Loading...
Sunday, June 29, 2014

Keperluan Tadarus Al - Quran


Lembaran Ilmu

Keperluan Tadarus Al - Quran



Assalamualaikum ...

Dengan lafaz Bismillah ...
Tadarus al - Quran lazimnya dilakukan pada bulan Ramadhan . Keperluan tadarus al - Quran adalah untuk mengisi masa - masa lapang yang kita ada dengan beribadah . Pun begitu , bukan mudah untuk menghabiskan 30 juzuk dalam sebulan terutama bagi kaum wanita . Malah seminggu sebelum menjelang Syawal , ramai antara kita sudah mula mengabaikannya hanya kerana sibuk membuat persiapan raya .

Diriwayatkan, Rasulullah bertadarus Al-Quran dengan Jibril sendiri :

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: (كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ـ أي أكرم الناس ـوكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل، وكان جبريل يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسهالقرآن، فرسول الله صلى الله عليه وسلم حين يلقاه جبريل أجود بالخير من الريح المرسلة) متفق عليه 
“Nabi Muhammad s.a.w. merupakan orang yang sangat pemurah dengan kebajikan , dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadhan.Jibril a.s. menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan sehingga habis bulan itu dan Rasulullah membacakan Al-Qur’an kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah adalah
amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang”.
(Riwayat:Al-Bukhari dan Muslim).

Keperluan Tadarus Al - Quran


Kelebihan Bertadarus

Tadarus Al-Qur’an mempunyai banyak kelebihan. Selain kelebihan-kelebihan yang dijanjikan bagi sesiapa yang membaca Al-Quran, Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ … وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍمِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُوَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ.

“Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca dan bertadarus Al-Qur’an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan (sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada para malaikat”.

Amalan tadarus Al-Qur’an Rasulullah itu, telah menjadi ikutan dan dihayati oleh para sahabat dan orang-orang soleh dari dahulu hingga kini. Mereka bertadarus Al-Qur’an sehingga tamat beberapa kali sepanjang bulan Ramadhan. Ada yang mengkhataminya seminggu sekali, tiga hari sekali, sekali setiap malam atau lain lain tempoh mengikut kesungguhan serta keupayaan masing-masing.

Imam Asy-Syaaf’i umpamanya dilaporkan dua kali tamat dalam sehari di bulan Ramadhan. Seorang ulama' lain bernama Mujahid, khatam Quran antara Maghrib dan Isyak pada setiap malam di bulan Ramadhan. Qatadah pula mengkhataminya setiap tiga malam sebelum sepuluh terakhir Ramadhan. Manakala dalam tempoh sepuluh terakhir beliau mengkhataminya setiap malam.

Selain itu, ulama terdahulu telah menangguhkan majlis majlis ilmu mereka di bulan Ramadhan bagi memberi lebih tumpuan terhadap Al-Qur’an. Imam Az-Zuhri misalnya apabila tiba bulan yang berkat ini, beliau menangguhkan sebarang majlis ilmu, bagi menghayati tilawah dan mendalami Al-Qur’an. Beliau membacanya pada mashaf.


Demikian juga Imam Malik r.a. beliau meninggalkan buat sementara waktu sebarang aktiviti pengajian hadis dan fekah bagi mentadabbur Al-Qur’an. Sehubungan ini beliau pernah menyatakan: “ هذا شهر القرأن ”. Ertinya, ini ialah bulan Al-Qur’an.

Perhatian : 


Mengikut Imam Nawawi, sebahagian Ulama' menghukum makruh mengkhatamkan Al-Quran dalam sehari semalam. Mereka berdalilkan hadis sahih dari Abdullah bin Amru bi Al-A'ss katanya :


قال رسول الله : لا يفقه من قرأ القرأن في أقل من ثلاث 
Maksudnya: Tidak dianggap faqih seseorang yang mengkhatamkan Quran kurang dari 3 hari.


Cara Tadarus

Tiada cara yang seragam atau tertentu dalam aktiviti tadarus Al-Qur’an. Bagaimanapun antara langkah-langkah yang boleh diikuti ialah:

1. Membaca Al-Qur’an secara bergilir-gilir dalam suatu kumpulan kecil.

2. Membaca mengikut tertib surah dan ayat, sebagaimana dalam mashaf

3. Menyemak bacaan agar selamat daripada kesalahan tajwid dan sebagainya.

4. Baca dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah bukan untuk segera khatam.

5. Aktiviti ini boleh dihidupkan di tempat-tempat yang sesuai terutama di masjid, surau
atau di rumah sebaik-baiknya bersama keluarga.


Digalakkan memperbanyakkan bacaan Al-Quran pada waktu malam dan ketika solat malam.
Firman Allah Taala :



ومن أهل الكتاب أمة قآئمة يتلون ايات الله ءانآء الليل وهم يسجدون
Berkata Imam Nawawi (kesimpulannya) : 

Digalakkan solat dan membaca Al-Quran pada malam hari kerana ialah lebih menumpukan hati, jauh dari kesibukan dan perkara-perkara yang melalaikan, lebih terjaga dari riya' dan lain-lain yang menggugurkan amalan.

Kesimpulannya: Tujuan asal tadarus ialah untuk memperelokkan dan menyemak kembali bacaan. Dan sebaiknya bacaan itu difahami. Kerana itu,lebih elok jika tadarus itu diadakan secara berkumpulan untuk sama-sama mendapat manfaat. Dan elok juga dilakukan perbincangan ringkas selepas tadarus berkenaan ayat-ayat yang di baca.

Walaubagaimanapun,jika mampu, sewajarnya seorang Muslim berusaha mengkhatamkan Al-Quran paling kurang sekali dalam bulan Ramadhan dengan menjaga adab-adab dan hak-hak Al-Quran itu sendiri.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud :


" Ramai orang membaca Al-Quran , sedangkan Al-Quran itu melaknatnya "
Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan itu.


Rujukan:

1. التبيان في اداب حملة القران
Oleh Imam Nawawi
2. Risalah Berkenaan Tadarus 
Yayasan Terengganu






0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP