Loading...
Monday, March 10, 2014

Hanis, Aliff, dan Hairul

BILA ditawarkan berlakon dalam drama Jodoh musim kedua, hati pelakon dan pengacara, Hanis Zalikha dipagut resah. Benak fikirannya berselirat rasa gusar dibandingkan dengan heroin Jodoh musim pertama, Scha Al-Yahya. Ada sebabnya.
Bagi Hanis, menerusi Jodoh, Scha telah berjaya membawakan watak Olly di samping Dazrin dengan bagus sehingga meraih sambutan yang menggalakkan daripada penonton.
Mencari ketenangan dalam gundah yang bertamu di hati, Hanis meminta sinopsis Jodoh 2 terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
"Bila saya minta sinopsis baru saya tahu yang saya pegang watak utama seperti Dazrin. Dan, akhirnya saya setuju berlakon dalam Jodoh 2.
Menerusi Jodoh, Dazrin membawa watak seorang pemuda yang mencari calon isteri dengan menyertai sebuah program realiti mencari jodoh yang disertai sekumpulan wanita jelita termasuk Olly.
Jodoh 2 sebaliknya mengenai Zara, lakonan Hanis - gadis yang mencari jodoh menerusi program realiti sama tetapi disertai sekumpulan pemuda kacak.
"Saya bukan takut bawa watak Olly lakonan Scha. Saya cuma takut dibandingkan dengan Scha. Juga takut jangkaan daripada peminat Jodoh terhadap Jodoh 2.
"Saya sendiri tengok Jodoh dan ia merupakan drama yang bagus. Scha bawa watak Olly dengan baik. Mula-mula saya ingatkan, watak saya lebih kurang dengan watak yang dibawakan Scha.
"Sebab itu, saya risau untuk berlakon dalam Jodoh 2. Rupa-rupanya macam watak Dazrin dalam Jodoh tetapi versi wanita. Jadi saya lega dan gembira membawakan watak Zara dalam Jodoh 2," ungkapnya mesra ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Jodoh 2 di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Drama bersiri 13 episod arahan Syed Khairul Fariz yang bakal menemui penonton pada 24 Mac ini, berkisarkan tentang Zara yang mencari jodoh.

KETIKA awal kemunculannya dalam dunia hiburan, Hanis pernah dilabel sebagai seorang diva.



Seorang selebriti internet yang tidak mempunyai kekasih, Zara turut digambarkan sebagai seorang gadis yang naif dan sopan.
"Dia seorang selebriti internet yang naif. Dia masuk program cari jodoh itu sebab ingin mencari cinta sejati.
"Bagaimanapun dia berdepan dengan tekanan kerana tidak mampu memilih pasangan yang dia mahukan.
"Terlalu banyak elemen drama, kemahuan penerbit rancangan itu dan juga penonton dalam rancangan tersebut yang perlu dikutinya," ulasnya.
Karakter Zara nyata ada persamaan dengan Hanis yang sebelum menceburi bidang lakonan merupakan seorang blogger terkenal. Namun, pelakon berusia 24 tahun ini bukan seorang yang lemah lembut, tetapi sebaliknya bersikap gila-gila.
"Cabaran bawa watak Zara ialah apabila saya terpaksa kekalkan sikap sopan dan ayu. Kalau boleh, saya ingin bawa watak seperti Elly lakonan Jannah Nik yang gila-gila. Sebabnya itu karakter sebenar," ujarnya mengenai watak Elly yang dibawa oleh pelakon Jannah Nik, yang juga merupakan tunjang utama dalam drama Jodoh 2.
Aliff Aziz
Menjalani penggambaran drama Jodoh 2 selama 35 hari, Hanis turut berlakon di samping penyanyi sensasi, Aliff Aziz.
Pertama kali bergandingan dengan Aliff, ada cerita mengatakan mereka bermasam muka ketika penggambaran Jodoh 2 dijalankan.
Menjawab mengenai gosip tersebut, ulas Hanis, khabar yang mengatakan dia bermasam muka dengan Aliff adalah pelik.
"Saya tidak tahu macam mana boleh timbul khabar ini (bermasam muka dengan Aliff). Serius tidak ada langsung. Boleh tanya soalan ini kepada mereka di lokasi penggambaran ini.
"Saya rasa benda ini timbul sebab kami belum lagi ada babak bersama dalam Jodoh 2. Semua babak saya banyak dengan Fadlan Hazim (hero Jodoh 2). Kalau ada babak bersama Aliff sekalipun, ia membabitkan pelakon-pelakon lelaki lain juga.

HANIS mengakui hubungannya dengan Hairul tidak lebih sekadar teman rapat.



"Tetapi ia tidak bermakna kami bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Kalau minum petang kami turut minum bersama," ungkapnya terkejut dengan khabar terbabit.
Disoal mengenai kontroversi yang mengaitkan Aliff dengan beberapa wanita dan selebriti sebelum ini, kata Hanis, dia tiada masalah mencipta keserasian berlakon bersama Aliff kerana umur mereka juga hampir sebaya.
"Hanis tidak pernah dengar kontroversi dia (Aliff) di set penggambaran - kami tiada masalah. Kami mudah serasi sebab saya, Aliff dan juga semua pelakon memiliki umur yang hampir sebaya," ujarnya.
Diva
Pernah didakwa bersikap diva dengan media sebelum ini, Hanis menangkis dakwaan tersebut. Sebaliknya dia mengakui, ketika itu dia belum pandai membawa diri.
"Kalau dulu, saya tidak pandai bawa diri ketika hadir ke majlis hiburan. Saya juga tidak tahu hendak berbual dengan orang yang tidak dikenali. Sekarang saya sudah kenal wartawan," jelasnya.
Disoal mengenai pandangan orang ramai terhadapnya selepas dituduh diva, kata Hanis, peminatnya yang mengenalinya sejak menjadi penulis blog tahu siapa dirinya dan masih menyokongnya.
"Saya cuma kesal kalau orang yang tidak kenal membaca dan mempercayai berita itu (isu diva). Alhamdulillah, sekarang saya sudah pandai bawa diri. Cerita sebegini tidak lagi timbul," akuinya.
Selain daripada Jodoh 2, Hanis juga baru menjalani penggambaran telefilem arahan Micheal Ang berjudul Patung.
Mengakui Patung merupakan karya paling berat pernah dibawa olehnya, akui Hanis, dia membawa watak seorang wanita psiko yang didera oleh ibunya serta dibomoh oleh suaminya.
"Patung merupakan cerita hantu. Saya bawa watak wanita yang dipaksa kahwin dengan orang lain selepas kekasihnya dibunuh. Dia kemudiannya menjadi psiko dan sering bermain dengan anak patung selepas dibomoh oleh suami," kongsinya lagi mengenai telefilem yang bakal ditayangkan pada bulan April ini.
Hairul Azreen
Turut disoal mengenai hubungannya bersama pelakon Hairul Azreen, Hanis memberitahu, pemuda itu merupakan lelaki yang paling rapat dengannya sekarang.
"Sejak di tingkatan tiga lagi, saya sudah mengenali dia ( Hairul). Kami kenal menerusi laman sosial Myspace. Sejak itu, kami berkawan dan menjadi rapat sehingga kini. Dia banyak membantu saya dalam bidang lakonan," ulasnya mengenai perkenalannya dengan Hairul.

HANIS (berdiri tiga dari kanan) bersama barisan para pelakon yang menjayakan drama bersiri Jodoh 2 yang akan mula ditayangkan pada 24 Mac ini.



Begitu sukar berkongsi lebih lanjut status hubungannya dengan Hairul, akui Hanis, sejak menjadi penulis blog lagi, dia tidak suka mencanangkan kisah peribadi.
Katanya, walaupun dia pernah mempunyai teman istimewa satu ketika dahulu dia tidak pernah bercerita mengenainya dengan peminat blognya biarpun disoal berkali-kali.
Berkongsi sasarannya untuk berkahwin, ujar anak kedua daripada tujuh orang adik-beradik itu, dia pernah berhasrat untuk berkahwin di usia 20 tahun.
Sebabnya, Hanis ingin mengikut langkah ibunya yang berkahwin di usia 20 tahun dan mempunyai anak yang ramai.
"Saya ingin ikut dia berkahwin di usia 20 sebab perbezaan umur kami tidak terlalu jauh. Dia sekarang 46 dan saya pula 24 tahun. Walaupun hubungan kami adalah ibu dan anak tetapi kami rapat seperti kawan baik.
"Tetapi bila mula berlakon saya tidak lagi teringin untuk berkahwin awal. Ini kerana, saya mulai suka memperoleh pendapatan sendiri. Memegang duit sendiri. Ibu juga pernah menasihati saya supaya tidak berkahwin di usia sepertinya," luahnya lagi

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP