MENGABDIKAN seluruh kehidupannya untuk memperjuangkan seni teater tanah air, Khalid Salleh sememangnya merupakan salah seorang aktor terbaik negara.
Dan ia terbukti dengan kejayaannya menjadi pelakon kedua selepas allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang sukses meraih Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik.
Terbaharu, dia membuktikan daya lakonannya itu masih utuh dari segi kewibawaan dengan muncul sebagai tonggak utama teater monolog Jual Ubat yang dipentaskan di Istana Budaya baru-baru ini.
Teater yang berlangsung selama dua jam itu diisi sebaik mungkin dengan mesej sama ada secara terus terang ataupun berkias oleh Khalid.
Ketika jadual pentas Istana Budaya dipenuhi dengan konsert dan pementasan teater yang menampilkan nama-nama popular seperti Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, Khalid sebaliknya muncul bermonolog tentang pengalamannya menjual ubatyang telah menjadi pekerjaan tetapnya sejak tahun 2007.
Pengalaman ketika diberi kepercayaan berlakon dalam teater Bukan Bunuh Diri karya Dinsman pada tahun 1970-an, telah digunakannya dengan sebaik mungkin.
Dalam Monolog Jual Ubat, subjek utama yang hendak dipertontonkan ialah diri Khalid sendiri selaku penggerak tunggal teater monolog tersebut.
Tidak hairanlah pentasnya kosong dengan prop hanya seketul batu yang diletakkan di atas botol.
Penonton nyata tidak kering gusi dengan penyampaian monolog Khalid yang bersahaja tetapi penuh dengan mesej yang sarat.
Menerusi teater monolog ini, Khalid mengalih persepsi khalayak terhadap penjual ubat. Pada kebiasaannya, penjual ubat memancing pengunjung dengan cara percakapannya yang berunsur pemujukan dan menggunakan beberapa peralatan termasuk haiwan untuk menarik perhatian.
Namun, penjual ubat dalam pementasan ini sangat berbeza. Khalid menampilkan penjual ubat yang sangat rapat dan difahami kehidupannya. Khalid adalah pemerhati yang menyaksikan kehidupan segolongan kecil manusia penjual ubat.
Dari sisi dirinya sendiri, Khalid merumuskan sesuatu tentang hidup bermula dari asal kejadian sehingga ke akhirnya.
Daripada sebuah kisah kecil yang diperhatikan, Khalid berbicara tentang ilmu keagamaan dan hakikat manusia. Kisah penjual ubat hanyalah medium menyampaikan pesan dan dakwah yang sarat.
Sebagai pencerita, Khalid mempertontonkan kepada khalayak bahawa penjual ubat yang sewajarnya mempunyai matlamat dan kesedaran sebagaimana Khalid mencari hasil dan reda Allah.
Khalid memaparkan bahawa penjual ubat memerlukan kreativiti yang tidak sedikit. Penjual ubat kadangkala beraksi sebagai dramatis, pesilat, dukun, tukang tilik, tabib dan pelbagai watak untuk memukau penonton.
Penjual ubat tidak sekadar mempromosi ubat-ubatannya, sebaliknya meraih tumpuan penonton supaya mengaguminya. Apabila penonton kagum, sudah tentu mereka berminat dengan apa sahaja yang disarankan oleh penjual ubat.
Justeru, sering dilihat pada pengakhiran persembahan, penjual ubat tidak perlu mempromosi ubatnya secara berlebihan, sebaliknya penonton berlumba-lumba menghulurkan wang sebagai penghargaan atas cara penyampaian yang menghiburkan.
Khalid menggunakan seluruh deria yang dikurniakan kepadanya bagi meneliti setiap kejadian manusia serta tanda kebesaran Allah yang dibentangkan menerusi pementasan tersebut, seterusnya membawa minda penonton kepada mesej tersirat yang dalam maknanya.
Pemerhatian itu pula sekiranya digabungkan dengan bukti saintifik dan rasional serta logik, pasti menarik penonton untuk kembali memuji keindahan ciptaan Ilahi, seterusnya mengagumi kebesaran-Nya.
Menggunakan medium teater monolog, Khalid seakan-akan menyedarkan bahawa seni itu hidup dalam setiap aspek kehidupan, dan keajaiban-keajaiban adalah unsur seni dalam kehidupan.
Khalid ingin membuktikan tugas penjual ubat itu bukan sekadar mencari habuan untuk diri, sebaliknya tugas yang lebih besar ialah membawa manusia kepada Tuhannya.
Melalui teater monolog ini, terbukti Khalid berjaya sebagai pelakon dan pengarah yang mahir falsafah kenal ruang, kenal bahan, kenal diri, dan yang paling penting ialah kenal Tuhan.
\
0 comments:
Post a Comment