Di Korea Selatan sendiri, nama model, pelakon dan penyanyi ini tidaklah disanjung mana. Ramai lagi pelakon atau selebriti lelaki lain menjadi kegilaan di sana berbanding dirinya.
Namun bagi sesiapa yang mengikuti rancangan berbentuk ‘variety’ dan ‘gameshow’ Running Man, pasti tidak boleh melupakan bagaimana hidupnya karakter selebriti tinggi lampai ini.
Lee Kwang Soo, 28, bukan lagi nama baru di gelanggang hiburan negara itu, namun gara-gara rancangan itu, kelibatnya terus mendadak jadi perhatian dunia khasnya di sekitar Asia.
Malah saat ini pun, kehadirannya sentiasa dinantikan peminat tegar program itu yang pastinya juga sudah fanatik kepadanya jauh berbanding sebelum ini hanya bergelar pelakon.
Malah saat ini pun, kehadirannya sentiasa dinantikan peminat tegar program itu yang pastinya juga sudah fanatik kepadanya jauh berbanding sebelum ini hanya bergelar pelakon.
Tidak terkecuali, buat kali pertama berkunjung ke sini kelmarin demi peminat Malaysia juga, seperti dijangkakan kehadirannya menerima sambutan luar biasa meskipun datang bersendirian.
Melihat bagaimana kasih sayang dan sokongan yang ditunjukkan peminat, pelakon siri City Hunter itu jelas turut gagal menahan air mata gara-gara cukup terharu.
Terutama sekali pada persembahan klip video singkat yang ditujukan khas buatnya oleh kelab peminat di sini. Umpama sudah bertahun lama dekat di hati dan dikenali, rangkaian kisah hidupnya dipersembahkan penuh indah.
Bermula dari zaman kecil sehingga dia mula menapak dalam industri sebagai model, kompilasi lakonan dalam beberapa drama serta rakaman aksi dalam Running Man, diper-sembahkan padanya.
Lagaknya yang mulanya tenang, bersahaja dan masih kelihatan kelakar tiba-tiba berganti sebak.
Begitulah yang terjadi pada sesi pertemuan sulung Kwang Soo dengan peminat di sini itu di mana cukup singkat, namun memberi makna tersendiri tentunya buat dia dan semua hadirin.
Dibawakan khas oleh penganjur Faith & D Entertainment, King Kong Entertainment dan JS Concert Productions, jejaka itu sekali gus membuka tirai kunjungan artis Korea ke Malaysia untuk tahun ini.
Dalam Running Man, dia terkenal dengan sifat baik pada awalnya, namun episod berganti episod, sisi jahatnya mula menonjol di mana pada saat akhir dia dikenali sebagai pengkhianat. Bertubuh tinggi lampai dan kurus, rakan dalam program itu memanggilnya zirafah.
Namun menyaksikan sedikit sebanyak peribadi Kwang Soo pada acara bermula jam 6.30 petang di pusat beli-belah Kenanga Wholesale Centre (KWC) itu, dia agak pemalu dan sopan.
Dia tidak banyak bercakap, namun apabila diberi arahan untuk membuat pelbagai aksi, yakin dan bersungguh-sungguh dia melaksanakannya. Riak wajahnya amat mencuit hati.
Dia melakukan tiga pusingan permainan dengan peminat di mana empat peminat bertuah dipanggil ke pentas untuk meniru aksinya berdasarkan satu perkataan diberi.
Kwang Soo turut menyanyi tiga lagu pelbagai genre di mana pada lagu ketiga, dia memberanikan diri turun bersalaman dengan peminat di bawah pentas. Dia tidak henti-henti mengucap-kan terima kasihnya dan masih tidak percaya peminat di Malaysia memberikan sambutan hangat kepadanya.
“Ini semua di luar jangkaan saya dan sungguh terharu dengan kasih sayang anda semua. Saya memang tidak sabar untuk balik Korea dan beritahu rakan Running Man yang lain, Malaysia sangat luar biasa.
“Janji saya, tahun ini akan berusaha lebih keras dan terus memperbaiki lakonan saya serta mencuba pelbagai watak mencabar lain. Semuanya khas untuk anda semua. Terima kasih, kamu umpama keluarga baru saya sekarang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment