Loading...
Monday, January 6, 2014

SYJ Pandai buat lawak lucah jer!

SYJ merupakan antara kumpulan peserta yang selalu mendapat pujian daripada para pengkritik dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega 2013 yang kini sedang rancak dipertandingkan menerusi saluran Astro Warna.
Para pengkritik yang terdiri daripada Datuk Yusof Haslam, Luna Maya, Sheikh Haikal dan Nora Danish jarang memberikan komen yang mengecilkan bakat serta persembahan mereka dalam pertandingan tersebut.
Ini kerana, persembahan SYJ yang dianggotai Shuk, Jihan dan Yassin bukan sahaja mudah menggeletek hati para juri dan penonton, malah mereka juga menyajikan gaya lawak tersendiri walaupun ia dikatakan berbaur lucah.
Selaku pelawak senior, Yassin tidak menafikan gaya persembahan SYJ yang dikategorikan sebagai lawak berbaur lucah atau ‘dua makna’ itu sering dilontarkan oleh Shuk tetapi ia masih lagi dalam keadaan yang terkawal.
"Saya tidak nafikan Shuk memang cenderung buat lawak yang macam itu walaupun ia kadangkala terkeluar secara spontan. Bagi saya, gaya lawak itulah yang mudah untuk membuatkan orang ketawa pada persembahan kami.
"Cuma terpulanglah kepada para penonton untuk menilai atau mentafsirkan lawak Shuk itu. Bagaimanapun saya sudah nasihatkan dia (Shuk) supaya jangan keterlaluan supaya para penonton tidak salah faham," katanya.
Yassin mengulas isu itu sewaktu sidang akhbar yang diadakan sempena persembahan Geng Lawak @ PICC yang dijayakannya bersama ramai pelawak lain seperti kumpulan Osama dan Sabri Yunus di Putrajaya baru-baru ini.
Sementara itu, Shuk atau nama sebenarnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar berkata, dia tidak menganggap gaya lawak ‘dua makna’ atau double meaning yang dipersembahkannya itu negatif mahupun berbaur lucah.
"Terpulanglah kepada para penonton untuk mentafsirkan apa isi dalam lawak saya. Apa yang penting saya tidak menyebut perkataan yang lucah ataupun secara terang-terangan bercakap ayat atau perkataan yang kotor," komennya.
Sementara itu, seorang lagi anggota SYJ iaitu Jihan pula berkata, biar apapun jenis lawak yang ditampilkan oleh kumpulannya dia tetap bersyukur kerana kolaborasi mereka bertiga diterima oleh para penonton pertandingan itu.
Tambahnya lagi, dia juga tidak menduga kolaborasi itu serasi apatah lagi diterajui oleh pelawak berpengalaman seperti Yassin yang sebelum itu pernah menganggotai kumpulan lawak Senario dan bergerak secara solo.
"Sebelum ini saya, Shuk dan abang Yassin tidak pernah bergabung dalam sebuah kumpulan. Tidak sangka kolaborasi ini diterima oleh para penonton dan kami akan teruskan pada masa akan datang kerana bukan mudah mencari keserasian.
"Kami juga sedia menerima tawaran mengadakan persembahan selain bertanding dalam Maharaja Lawak Mega yang mana persembahan pertama kami di Geng Lawak @ PICC," ujar Jihan atau nama penuhnya Nur Jihan Musa.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP