Laporan sebuah akhbar tempatan menyebut, pihak pengurusan jenama tersebut berasa tidak senang duduk dengan imej yang menimpa diri duta produk mereka itu.
Lalu, khabarnya kontrak Hanez sebagai duta produk pemutihan kulit jenama Aura White sudah ditarik balik, gara-gara kontroversi melandanya.
Biarpun sudah memberikan penjelasan dalam satu sidang media, namun Hanez bagai tidak mendapat pembelaan apabila ramai pihak semakin menghentamnya. Bahkan, Hanez sendiri mengakui selepas sidang media tersebut, dia merasakan peminatnya sudah tinggal dua peratus sahaja.
Ditanya kesahihan mengenai pembatalan kontrak itu, Hanez dalam temu bual menerusi aplikasi WhatsApp enggan memberi sebarang kenyataan mengenai isu tersebut.
"Pasal AuraWhite tiada komen," ujar ringkas.
Namun di sebalik kebencian orang terhadap Hanez, masih ada pihak yang bersimpati dan menyebelahinya.
Antaranya adalah Penerbit Teater Projek Kahwin, Mohd Amir Syafiq Khalip yang enggan memanjang isu tersebut kerana ia dilihat memberi publisiti murahan kepada individu atau pihak yang menghentam Hanez.
Malah tegas Amer, dia tetap mahu mengekalkan Hanez sebagai pelakon utama dalam teater arahannya itu.
"Cukup-cukuplah beri publisiti kepada mereka yang komen negatif pasal Hanez. Biarkan mereka terus 'melalak'!
"Saya cukup kesian pada Hanez, dia sudah cukup tertekan dengan apa yang berlaku. Tolonglah saya tidak mahu isu ini diperbesarkan lagi. Paling penting saya mahu tumpukan pada pementasan teater ini sahaja," tegasnya.
Tambahnya, dia berharap penonton dapat memberi sokongan kepada naskhah yang ingin dipentaskan kerana ianya juga membabitkan ramai pelakon lain.
Tegas Amer, isu Hanez itu harus ditolak ke tepi kerana pelakon itu tidak memberi sebarang masalah kepada pihak produksi.
Bagi Hanez pula, dia tidak mempunyai masalah dengan pihak penerbit kerana masing-masing bersikap profesional.
"Setakat ini, saya tidak ada masalah dengan pihak penerbit. Kami profesional dengan semua pihak. Di luar juga, hubungan sebagai kawan juga baik.
"Semuanya berjalan dengan lancar, kalau ada apa-apa pihak saya dan produksi akan memaklumkan kepada media," katanya.
Ditebak dengan pendekatannya yang enggan memberi komen panjang berkaitan dirinya, Hanez berkata: "Berdiam pun orang kata, bercakap pun orang mengata," katanya yang enggan mengeruhkan lagi keadaan.
0 comments:
Post a Comment