Loading...
Monday, March 10, 2014

Projek Kahwin: Bakal ulangi kejayaan?

SELEPAS kejayaan teater Maduku Kalut yang dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya (IB), tahun lalu, produksi Mask Team, sekali lagi tampil mempertaruhkan karya terbaharu, Projek Kahwin, Jun ini.

Berkolobarasi bersama IIAN Enterprise, Projek Kahwin merupakan pementasan berbentuk dokumentari yang buat julung kalinya diadakan di pentas berprestij itu.

Di jangka menemui penonton IB, bermula 6 hingga 14 Jun depan,  teater arahan Muhammad Azri Ali,  dikatakan mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri dari segi skrip dan barisan pelakonnya.

Dibintangi pelakon-pelakon komersial seperti Izzue Islam, Hanez Suraya dan Shah Iskandar, Projek Kahwin ini turut mengundang, Imam Muda Asyraf, sebagai penampilan khas.  

Menepati identiti Mask Team itu sendiri, penerbitnya, Mohd Amer Syafiq Khalid, berkata, Projek Kahwin turut mengetengahkan penggiat teater indie yang cukup berbakat, seperti Sherry Alhadad, ZulinAziz, Fazleena Hisahmuddin, Shahkimin dan Azhar Zainal.

Jelasnya, gandingan antara pelakon komersial dan indie ini pastinya menjadi tarikan utama penonton untuk menyaksikan naskah terbaharu mereka di panggung berprestij itu.  

"Kami bersyukur apabila buah tangan kedua Mask Team ini diberi penghargaan untuk dipentaskan di pentas lebih besar, Panggung Sari selepas teater pertama kami mendapat sambutan di luar jangkaan, tahun lalu.

"Kali ini kami kembali sekali lagi dengan membawa Izzue Islam sebagai teraju utama teater ini selepas dia berjaya menghayati wataknya dengan baik ketika pementasan Maduku Kalut," katanya.

Tiket boleh didapati dengan harga RM35, RM55, RM85, RM155, RM185 dan RM255 (Platinum). Dalam pada itu, Mohd Amer berkata sempena teater itu, turut diadakan pameran pengantin 'Projek Kahwin' di lobi Istana Budaya bermula 11 hingga 15 Jun.

"Sebanyak 35 gerai akan mengambil bahagian dalam acara tersebut yang melibatkan perunding perkahwinan, kursus kahwin, pereka tempatan dan pelbagai pakej menarik perkahwinan," katanya.

Sementara itu, pengarahnya,  Azri Ali berkata, teater itu merupakan projek akhir ketika bergelar pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Katanya, jalan cerita teater ini mengisahkan suasana yang berlaku dalam sesebuah perkahwinan masyarakat Melayu khususnya.

"Pasangan Rizal dan Nisa, merupakan bakal raja sehari yang berhadapan dengan pelbagai masalah.

"Kekalutan mula berlaku apabila keluarga kedua belah pihak masuk campur dalam urusan mereka perkahwinan mereka.

"Mereka perlu menyelesaikan masalah tersebut agar segala perancangan berlangsung dengan baik," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif.

Tambahnya, setiap watak digambarkan berdasar peribadi sebenar masyarakat Malaysia.

"Malah setiap isi cerita yang disampaikan merupakan kajian yang telah dilakukan terlebih awal sebelum dipentaskan. Saya percaya penonton pasti terhibur menonton telatah para pelakon setelah majlis yang rancang menjadi haru biru," katanya.


Izzue mula 'gian'

Nama pelakon 'Sebenarnya Saya Isteri Dia', Izzue Islam mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi. Meskipun memulakan karier seninya dalam bidang nyanyian, ahli Forteen ini bagaimanapun lebih menyerlah sebagai pelakon, sementelah memenangi Anugerah Pelakon Harapan Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-25 dan juga Hero Baru terhebat, dalam Anugerah Blokbuster 2.

Bukan saja di layar perak, percubaan pertama Izzue menerusi teater Maduku Kalut di samping Nad Zainal dan Jihan Muse, tahun lalu, juga menjadi platform untuknya terus beraksi di pentas teater.

Menurut Izzue, pengalaman itu banyak mengajarnya selok belok untuk menghiburkan penonton di secara langsung di atas pentas.

"Kalau sebelum ini, saya takut dan gementar untuk berlakon kerana tidak pernah memijak pentas teater. Tetapi selepas tamat Maduku Kalut saya jadi gian untuk berlakon lagi.

"Habis sahaja pementasan, saya terus bertanya kepada Amer sekiranya ada peluang lagi untuk saya sertai teater terbitan produksinya," ujar Izzue.

Selepas ditawarkan buat kali kedua untuk berlakon teater, Izzue bersyukur dan sangat teruja dengan tawaran tersebut.

"Alhamdulillah...Inilah peluang yang saya tunggu selama ini dan menerimanya tanpa banyak soal. Terus terang saya katakan bahawa saya sudah bersedia untuk ke pentas yang lebih besar biarpun cabarannya lagi mencabar," kata Izzue pelakon kelahiran Kota Bharu, Kelantan.  


Hanez tetap positif

Biarpun berdepan kontroversi hebat, Hanez Suraya, tetap optimis untuk menjayakan pementasan sulungnya ini. Akui masih menerima kritikan dan cemuhan masyarakat, Hanez bagaimanapun mengharapkan agar semuanya kembali pulih seperti biasa. 

"Saya sedar sedikit sebanyak kerjaya saya terjejas dan populariti menurun kerana peristiwa ini. Namun saya bersyukur, di kala kehidupan peribadi menjadi bahan cemuhan orang lain tetapi saya masih menerima tawaran berlakon.

"Alhamdulillah... meskipun ia merupakan pertama kali saya akan melakukan persembahan di pentas teater dan InsyaALLAH, saya janjikan yang terbaik," kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Pernah membintangi beberapa drama seperti Tiga Janji, Dalam Hati Ada Taman, Autumn Di Hatiku dan Love You Mr Arrogant, pelakon berusia 29 tahun menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa.

Dalam masa yang sama, Hanez berkata dia ingin menimba pengalaman baru sebagai pelakon dengan meluaskan cabang kerjayanya di pentas teater.

"Pada mulanya saya tidak yakin kerana Amer pernah tawar untuk berlakon dalam Maduku Kalut, namun saya menolaknya.
"Walaupun sudah biasa dengan drama, saya akan mengikuti kelas untuk belajar skrip demi teater ini," ujarnya.

Shah Iskandar teruja

Sementara itu, pelakon yang berasal dari Singapura, Shah Iskandar Mahfuz turut meluahkan rasa teruja dan gembira menyertai pementasan Projek Kahwin itu.

Jelasnya, dia tidak yakin untuk menerima tawaran tersebut pada mulanya, namun atas nasihat pihak produksi akhirnya dia bersetuju.

"Tiada pengalaman langsung dalam bidang teater membuatkan saya agak ragu-ragu. Tetapi atas nasihat penerbit dan rakan-rakan saya meyakinkan saya untuk menerimanya.

"Ia merupakan pengalaman pertama atas pentas teater dan InsyaALLAH saya akan lakukan yang terbaik," katanya.

Sedikit mengenai latar belakang aktor yang berusia 32 tahun ini, dia memulakan kerjaya seni sebagai pelakon dan juga pernah mengacara program tv.

Antara drama lakonannya ialah Di Pinggir Hati, Kisah Di Turki, Gerak Khas, Nora Elena, Atas Nama Cinta, Teduhan Kasih dan terbaharu, Jika Itu Takdirku yang kini bersiaran di Slot Akasia, TV3.

Bercerita mengenai wataknya, Shah berkata dia memegang watak sebagai Radhi, kawan baik kepada Rizal (Izzue).

"Skripnya sudah dibaca sedikit sebanyak namun saya tidak dapat bercerita panjang mengenainya.

"Tunggu sahajalah apabila ia dipentaskan nanti kerana banyak kejutan yang akan dipersembahkan," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP