“Alhamdulillah, saya sudah seminggu mengenakan hijab. Secara jujurnya, bagaimana saya tergerak hati adalah apabila seorang kawan baik saya, Mohd Fariz Zaidi atau lebih mesra dengan panggilan Along Fariz meninggal dunia. Dia pergi ketika sedang tidur. Selepas hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan dia terkena serangan jantung secara mengejut. Saya sudah 13 tahun berkawan dengan arwah,” cerita Hazlin kepada GUA.
“Dia memang sahabat yang sangat baik dan rapat dengan saya. Saya sudah tidak tahu mengadu dengan siapa, jadi saya mengadu kepada Allah. Dari situ saya terfikir, saya harus berubah kerana kita boleh mati pada bila-bila masa sahaja. Saya takut tak sempat berubah sebelum meninggal dunia kelak. Saya ambil pendekatan untuk berubah dengan memakai hijab,” jelas mantan peserta Gadis Melayu musim kedua ini.
Ujar Hazlin, selepas mengenakan hijab dia berasa lebih terlindung dan selamat. Jika sebelum ini ada pihak yang cuba mengganggunya menerusi panggilan telefon dan sebagainya, kini perkara itu tidak lagi berlaku. Orang lebih menghormatinya dan memberikan respon yang positif terhadap perubahan yang dilakukannya.
Jika ada sesetengah selebriti mengambil pendekatan untuk memadam gambar-gambar lama mereka yang tidak mengenakan hijab di laman sosial malah menjual baju-baju lama mereka, Hazlin pula mempunyai pendapat yang berbeza.
“Mengulas mengenai gambar-gambar lama, bagi saya itu adalah perkara yang sudah lepas. Apa yang penting, kita perlu lihat apa yang terjadi sekarang dan di masa depan. Lagipun, saya kurang aktif di laman sosial. Mengenai baju, saya rasakan ada baju saya yang masih boleh diguna dan disuai padankan mengikut fesyen semasa tanpa perlu melanggar batasan sebagai wanita bertudung. Jika ada yang langsung tidak kena, saya akan fikirkan kemudian. Mungkin saya akan memberikannya kepada yang memerlukan.
“Saya juga punyai perancangan untuk menghadirkan diri dalam kelas pengajian agama. Saya rasakan yang diri saya perlu semua perkara tersebut sebagai satu suntikan untuk diri saya sendiri. Rakan-rakan selebriti yang bertudung juga menyokong perubahan saya. Mereka menerima dengan baik malahan mereka mengajak saya bersama-sama untuk menyertai mereka dalam kelas usrah dan sebagainya,” ujar pembaca berita Buletin Utama TV3 ini mengakhiri perbualan
0 comments:
Post a Comment