ARTIS MELETOP
Hazama Jaga Vokal Dengan Berenang
Hazama cukup peka dalam penjagaan suaranya.
Penyanyi Hazama mengakui sukan renang yang menjadi suatu kemestian dalam diari waktu riadahnya banyak membantu menguatkan stamina ketika mengadakan persembahan.
Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 30, berkata, dia seorang yang begitu peka dengan penjagaan vokal nyanyiannya dan telah mengamalkan aktiviti itu sejak lima tahun lalu.
"Seperti semua sedia maklum, berenang sangat baik untuk kesihatan, terutamanya bagi yang mempunyai masalah pernafasan.
"Dan saya pula berenang bagi mengekalkan stamina dan menguatkan lagi vokal nyanyian. Ia antara jenis sukan yang paling mudah dalam penjagaan kesihatan," katanya kepada mStar Online.
Tambah Hazama, dia sanggup berenang dalam tempoh masa yang lama kerana ia terbukti dapat menambah staminanya ketika beraksi di pentas.
Hazama mula mendalami ilmu lakonan pula.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hazama bakal muncul dalam sebuah filem terbitan Excellent Pictures berjudul Hantu Nan Sempit yang akan ditayangkan pada 5 Jun depan.
Kata Hazama, dia kini semakin serasi dengan kerjaya lakonan meskipun ia bukanlah bidang utama yang mahu difokuskan.
"Saya ambil kerja lakonan ini untuk menilai kemampuan diri dan melihat sejauh mana boleh pergi dalam bidang ini. Tidak lebih daripada itu.
"Lagipun apabila orang memberi kepercayaan pada saya untuk cuba berlakon, apa salahnya saya cuba. Dan Alhamdulillah setakat ini, saya sudah terbabit dalam beberapa drama dan filem," ujarnya.
Tambahnya, walaupun tidak terlalu fokus dalam bidang lakonan, dia tetap mengharapkan agar lakonannya itu mampu membuka mata orang ramai terhadap kemampuannya sebagai seorang pelakon.
Sebelum ini, Hazama pernah membintangi filem Cinta Atas Tar.
0 comments:
Post a Comment