Loading...
Saturday, March 15, 2014

Azad, Shafnida tak kisah adegan mesra

DALAM bidang lakonan, kita sering melihat pelakon-pelakon yang sedang memadu kekasih beraksi di hadapan kamera bersama-sama. Adakalanya, mereka yang telah berkahwin juga turut memegang watak sebagai pasangan suami isteri di dalam drama atau filem.
Bagaimanapun, lain pula ceritanya dengan pelakon hitam manis yang cukup sinonim dengan watak komedi, Azad Jadzmin. Bagi aktor yang bakatnya mula dicungkil menerusi rancangan realiti Audition ini, peluang berlakon dengan adik iparnya sendiri memberikan pengalaman baharu buat dirinya sepanjang dia bergelar pelakon.
Azad, 30, berkata, dia agak terkejut ketika mula-mula mendapat tahu bakal bergandingan dengan Shafnida Shyuhaimi, adik kepada isterinya, Eira Syazira, 30, menerusi filem Fobia Malam Pengantin.
“Sewaktu mula-mula menghadiri uji bakat untuk filem tersebut, saya hairan mengapa Shaf (panggilan bagi Shafnida) turut hadir di pejabat produksi Nusantara Seni Karya.
“Ketika itu saya langsung tidak diberitahu mengenai pelakon yang bakal membawakan watak isteri saya dalam Fobia Malam Pertama.
“Jadi, sewaktu mendapat tahu bahawa Shaf bakal memegang watak heroin, perasaan canggung mula timbul. Tetapi, hubungan saya dan dia sememangnya rapat dan kami tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang penggambaran berlangsung,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Fobia Malam Pengantin di TGV 1Utama, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Azad, walaupun filem ini banyak menampilkan adegan dan dialog romantik, isterinya tidak memberikan sebarang halangan mahupun syarat untuknya terus berlakon bersama Shafnida.
Isteri memahami
“Isteri saya juga merupakan seorang pelakon dan dia mengerti tuntutan karier yang memerlukan saya dan Shaf untuk beraksi secara profesional,” kata Azad yang kelihatan semakin kurus kerana sibuk menjaga anaknya, Amarra Sofea Rose, setahun.
Sementara itu, Azad turut bertindak sebagai pemberi nasihat terhadap adik iparnya untuk terus memperbaiki diri dalam dunia lakonan.
“Ini merupakan kali pertama Shaf berlakon dan dia perlu mencari cara untuk lari daripada bayangan kakaknya.
“Isteri saya bermula sebagai pelakon drama, dan Shaf pula bermula sebagai pelakon filem. Jadi, ini merupakan batu loncatan baginya untuk tampil berbeza daripada kakaknya sendiri,” kata Azad yang memegang watak Asraf dalam filem arahan Murali Abdullah itu.
Kakak beri dorongan
Dalam pada itu, menurut Shafnida, kesempatan dan peluang yang diterima olehnya harus digunakan sebaik mungkin bagi terus membina nama dalam bidang lakonan.
“Saya memang minat untuk berlakon tetapi dalam masa yang sama, saya juga merupakan seorang yang sangat pemalu. Justeru, kakak saya banyak memberikan dorongan dan sokongan ketika mula-mula mahu memulakan sesi penggambaran.
“Dia turut berpesan kepada saya supaya tidak mudah terleka dan sentiasa fokus dalam setiap apa yang saya lakukan,” kata gadis berusia 24 tahun ini sambil tersenyum.
Pelajar semester akhir jurusan Komunikasi Media di Kolej Segi ini memberitahu, dia turut bersedia untuk menerima sebarang kritikan sebaik sahaja filem ini menemui penonton pada 13 Mac ini.
Tidak tolak drama
“Saya sudah puas menerima kritikan sewaktu saya masih belum bergelar pelakon. Jadi, saya sudah bersedia dan mengambil sebarang kritikan sebagai pengajaran untuk saya berfikir dengan lebih matang pada masa akan datang,” katanya lagi.
Shafnida turut tidak menolak jika dia diberi peluang untuk berlakon dalam produksi drama pada masa akan datang. Katanya: “Sebagai seorang pelakon saya tidak boleh memilih. Setiap produksi itu mempunyai kelebihan masing-masing.
“Jika saya diberi peluang untuk berlakon drama, saya akan menerimanya. Dari situ, saya akan lebih mengerti tahap pencapaian saya dalam bidang lakonan,” katanya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP