Loading...
Wednesday, March 12, 2014

Sebab Hanis bertudung di luar

HANIS Zalikha mula bertudung sebagai langkah untuk berhijrah bila tiba waktu yang sesuai.
FESYEN pilihan gadis ini sentiasa menarik perhatian ramai, mula memikat peminat melalui penulisan di blog kini nama Hanis Zalikha cukup sinonim sebagai seorang selebriti. Mengakui agak menyukai dunia fesyen, Hanis bagaimanapun tidak menolak mahu memanjangkan kariernya di dalam bidang ini suatu hari nanti.
Percaya fesyen adalah sesuatu yang terbuka, dia tidak melihat ia menjadi isu jika ada mereka yang mahu meniru fesyen pilihannya. Jujurnya pengacara serta pelakon ini juga sering menjadikan selebriti lain sebagai rujukan dirinya ketika mahu mengenakan pakaian yang sesuai.
“Kalau ada yang ingin mengikut saya berfesyen, saya melihat itu sebagai satu penghargaan.
“Fesyen pada saya adalah mendapatkan input dari luar, jadi jangan terlalu bangga kerana kita sendiri yang harus pandai sesuaikan dengan keadaan kita. Bagi saya sendiri setiap kali berfesyen saya mahu gaya itu malar segar supaya ia sesuai dengan masa kini dan hadapan,"katanya ketika ditemui pada set penggambaran drama bersiri Jodoh 2.
Menolak untuk mengatakan dia sebagai seorang ikon fesyen, bagi Hanis pilihan fesyennya cukup mudah. Malah pelakon muda ini juga tidak menolak menirunya daripada beberapa artis terkenal.
“Kalau ada yang mengatakan saya terlalu tertekan untuk nampak bergaya setiap masa, itu tidak pernah berlaku. Ada hari yang saya akan tampil biasa.
“Antara artis yang saya suka lihat fesyen pilihan mereka adalah Scha Alyahya dan Blake Lively, input-input fesyen yang saya dapat dari mereka akan saya gayakan dengan cara saya sendiri," katanya.
Memang menyimpan impian untuk bergelar seorang pereka fesyen kelak, bagi Hanis semuanya terpulang kepada dirinya kini. Mahu menumpukan kepada bidang lakonan dahulu, Hanis percaya ada ruang untuk dirinya mengejar cita-cita itu kelak.
“Memang saya impikan untuk mempunyai jenama fesyen sendiri. Di zaman persekolahan lagi saya sudah didedahkan dengan dunia jahitan, jujurnya memang itu yang saya mahu sejak dahulu.
“Bila saya akan meneruskan impian ini, saya fikir biarlah dunia lakonan saya buktikan sesuatu dahulu sebelum melangkah ke bidang lain," katanya.
Tudung dan Hanis
Menyimpan impian untuk bertudung suatu hari nanti, menurut Hanis buat masa ini ada kalanya dia akan mengenakan tudung ketika berada di luar. Tidak terdetik untuk bercerita soal ini, bagi Hanis apa yang berlaku ini lebih kepada permulaan.
“Memang saya ada bertudung kadang- kadang di luar, saya anggap ini sebagai permulaan.
“Bercakap soal ini memang saya ada menyimpan impian untuk terus bertudung suatu hari nanti,"katanya jujur.
Ditanya apa yang menyebabkan dia bersedia untuk bertudung, bagi Hanis sukar untuk dia menyatakan keadaannya ketika ini. Bagaimanapun dia menolak untuk mengatakan ini akan memberi kesan terhadap kariernya jika dia bertudung suatu hari nanti.
“Melihat penerimaan orang kita kini, saya tidak lihat apa-apa kekurangan untuk selebriti memilih bertudung kini. Bagi saya ia lebih kepada cara hidup kita.
“Ada peminat yang perasan saya bertudung di luar kadang-kadang, tetapi mereka tidak ada masalah pun," katanya.
Cinta shhhh…
Rasanya ramai yang sudah tahu Hanis kini dikaitkan rapat dengan pelakon Hairul Azreen. Tidak menolak Hairul sebagai lelaki yang paling selesa untuk didampingi dirinya, Hanis bagaimanapun mempunyai prinsip dalam soal ini.
“Saya memang tidak gemar sangat bercerita soal hubungan saya.
“ Apa yang boleh saya cakap saya sudah lama kenal Hairul dan dia adalah orang yang paling rapat dengan diri saya," katanya.
Menguak sedikit keistimewaan teman lelakinya ini, bagi Hanis sikap Hairul yang jujur sentiasa menambat hatinya. Mengekalkan sikap berahsia tentang soal hubungan bagi Hanis, ini bukan perkara baharu untuk dirinya.
“Saya sudah kenal Hairul sebelum kami menjadi artis lagi, jadi saya tahu dia memang seorang yang jujur dengan saya.
“Kalau ikutkan saya memang seorang penulis blog yang berkongsi segala macam soal hidup saya dengan pembaca. Jujurnya sebelum ini juga saya pernah mempunyai teman lelaki, dan saya tidak pernah bercerita mengenai diri mereka dalam blog saya. Bukan apa, perkara seperti ini sangat dekat dengan saya dan kalau boleh saya tidak mahu mereka diadili orang di luar sana,"katanya.
Mengakui pernah menanam impian untuk berkahwin di usia 20 tahun, kini Hanis melihat itu sebagai sesuatu yang kelakar. Kata Hanis, jujurnya dia memang mahu mengikut jejak langkah ibunya, Nani Rostam yang berkahwin awal.
“Saya memang mahu kahwin di usia 20 tahun, sebab melihat ibu saya kini. Saya mahu anak yang ramai serta jarak umur yang tidak terlalu jauh dengan mereka.
“Namun bila sudah melangkah ke alam kerjaya kini saya mula melihat perkara ini dalam soal yang berbeza. Sehingga setakat ini saya tidak lagi merancang mahu berkahwin," katanya tersenyum.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP