Loading...
Thursday, March 6, 2014

Seiras dan serupa

Osman Ali muncul dengan filem komedi romantiknya yang pertama iaitu Cun pada tahun 2011. Dibarisi pelakon ternama dengan kaedah penceritaan yang menarik, Osman dilihat mempunyai deria jenaka yang agak cerdik.
Untuk Sejoli, Osman dilihat seakan mahu mengulangi formula yang sama dengan dua bintang utama yang serupa. Begitupun, ia bukanlah satu jenayah besar kerana selagi mereka popular dan ingin disaksikan penonton, mengapa tidak?
Cuma apa yang bermain di fikiran saya ialah Sejoli merupakan filem keenam Osman. Sejauh mana Osman telah berevolusi dan ‘membesar’ sebagai pengarah?
Sejoli mengikuti perjalanan Joe (lakonan Bront Palarae) ke Phuket selepas putus cinta dengan Nita (Izara Aishah). Secara tidak sengaja, dia mengenali Gina (Maya Karin) yang juga mahu ke destinasi sama kerana patah hati ditinggalkan Hardy (Remy Ishak). Mereka kemudian mengetahui Nita dan Hardy bakal berkahwin.
Dengan bantuan rakan seperti Lola (Dira Abu Zahar) dan Tompy (Azad Jazmin), mereka merancang untuk merosakkan majlis pernikahan Nita dan Hardy sekali gus memutuskan percintaan mereka. Berteraskan naratif comedy of errors atau ringkasnya bermaksud watak-watak karikatur yang mencetuskan kekecohan, saya teringatkan plot filem lakonan Meg Ryan, Addicted To Love (1997) yang mempunyai persamaan. Malah, watak Maya dan Ryan juga seiras iaitu sedikit tomboi dan bekerja sebagai jurugambar.
Seperti Cun, Sejoli ialah tekapan pola penceritaan komedi romantik yang standard. Kisah bermula dengan konflik, diikuti dengan cara-cara menyelesaikannya, kemudian bahagia seketika sebelum satu lagi krisis tercetus. Ia tentunya disudahi dengan penamat yang menggembirakan.
Saya tidak mengatakan struktur seperti ini salah, malah ia adalah formula yang selamat untuk menawan hati penonton yang gemarkan filem-filem bertih jagung. Namun, usah harapkan sebarang pembaharuan atau kejutan kerana segalanya boleh dijangka sejak awal filem berputar.
Penonton tidak mempunyai masalah untuk memahami Sejoli kerana ianya ringkas dan lurus. Cuma kali ini Osman lebih banyak menampilkan elemen komedi fizikal dan slapstik ala Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Misalnya babak Gina menjadi lelaki, Joe menjadi tok kadi dan rompakan di kenduri kahwin.
Saya merasakan tiga insiden ini kurang masuk akal dan janggal kerana ia tidak dilakukan bersungguh-sungguh. Saya memahami Osman menggunakan lesen kreatif humor tetapi hasil dan kewajarannya dipersoalkan penonton.
Gaya solekan penyamaran itu ala kadar dengan hanya menambah misai pada wajah sedangkan rupa dan suara mereka sudah tentu dikenali bekas kekasih masing-masing. Begitu juga dengan rompakan olok-olok yang dilakukan Lola dan Tompy yang hanya memakai kaca mata selam untuk mengelakkan identiti dicam.
Pada saya, hal yang sekecil seperti ini jika dipersembahkan dengan ‘main-main’ mampu menyinggung minda penonton kerana ia tidak meyakinkan. Saya juga sedikit resah dengan teknik suntingan babak-babak imbas kembali yang menggunakan ‘white flash’ berserta efek bunyi.
Barangkali ada gaya yang lebih inovatif dan tidak terlalu konvensional untuk menerangkan adegan-adegan seperti itu kerana Osman seperti hanya mengambil jalan mudah.
Saya mengikuti hasil kerja Osman sejak era filem bebas seperti Bukak Api (2000) dan Malaikat Di Jendela (2004) sehinggalah dia memasuki pasaran arus perdana. Kerana Sejoli ialah filem cereka keenamnya, saya menaruh harapan yang tinggi untuk Osman memberikan sesuatu yang lebih besar dari sebelumnya.
Bukan bermaksud Osman tidak boleh menghasilkan sesuatu yang ringan dan berunsur komersial demi kutipan panggung. Cuma mungkin saya mengharapkan penulisan, pengarahan dan penceritaan Osman selepas Cun, Anak Halal (2007) dan Ombak Rindu (2011) lebih mengujakan dari sekadar formula kitar semula.
Terima kasih kepada Bront kerana peranan Joe yang selamba dan ringan itu dibawakan dengan serius dan berkesan. Maya sekadar sederhana, begitu juga dengan Remy. Manakala Izara walaupun masih baharu, dia berjaya untuk menyerlah dan tidak dibayangi pelakon-pelakon senior di sekelilingnya.


0 comments:

Post a Comment

:) :)) ;(( :-) =)) ;( ;-( :d :-d @-) :p :o :>) (o) [-( :-? (p) :-s (m) 8-) :-t :-b b-( :-# =p~ $-) (b) (f) x-) (k) (h) (c) cheer
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.

 
Toggle Footer
TOP