ARTIS MELETOP
Dayang, Marcell kembali bersama
LAGU Di Pintu Syurga merupakan single terkini Dayang.
Kali terakhir menjalinkan kolaborasi ketika membuat persembahan di Malaysia empat tahun lalu, kini penyanyi Dayang Nurfaizah bakal kembali bersama penyanyi kelahiran Indonesia, Marcell Siahan beraksi di pentas Panggung Sari, Istana Budaya esok.
Dayang yang ditemui ketika menjalani latihan di sebuah studio di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa lalu memberitahu, sudah lama dia teringin untuk berkongsi pentas dengan penyanyi kegemarannya itu.
“Pada tahun 2010, saya dan Marcell pernah membuat persembahan bersama dalam sebuah mini showcase di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. Kali ini kami diberi kesempatan beraksi di pentas yang lebih besar pula.
“Sudah tentu ia merupakan suatu peluang dan penghargaan yang cukup bermakna buat diri saya serta dapat pula berkolaborasi dengan penyanyi yang hebat seperti Marcell,” luahnya dengan nada gembira.
Bercerita lanjut mengenai konsert yang diberi nama Pesona Cinta Dayang Nurfaizah & Marcell, penyanyi berkenaan memberitahu, segala persiapan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Ujarnya, dia akan menyampaikan sebanyak 10 buah lagu dalam tempoh satu jam manakala Marcell pula akan menghiburkan peminat menerusi lagu-lagu nyanyiannya dalam tempoh satu jam lagi.
“Berkenaan dengan lagu yang akan saya persembahkan nanti, biarlah ia diketahui oleh peminat yang hadir nanti. Apa yang boleh saya katakan, sebanyak 10 buah lagu akan dinyanyikan, termasuk beberapa buah lagu secara medley.
“Kalau diikutkan memang banyak lagu yang ingin saya persembahkan, cuma faktor masa yang agak terhad menjadi halangan. Saya berharap agar peminat yang hadir berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan nanti,” kata dayang.
Selain membuat persembahan secara solo, Dayang menyatakan, terdapat dua buah lagu yang akan dinyanyikan secara duet bersama Marcell iaitu Sayang dan Hanya Memuji semasa konsert berkenaan.
DAYANG kini giat menjalani latihan sempena konsert Pesona Cinta Dayang Nurfaizah & Marcell yang dijadual berlangsung pada 29 Mac ini.
“Sudah tentu Sayang merupakan lagu wajib yang dipersembahkan memandangkan ia memang lagu duet kami manakala Hanya Memuji pula dipilih kerana ia sebuah lagu yang bagus dan sesuai untuk kami bawa secara duet,” ujarnya.
Bagi peminat yang ingin untuk menyaksikan konsert anjuran Jag Event itu, tiket-tiket berharga RM150, RM250, RM350, RM450 dan RM550 masih lagi dijual. Keterangan lanjut dan tempahan boleh dibuat dengan melayari laman web www.jagtickets.com.
Tidak kisah
Selain bercerita tentang konsertnya yang bakal berlangsung, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu menyatakan, ketika ini dia sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya berjudul Di Pintu Syurga.
Ujarnya, dia gembira apabila lagu hasil ciptaan Tam Spider (lagu) dan Iman Imran (lirik) semakin mendapat tempat di hati peminat sejak menjadi runut bunyi untuk drama bersiri Arianna Rose yang disiarkan di TV3.
“Pada mulanya saya berasa agak bimbang sama ada lagu berkenaan dapat diterima peminat atau tidak. Bagaimanapun, maklum balas yang diterima sangat positif apabila ramai yang menggemarinya.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak menyangka Tam boleh menghasilkan lagu balada yang sangat bagus dan sudah tentu saya meletakkan harapan tinggi agar ia dapat dipertandingkan sehingga ke Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun ini,” ujarnya.
Ketika ditanya apa yang membuatkan dia masih mahu bersaing di AJL memandangkan kebanyakan penyanyi senior enggan mengambil bahagian, penyanyi berkenaan menjelaskan, dia seorang individu yang gemar kepada persaingan.
“Kali terakhir saya menyertai AJL ialah pada tahun 2004 menerusi lagu Erti Hidup. Jadi, sudah sembilan tahun saya tidak berpeluang untuk beraksi di pentas yang berprestij seperti AJL ini.
“Saya tidak kisah kalau tewas di tangan penyanyi muda kerana menang atau kalah memang adat bertanding. Apabila bersaing dalam sesebuah pertandingan itu, tidak harus timbul siapa yang lebih senior kerana paling penting perlu fokus kepada persembahan,” jelasnya mengakhiri bicara.
JOM LAYAN DI PINTU SYURGA
0 comments:
Post a Comment