Loading...
Monday, March 10, 2014

Eja sebar mesej isu penderaan

Isu penderaan membabitkan golongan kanak-kanak perempuan yang mendapat liputan meluas di akhbar tempatan sentiasa mencuri tumpuan pelakon berkaliber, Siti Shahrizah Saifuddin, sejak dulu.
Malah kata pelakon yang lebih mesra disapa Eja, 41, itu, naluri keibuannya juga sangat kuat, sejak bergelar ibu kepada anak tunggalnya, Nur Eishal Mohd Silahuddin, 5. 

Justeru, tidak hairanlah, Eja memilih isu penderaan seksual membabitkan kanak-kanak perempuan untuk drama pendek arahannya berjudul Renungan (Reflection). 

Drama pendek ini antara karya yang dimuatkan dalam Projek Ikal Mayang 2014 ‘Unspoken Truth’ sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini.
Secara peribadi, Eja mengakui, dia tidak berfikir panjang ketika ditawarkan Ida Nerina untuk terbabit dalam projek filem pendek Ikal Mayang kali ini.

“Sebenarnya, Ida pernah menawarkan saya untuk terbabit dalam projek Ikal Mayang, Telling Women’s Stories yang ditayangkan pada Festival Filem Antarabangsa Busan 2013. Namun saya terpaksa menolak tawarannya kerana tidak dapat memberikan komitmen kerana ke luar negara ketika itu.

“Bagaimanapun saya tidak mampu menolak peluang keemasan apabila Ida menawarkan saya untuk terbabit dalam projek Ikal Mayang 2014. Idea untuk buat tema penderaan seksual membabitkan golongan kanak-kanak juga datang secara spontan kerana isu itu sentiasa bermain di fikiran saya sekarang, sejak bergelar ibu,” katanya.

Eja ditemui pada pratonton filem ‘Unspoken Truths’ sempena projek Ikal Mayang 2014 yang berlangsung di GSC The Gardens Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai filem pendek itu, kata Eja, dia menimba pengalaman yang cukup berharga ketika mengarahkan filem pendek berkenaan

“Bayangkan saya perlu sampaikan mesej yang pendek dan ringkas membabitkan penderaan seksual kanak-kanak dalam filem itu dalam tempoh dua minit.

“Saya juga paparkan mesej penderaan seksual ini dilakukan orang terdekat dengan kanak-kanak itu sendiri. Contohnya, dalam cerita ini, penderaan seksual dilakukan bapa saudaranya sendiri yang sepatutnya melindungi kanak-kanak berkenaan.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan Allah. Bermula dari segi skrip, pemilihan pelakon dan proses penggambaran yang membabitkan tempoh sehari di Petaling Jaya, Selangor juga berjalan lancar seperti direncanakan,” katanya.

Ditanya pemilihan barisan pelakon pula, kata Eja, dia memilih pelakon jelita Fouziah Gous dan pelakon cilik Putri Balqish selaku teraju utama filem pendeknya itu.

“Saya juga puas hati dengan lakonan mantap Fouziah dan Putri Balqish yang turut meninggalkan kesan mendalam pada penonton.

“Kelebihan sebagai pelakon yang menjadi pengarah pula ialah kita dapat menjaga emosi pelakon untuk menjiwai karakter diserahkan,” katanya.


Timba pengalaman di kerusi pengarah

Lebih sedekad berkecimpung sebagai pelakon, Eja yang kini tampil berhijab mengakui dia tidak pernah terfikir untuk memegang kerusi pengarahan filem. Menurutnya, dia juga lebih berminat berlakon kerana bidang seni sudah sebati serta menjadi darah dagingnya, sejak dulu.

Bagaimanapun, Eja mengakui dia tidak menolak jika ditawarkan mengarah naskhah yang memiliki mesej untuk memberi kesedaran dan mendidik golongan masyarakat di luar sana.

“Saya anggap pembabitan dalam projek Ikal Mayang adalah permulaan yang cukup baik untuk menimba pengalaman sebagai pengarah filem.

“Seperti lakonan, saya juga lebih selektif dari segi pengarahan selepas ini. Saya akui sukar untuk menolak jika cerita yang ditawarkan untuk mendidik golongan masyarakat di luar sana. Namun, saya memang tidak berminat untuk mengarahkan naskhah yang bercorak komersil dan untuk bahan hiburan semata-mata,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Eja sibuk dengan tugasnya selaku duta produk kecantikan Cosry Skin Therapy.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP