Loading...
Monday, March 10, 2014

Dira abg kongsi minat

Siri pertama Jejak Bintang semalam menceritakan pelakon, Dira Abu Zahar ketika kecil dan sikapnya yang suka membuat kejutan kepada keluarga serta bagaimana dia boleh menjadi seorang yang berdikari meskipun Dira adalah anak bongsu.
Malah sikap berdikari itu dapat dilihat sehingga dia mampu membeli motosikal berkuasa tinggi menggunakan wang titik peluh sendiri ketika berusia belasan tahun. 

Bersama abangnya, Muhd Idi Iskandar Abu Zahar (Idi), 35, dia berkongsi keakraban mereka berdua dan bagaimana boleh terjebak dengan aktiviti motosikal berkuasa tinggi. 

“Saya mula rapat dengan Dira ketika dia menuntut di tingkatan satu. Pada awalnya, jarak usia kami lima tahun menyebabkan kami kurang rapat. Namun, disebabkan dia anak bongsu dan kakak yang lain jauh lebih tua dan sibuk dengan hal keluarga, Dira mula rapat dengan saya.

WAJAH ceria di hari konvokesyen.

“Keakraban itu semakin terserlah ketika dia mula menunjukkan minat suka mengikut apa saja aktiviti yang saya lakukan. Sejak dulu saya mempunyai hobi suka menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Pada mulanya saya rasa pelik, betul ke adik perempuan saya minat dengan motosikal. Lama kelamaan dia memang menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh sehinggalah ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dia sudah mampu membeli motosikalnya sendiri.

“Ketika itu hanya saya seorang saja yang tahu dan bimbang ibu bapa kami marah, Dira menumpangkan motosikalnya di rumah saya hampir setahun lebih. Tapi kata orang rahsia seperti ini sampai bila mahu disorok, kalau sudah kerap membawa motosikal berkenaan ke hulu ke hilir mereka akan perasan juga.

“Awalnya ibu dan ayah marah pada kami berdua dan mereka kata kenapa saya biarkan adik meminati hobi yang bukan menjadi minat perempuan. Tetapi lama kelamaan mereka faham lagipun Dira bersama saya abangnya sendiri dan Insya-Allah akan selamat kalau ke mana-mana.

“Lagipun bukan senang adik-beradik berlainan jantina mempunyai hobi dan minat yang sama. Bila sudah kerap bersama-sama ibu dan ayah sudah biasa asalkan kata mereka kami pandai menjaga diri masing-masing,” katanya.

Minat itu tidak berkubur setakat itu saja, malah ia masih bertahan sehingga kini malah Idi dan Dira turut menggerakkan aktiviti bermotosikal berkuasa tinggi ini dengan menjayakan pelbagai program.

Tidak mahu hanya orang tertentu saja yang mampu menaiki motosikal berkenaan dan mahu aktiviti ini menjadi hobi semua orang, Idi dan Dira kerap menyertai pelbagai persatuan motosikal berkuasa tinggi yang ada di Malaysia.

Bagi Idi sendiri, dia turut menubuhkan perniagaan Red Garage Motorsports Club bagi membantu serta menyokong peminat setia motosikal berkuasa tinggi dalam merealisasikan minat mereka.

“Melalui penubuhan ini saya menjual barang-barang keperluan berkaitan motosikal berkuasa tinggi, menyediakan perkhidmatan membaiki serta pelbagai lagi yang perlu diketahui oleh pemilik motosikal seperti ini.

“Selain itu, saya turut melakukan aktiviti berkonvoi ke utara tanah air bagi berkongsi aktiviti dijayakan di samping bersama-sama mereka untuk melihat jenis motosikal berkuasa tinggi atau apa-apa yang berkaitan dengannya,” katanya.


Pernah nekad jadi peguam

Sama seperti ibunya, Datin Seri Khalijah Mohd Jiddi yang tidak tahu Dira mampu menjadi seorang pengacara, Idi yang pada awal hanya mengetahui adiknya terbabit dengan kerja di belakang tabir dan pernah menyertai Astro juga mengakui perkara yang sama.

“Sejak kecil dia tidak pernah menunjukkan minat menyanyi, berlakon atau apa-apa saja yang membabitkan kerja seni. Apabila kami semakin rapat juga Dira langsung tidak menunjukkan ciri-ciri bakal menjadi seorang pelakon.

“Apa yang saya tahu dia belajar dalam jurusan undang-undang itu pun tiada yang memaksa. Cuma keluarga hanya memberi galakan jika itu yang dia mahu lakukan, ini kerana dalam ahli keluarga tiada yang menjadi peguam.

“Mungkin apabila Dira menjadi peguam dapatlah membantu mempertahankan keluarga jika mengalami sebarang masalah kelak. Antara kami semua kebanyakannya lebih terarah kepada kerja sebagai jurutera malah arwah ayah sendiri adalah seorang bekas pemimpin.

“Pada awalnya semua terkejut kerana dia nekad mahu menjadi peguam mungkin kerana seorang yang lantang dan suka berdebat serta bersembang dengan arwah ayah membuatkan Dira minat dengan jurusan berkenaan.

“Tetapi semua menjadi hairan apabila tamat saja belajar dia memilih untuk fokus pada bidang seni. Mungkin kerana seronok dengan kerja belakang tabir dan puas dapat duit hasil titik peluh sendiri membuatkan Dira mahu meneruskan bidang lakonan.

“Melalui bidang ini juga secara tidak langsung Dira turut membantu saya dalam mempromosikan perniagaan motosikal berkuasa tinggi. Di samping itu kami turut sama-sama berpeluang menganjurkan program membabitkan motosikal berkenaan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP