ARTIS MELETOP
Amir Jahari Tidak Kejar Populariti Sebagai Artis
Amir Jahari bakal tampil dengan album kedua tahun hadapan.
Penyanyi Amir Jahari menjelaskan dia tidak pernah memberi tumpuan untuk mengejar populariti sebagai artis kerana kehadirannya dalam industri adalah untuk memperjuangkan muzik yang dibawanya kepada peminat.
Amir, 22, berkata, populariti itu hanya boleh dinilai oleh peminat dan bukan dirinya sendiri dan menganggap perkara itu suatu bonus.
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
"Populariti itu penting dalam kerjaya seseorang artis namun saya tidak boleh menentukan sama ada saya popular atau pun tidak.
"Bagaimanapun sejak mula saya terlibat dalam bidang ini perkara itu bukanlah menjadi perhatian kerana objektif saya adalah untuk memperkenalkan muzik saya kepada peminat. Sekiranya popular itu adalah bonus kepada saya," katanya kepada mStar Online.
Amir ditemui pada majlis pelancaran tujuh saluran baharu Hypp TV yang diadakan di Jump Street di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Amir berkata, dia bersyukur kerana peminat hari ini bersikap lebih terbuka dan tidak hanya memandang kepada rupa paras seseorang penyanyi sebaliknya mementingkan kualiti muzik yang dibawa oleh seseorang artis.
"Saya sendiri tidak menjual rupa kerana itu bukan kelebihan saya tetapi menawarkan muzik yang baik kepada mereka. Alhamdulillah penerimaan pendengar sangat positif," ujarnya.
Sementara itu, Amir mengakui kehidupan berumah tangga bersama isteri, Kartini Ismail yang dikahwininya pada Oktober tahun lalu banyak memberinya inspirasi untuk menghasilkan lagu untuk album keduanya yang dijangka berada di pasaran tahun hadapan.
Amir berkata, transisi daripada seorang lelaki bujang dan bergelar suami banyak mengubahnya dalam melihat aspek kehidupan dengan cara lebih matang dan ia diterjemahkan dalam bentuk penulisan lagu.
"Saya cukup seronok memulakan proses rakaman album kedua saya kerana perubahan saya sebagai seorang manusia banyak membantu dalam memberi idea untuk menghasilkan karya-karya terbaharu.
"Apa yang pasti album itu nanti akan memperlihatkan kematangan muzik yang saya bawa dengan satu konsep berbeza tetapi saya ingin rahsiakan terlebih dahulu," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Amir berkata, selain merakamkan album dia kini turut sibuk dengan pelbagai undangan nyanyian di seluruh negara.
0 comments:
Post a Comment