Artis Meletop
Isteri Black mengidam buah cermai
BLACK dan cinta hatinya Cira. Black bakal bergelar bapa tak lama lagi.
Keterujaan bergelar bapa ketika saat menghitung hari isterinya bersalin tidak mampu disembunyikan penyanyi Black Hanifah kala pertemuan dengannya pada sidang media Fiesta Muslimah BH di Balai Berita, hari ini.
Isteri yang dikahwininya, Naquia Yasirah Mohd Khairi atau Cira pada September tahun lalu sedang hamil enam bulan ketika ini.
Biar pernah diuji dengan cerita keguguran isterinya sebelum ini, penyanyi kelahiran Mentor TV3 itu enggan mengenang kisah lalu.
Black turut memberitahu beliau enggan mengetahui jantina sebenar bakal anaknya nanti dan lebih selesa membiarkan semuanya menjadi kejutan.
Ikuti cerita Black kepada BH Online termasuk yang paling menarik mengenai cerita mengidam isterinya terhadap buah cermai.
Black juga akan berkongsi berita kelahirannya kepada peminat dan rakan media di laman Instagram. Isterinya dijangka bersalin Februari pada 2015.
"Bagi saya semua orang yang bakal bergelar bapa akan ada perasaan lain macam... bercampur baur. Macam saya sekarang ini kalau bersantai atau membeli belah di pusat beli belah, kedai menjual barangan bayi yang sering dituju.
"Kalau dulu memang takkanlah ke kedai macam itu. Saya dan isteri jadi teruja tengok barang bayi. Tapi baru saya sedar harga barangan bayi sebenarnya teramat mahal.
"Bila ke kedai barangan bayi, kami akan banci dan bandingkan harga," katanya yang setakat ini membeli keperluan bayi secara umum yang boleh digunakan sama ada untuk bayi lelaki atau bayi perempuan.
Setakat ini, Black dan isterinya sudah mempunyai dua nama sama ada nama untuk bayi perempuan atau sebaliknya. Jelas Black lagi, beliau selesa memilih nama bayi yang mempunyai maksud yang baik.
Ketika ini, Black tidak mengalami perkara pelik seperti mengidam yang bukan-bukan. Hanya isterinya saja mengidam. Cuma kebelakangan ini Black mengakui berdepan dengan alahan sakit mata tetapi peliknya selepas pergi periksa keadaannya, doktor mengesahkan tiada masalah.
"Kali pertama isteri saya pernah mengidam nak makan cendol di Pulau Pinang tetapi kami ketika itu berada di Kuala Lumpur. Mengikutkan kehendaknya hari yang sama kami ke Pulau Pinang. Malam yang sama setibanya kami di Pulau Pinang, dia minta buah cermai yang dipetik dari pokok.
"Saya cuba memujuknya untuk tidak meminta buah berkenaan serta merta. Lalu, saya memuat naik gambar bertanyakan kepada pengikut di laman Instagram di mana nak dapat buah cermai.
"Mereka memberi maklum balas tetapi saya sendiri belum dapat mencarinya. Dijadikan cerita, ibu dan bapa saya ternampak pokok buah cermai di tepi lebuh raya sekitar Cheras. Lucunya, bapa saya memberhentikan motosikal dan menjadikan pengangkutan itu seperti tangga untuk memetik buah. Alhamdulillah jumpa juga akhirnya," katanya yang kini sudah menanam pokok cermai di belakang rumah.
Dalam perkembangan lain, Black malam esok akan berentap pada Separuh Akhir Muzik Muzik mempertaruhkan lagu Si Putih Si Merah bersama rakan rappernya, RJ. Siaran langsung boleh ditonton di TV3.
Menurut Black, sesi latihan mereka agak terbatas kerana kekangan masa tetapi beliau dan RJ mencuri ruang berlatih ketika sesi jamming dan siri jelajah mempromosikan album Tomok, Aku Datang.
Selepas Hard Rock Cafe, Black minggu ini akan bersama Tomok di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pula. Seterusnya minggu depan di Sabah dan Sarawak.
"Minggu ini isteri saya akan dihantar ke Pulau Pinang kerana saya ada urusan persembahan. Alhamdulillah kerjaya saya macam biasa. Januari depan Insya-Allah saya akan muncul dengan single berkonsepkan Balada ciptaan Ajai berjudul Mana Mungkin," katanya.
BLACK dan cinta hatinya Cira. Black bakal bergelar bapa tak lama lagi.
0 comments:
Post a Comment