kota Damansara ini.
Raih populariti?
Menyentuh mengenai persaingan yang wujud apabila industri sering dibanjiri dengan bakat baharu, Wanna memberitahu, dia akan sentiasa memberi kelainan untuk memajukan dirinya dalam bidang seni hiburan.
Tambah Wanna, dia berpendapat bahawa persaingan bukanlah penghalang untuknya meneruskan minat dalam bidang lakonan dan nyanyian.
"Sebenarnya penglibatan saya sebagai penyanyi dan pelakon setakat ini sekadar hobi sahaja. Tidak terfikir pun untuk menjadikannya sebagai kerjaya kerana cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang doktor.
"Penglibatan saya dalam industri seni ini juga bukan untuk mencari populariti, sebaliknya saya inginkan pengalaman lebih mendalam dalam dunia hiburan," katanya yang meminati penyanyi Adele, Taylor Swift dan Amy Winehouse.
Bercakap pasal dikenali, jujurnya Wanna tidak merasakan sebegitu. Rasanya, masih ramai di luar sana yang masih tertanya-tanya siapa Wanna.
Pernah sesekali, ada yang nenyangka lagu Lepaskan adalah dendangan bekas pemenang program realiti MyStarz LG, Wana, walhal sangkaan itu jauh tersasar.
Namun, semua itu tidak diambil peduli dan Wanna mengaku dia tidak perlu mengambil hati.
"Apabila mendapat tahu orang keliru antara saya dan Wana, tidak terdetik pun rasa terkilan kerana nama kami pun hampir sama bunyinya cuma ejaan saja yang lain.
"Kalau untuk dikenali pun belum ramai yang tahu, apatah lagi kalau nak kaitkan populariti dengan saya. Saya belum popular, itu satu perkara yang saya sendiri akui dan semua orang pun tahu.
"Perjalanan ini jauh lagi dan saya tak perlu berdiri di atas populariti yang dibuat-buat atau direka-reka semata-mata nak memastikan orang tahu kewujudan saya dalam industri," ujarnya.
Stop Kamu!, lagu baharu
TIDAK mahu dirinya hanya dikenali dengan sebuah lagu, Wanna berusaha dan terus membuktikan bahawa dia mempunyai keinginan dalam industri nyanyian yang boleh membantunya di masa hadapan.
Muncul dengan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai, Stop Kamu!, Wanna menganggap itu satu lagi permulaan baharu dalam perjalanan seninya.
"Lagu ini hanya dibuat dalam masa dua minggu dan sebab itu saya mengagumi Ajai sebagai seorang komposer.
"Saya memang bekerja keras untuk single baharu saya ini kerana saya teringin memiliki sebuah album. Latihan dalam studio memang saya khaskan sehingga satu setengah jam sehari.
"Apa yang saya boleh katakan, saya berbangga apabila dapat bekerja dengan Ajai ditambah kehebatannya sebagai seorang komposer yang berpengalaman," ujarnya yang akan mengeluarkan album tidak lama lagi.
Tambah pelakon filem Tokan ini, dia akan berusaha untuk mencari lagu-lagu yang rancak sesuai dengan minat remaja-remaja masa ini.
Untuk permulaan 2014, Wanna berharap lagu baharunya itu akan diterima oleh semua peminat.
"Tiada apa yang saya harapkan. Saya hanya mengharapkan sokongan peminat untuk saya terus kukuh berdiri sebagai seorang penyanyi.
"Saya meminati bidang muzik sejak kecil lagi dan suka menyanyi sampailah sekarang. Sebenarnya, saya pun tidaklah menyimpan cita-cita untuk menjadikan seni sebagai karier tapi apabila peluang sudah terbuka, saya pun terima.
"Nyanyian itu umpama sudah menjadi sebahagian daripada diri kerana setiap masa pun saya akan habiskan dengan mendengar lagu dan menyanyi di rumah," katanya yang teringin belajar bermain muzik.
Masih tidak menyimpan hasrat mencipta lagu sendiri, Wanna berkata, biarlah dia menyerahkan tugas itu kepada komposer handalan untuk membantu dirinya.
"Tidak dinafikan ramai penyanyi berjaya pada masa ini terdiri daripada mereka yang mencipta lagu sendiri, namun saya tidak mahu kerana masih tidak yakin dengan lagu ciptaan sendiri," katanya penuh dengan keyakinan sambil menutup bicara.
Oleh GARRET DAWUM


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP