DALAM menghadapi situasi genting, setiap individu pasti mempunyai cara tersendiri mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.
Lebih-lebih lagi apabila masalah tersebut perlu diatasi di dalam sebuah pesawat komersial yang sedang terbang pada ketinggian lebih 3,000 meter dari aras laut.
Itulah perkara yang perlu dihadapi oleh Bill Marks lakonan Liam Neeson. Bill merupakan seorang marsyal udara yang diberi kepercayaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dalam memelihara kesejahteraan penumpang sejak berlakunya kejadian rampasan kapal terbang beberapa tahun lalu.
Dari segi lakonan, pelakon yang berasal dari Ballymena, Ireland ini langsung tidak menghampakan para penonton.
Menggalas karakter seorang 'kaki minum', Liam mampu untuk menonjolkan sisi normalnya walaupun pada keseluruhan cerita dia terpaksa bergantung pada minuman tersebut.
Ini terbukti menerusi babak awal yang mana Bill memujuk seorang kanak-kanak perempuan yang enggan menaiki pesawat yang sama kerana takut untuk terbang berseorangan.
Selain itu, watak Jen Summers lakonan Julianne Moore dikembangkan selari dengan perjalanan cerita tersebut.
Bagaimanapun, karakter Jen yang direalisasikan oleh penerima anugerah Golden Globe itu terlalu 'selamat' jika mahu dibandingkan dengan watak-watak yang pernah dilakonkannya sebelum ini.
Karakter Jen yang agak pasif dan kelam-kabut sedikit sebanyak menutup peluangnya untuk menonjolkan bakat menerusi filem arahan Jaume Collet-Serra itu.
"Namun, secara keseluruhannya, emosi yang ditampilkan oleh Juliane mampu menyelamatkan watak tersebut.
Dalam pada itu, pelakon yang memenangi anugerah Oscar Pelakon Pembantu Wanita Terbaik baru-baru ini, Lupita Nyong'o turut mencuri tumpuan penonton menerusi watak Gwen Lloyd, seorang pramugari yang bertugas sepanjang perjalanan tersebut.
Dari segi jalan cerita, Non-Stop tidak lari jauh daripada beberapa filem pesawat yang pernah dihasilkan di Hollywood sebelum ini.
Filem yang sepatutnya sarat dengan adegan suspens ini kelihatan sedikit hambar. Malah, adegan akhir pendedahan identiti penjenayah sebenar tidak memberi impak seperti yang diharapkan.
Namun, babak letupan bom dalam pesawat serta kejayaan juruterbang melakukan pendaratan kecemasan boleh dikategorikan sebagai klimaks kedua dalam filem ini. Suasana kacau-bilau dalam pesawat serta perasaan panik penonton memberi gambaran betapa dahsyatnya suasana ketika itu.
Non-Stop mengisahkan seorang marsyal udara, Bill Marks (lakonan Liam Neeson) yang ditugaskan untuk menaiki sebuah pesawat komersial menuju ke London, England.
Sewaktu dalam perjalanan, dia menerima rantaian khidmat pesanan ringkat (SMS) menerusi telefon bimbitnya yang berbaur ugutan.
Menerusi SMS itu, Bill diminta untuk memindahkan wang berjumlah AS$150 juta (RM490 juta) ke dalam sebuah akaun bank yang dinamakan atas namanya.
Gagal berbuat demikian, individu yang menghantar SMS tersebut akan membunuh seorang dalam pesawat itu setiap 20 minit.
Konflik mula tercetus apabila Bill dianggap sebagai pengganas yang ingin merampas pesawat tersebut.
Bill lalu terpaksa meminta pertolongan Jen untuk mencari individu tersebut di dalam pesawat dan dalam masa yang sama membuktikan bahawa dia tidak bersalah. Namun Bill juga tidak pasti adakah Jen bukan suspek - IZWAN MOHD. ISA
0 comments:
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.