Loading...
Monday, March 17, 2014

Ingin anak selepas setahun

SAMA cantik, sama padan. Itulah gambaran yang dapat diberikan sewaktu menyaksikan persandingan antara penyanyi dan penyampai radio, Khairil Azam Pilus atau Aril Pilus dengan isterinya, Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin.
Biarpun majlis resepsi hanya diadakan selepas tiga bulan kedua-duanya disatukan sebagai pasangan suami isteri, tetapi ia bukanlah satu halangan untuk mereka diraikan dalam majlis yang cukup meriah dengan kehadiran keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.
Aril yang ditemui berkata, majlis resepsi terpaksa diadakan dalam tempoh yang agak lewat setelah majlis pernikahan memandangkan dia dan isteri agak sibuk dengan kerjaya masing-masing.
"Tidak kisah cepat atau lambat, hasrat kami untuk mengadakan majlis resepsi akhirnya terlaksana. Lagipun majlis ini memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat hadir semasa majlis pernikahan kami dahulu.
"Biarpun diraikan dalam tempoh yang agak lewat, namun saya dan isteri masih merasakan yang kami ini seperti seorang pengantin baharu," ujarnya yang merupakan penyampai radio Era FM.
Bercerita mengenai kehidupannya selepas berumah tangga pula, Aril menyatakan tidak banyak perbezaan yang ketara, kecuali tanggungjawabnya kini lebih besar kerana sudah bergelar suami.
Bagaimanapun, sedikit cabaran yang terpaksa dilaluinya memandangkan sesekali terpaksa berjauhan dengan isteri tercinta yang bertugas di awan biru sebagai pramugari syarikat penerbangan Saudi Arabian Airlines.

TIARA JACQUELINA dan Aznil Nawawi turut hadir meraikan pasangan pengantin.


"Sebagai pengantin baharu, sudah tentu akan timbul perasaan rindu yang sangat mendalam apabila kami berjauhan dan ia juga sedikit memberi tekanan buat diri saya.
"Namun begitu, segala tekanan itu akan dapat diatasi kalau sentiasa dekatkan diri dengan Allah dan itulah yang sering saya lakukan apabila bersendirian tanpa isteri di sisi kerana sedang menjalankan tugas," ujarnya.
Sementara itu, apabila ditanya tentang perancangan untuk mendapatkan cahaya mata pula, pelantun lagu Menatap Matamu itu mengakui dia dan isteri belum bersedia buat masa ini.
Memandangkan kedua-duanya sedang sibuk memberi tumpuan terhadap kerjaya masing-masing, ia sedikit menghalang untuk mereka mendapatkan anak dalam tempoh yang agak cepat.
"Kalau ditanya tentang anak, apa yang boleh saya katakan mungkin selepas setahun perkahwinan barulah kami bersedia. Seboleh-bolehnya biarlah setelah isteri saya dapat menetap terus di Malaysia.
"Hendak berbulan madu juga tidak sempat kerana kesibukan masing-masing, apatah lagi isteri kerap menetap di Arab Saudi. Perancangan itu memang ada, cuma kena lihat jadual masing-masing terlebih dahulu," jelasnya.
Penyampai radio
Selain dikenali sebagai seorang penyanyi, Aril juga kini bertugas sebagai seorang penyampai radio di stesen Era FM dengan mengendalikan segmen MeleTOP 40 Era setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 8 hingga 12 tengah malam.

PASANGAN mempelai ceria bersama rakan-rakan yang hadir memeriahkan majlis persandingan mereka.


Meskipun statusnya kini sebagai seorang suami, Aril memberitahu, ia bukanlah satu penghalang yang besar buat dirinya apabila terus ditugaskan pada waktu malam.
"Setakat ini saya tidak mengalami sebarang masalah yang besar untuk meneruskan tanggungjawab yang diberikan oleh pihak Era FM dan akan terus mengendalikan tugas yang diberikan seperti biasa.
"Lagipun, isteri juga selalu bertugas di awan biru dan kerap berada di Arab Saudi sekarang. Jadi, biasanya selepas bertugas di konti radio, kami akan berhubungan menerusi telefon," ujarnya.
Selain itu, dia juga menyatakan kariernya sebagai penyanyi akan diteruskan seperti biasa memandangkan itu merupakan minatnya yang paling utama serta mula dikenali ramai menerusi bidang nyanyian.
Tidak halang
Memandangkan ketika ini negara sedang digemparkan dengan isu pesawat MH370 yang hilang tanpa dikesan dan masih tidak ditemui sehingga kini, Aril berkata, dia sesekali tidak menghalang isterinya untuk meneruskan kerjaya sebagai pramugari.
Menurutnya, sebagai suami dia sentiasa menyokong kerjaya yang menjadi pilihan Puteri, tetapi pada masa sama akan selalun mendoakan keselamatan isterinya setiap kali menjalankan tugas.
"Sejak kami belum berkahwin lagi saya tidak kisah atau menghalang kerjaya isteri, malah sentiasa memberikan galakan kepadanya agar terus berjaya dalam bidang yang diceburinya. Lagipun, setiap pekerjaan itu memang ada risikonya.
"Berkenaan dengan soal berjauhan pula tidak dinafikan perasaan rindu itu merupakan cabaran paling hebat yang perlu dihadapi, tetapi ia sebenarnya dapat mengeratkan lagi hubungan kami," jelasnya.
Dalam pada itu, Aril juga meminta supaya dihentikan segera semua spekulasi yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab berkenaan dengan kehilangan pesawat MH370 yang masih lagi menjadi misteri sehingga kini.
"Perbuatan sebegini sepatutnya dielakkan demi menjaga hati keluarga penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan. Lebih baik kita semua terus berdoa agak mereka berada dalam keadaan selamat," tegasnya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP