BUKAN kerana tidak laku atau merajuk dengan senario kehidupan di tanah air. Segala keputusan dibuat bagi memenuhi hasratnya yang ingin melanjutkan pelajaran di luar negara sejak dahulu lagi.
Bila kesempatan itu sudah mendatang, Wardina Saffiyah tidak mahu melengahkan lagi dan memutuskan untuk melanjutkan pengajian di Australia dan sekali gus memulakan kehidupan baharu bersama keluarga.
Bekas pengacara program bual bicara, Malaysia Hari Ini (MHI) pada 2010, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot berkata, perpindahannya kelak adalah untuk menuntut ilmu dan di waktu yang sama mendedahkan anak-anaknya dengan dunia baharu.
“Insya-Allah, bulan Jun nanti saya akan berpindah ke Brisbane, Australia. Memang dari dulu lagi saya teringin belajar di luar negara lebih-lebih lagi dalam menimba pengalaman baharu di tempat orang.
“Sekarang, peluang itu sudah ada dan saya akan gunakannya dengan sebaik mungkin. Saya sebenarnya masih lagi menanti surat tawaran dari dua universiti di sana. Kalau tiada aral melintang saya akan menyambung pengajian untuk tahun ketiga dalam Ijazah Sarjana Muda Psikologi," katanya yang berharap untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.
Mengenai perbelanjaan harian, Wardina memberitahu semuanya dikeluarkan oleh dirinya sendiri.
“Saya akui kos hidup di Australia adalah tinggi dan sudah pasti saya perlu menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk menampung kehidupan saya sekeluarga di sana.
“Sebelum menunaikan hasrat saya itu, saya sebenarnya sudah bersedia dari segi kewangan. Saya berharap semuanya akan berjalan dengan lancar," ujarnya.
Memilih bidang psikologi, wanita berusia 35 tahun ini berkata, keinginannya untuk mendalami ilmu psikologi dituntut apabila sering menjadi penasihat peribadi kepada para peminat.
“Lahirnya kecintaan terhadap ilmu psikologi adalah apabila setiap hari saya akan menerima beratus-ratus mesej menerusi akaun Facebook saya. Semuanya datang daripada peminat dan masyarakat yang dalam kerunsingan dan dilanda masalah terutamanya golongan remaja yang terlibat dengan masalah sosial.
“Mereka meluahkan perasaan masing-masing dan meminta khidmat nasihat daripada saya. Bukan untuk menunjukkan lagak saya sebagai orang yang pandai dan pakar dalam bidang itu tetapi saya cuba setakat mana yang saya mampu.
“Dan kerana itulah, saya mahu memenuhkan ilmu di dada sebelum berkongsi pendapat juga nasihat dengan orang ramai di kemudian hari," jelasnya yang berhasrat mahu membuka sebuah pusat perkembangan kanak-kanak.
Suami berhenti kerja?
Akan pergi dahulu bersama anaknya iaitu Amna Nafeesa, 11, Azra Sareera, 8, dan Imran Arrazi, 5, Wardina juga sempat berkongsi tentang keterujaan tiga orang anaknya itu.
“Mereka sangat teruja dan suka pergi ke Australia memandangkan setiap tahun mereka juga akan pulang ke sana untuk melawat ayah saya. Namun demikian, saya akan pastikan mereka mendapat pendidikan yang baik.
“Dengan minda yang terbuka juga, saya akan membantu anak-anak saya untuk mempelajari cara hidup yang berbeza di Australia. Malah, saya juga akan masukkan anak-anak saya ke sekolah Islam.
“Kehadiran ayah dan adik yang bekerja sebagai doktor di sana juga pasti akan memudahkan usaha saya ini dan percaya mereka akan membantu saya," katanya.
Demi cita-cita juga, Wardina memberitahu, suaminya, Ikhwan Johari, 38, mungkin akan berhenti kerja di Malaysia.
“Tetapi, buat masa sekarang, niat itu masih tidak disampaikan oleh suami. Saya faham dan suami sudah banyak memberi sokongan.
“Cumanya, kalau saya sudah pergi bersama anak-anak ke Australia, suami saya akan meneruskan kerjanya di Malaysia dan mungkin akan berulang-alik menjenguk kami," katanya.
0 comments:
Post a Comment