Loading...
Friday, November 29, 2013

Jangan panggil kd lagi

Krisdayanti sebar aura positif diri setiap kali disapa dengan nama asal

Keinginan serius yang secara tidak langsung menterjemahkan perubahan besar dalam diri diva Indonesia, Krisdayanti adalah melucutkan sapaan KD yang lama sebati dengannya.

Meskipun tidak mudah, keputusan itu tetap diambil sebagai mensyukuri nama asal yang diberikan kedua orang tuanya yang mempunyai pengertian tersendiri. 

Saya membawa album terbaru ini untuk berbicara dengan lebih tulus, bukan lagi sekadar mengejar untung"

“Daya bermaksud kekuatan, manakala Yanti pula melambangkan diri saya sebagai wanita. Nama Krisdayanti membawa tenaga positif dan kekuatan itu ingin saya kongsi dengan semua orang. 

“Meskipun tidak muda lagi, kita harus bersemangat meneruskan hidup,” kata bintang kelahiran Batu, Jawa Timur pada 24 Mac 1975 itu.

Krisdayanti berkata, hasrat untuk menggunakan nama penuhnya dilunaskan sejak album, I’m Sorry Goodbye yang dirakamkan pada 2007.

Bagaimanapun, disebabkan ramai sudah terbiasa dengan sapaan KD, perubahan yang dibawakan itu kurang disedari. 
Namun kata penyanyi Menghitung Hari ini, sudah tiba masanya untuk dia memberitahu umum keinginan yang sudah lama tersimpan itu.

“Saya cuba mengubah kembali dengan menghargai nama yang diberikan orang tua. Bukan menolak sapaan KD kerana pada dasarnya, pangkal nama itu juga mempunyai kekuatan tersendiri.

“Namun apabila menganjak dewasa, saya rasa lebih tulus jika disapa umum sebagai Krisdayanti. Tetapi jika masih ada yang mahu memanggil KD, saya tiada masalah. Biarlah ia berubah perlahan-lahan,” katanya.

Permulaan panggilan pangkal nama penyanyi Mahadaya Cinta itu berlaku ketika dia menjayakan persembahan yang turut diserikan penyanyi antarabangsa di Bali.
“Ketika itu, Gloria Gaynor berdepan kesulitan untuk menyebut nama penuh saya justeru, kami memilih hanya menggunakan pangkal nama iaitu KD.

“Semakin dewasa, saya melihat kekuatan pada nama sebenar lalu saya terfikir, mengapa tidak saya memanfaatkannya sebagai nama komersial,” katanya yang sering membahasakan dirinya sebagai Yanti.

Terasa kekurangan

Empat tahun tidak merakamkan album terbaru, penyanyi yang kali terakhir muncul bersama Aku Wanita Biasa pada 2009 mengakui, dirinya seperti kehilangan sesuatu.

“Saya berasa seperti ada yang kurang apabila tidak menyumbang dalam bentuk karya. Saya mahu terus berkarya kerana jolokan diva yang diberikan masyarakat adalah tanggungjawab.

“Ia seperti peringatan kepada diri kerana saya khuatir, hanya membawa gelaran tetapi saya tidak berkongsi apa-apa karya terbaru dengan mereka. 

“Saya tidak mahu melepaskan tanggungjawab itu. Kembali menyanyi dan melahirkan album bagaikan memberi tenaga baru. 

“Saya seperti dilahirkan semula, membuatkan saya berasa diri ini punya erti dalam industri muzik,” katanya.

Perasaan bahagia itu menyelinap ketika album terbarunya, Persembahan Ratu Cinta dilancarkan di Kemang, Jakarta pada 14 November lalu.

Album itu katanya, menterjemahkan perjalanannya dalam belantara muzik Indonesia yang dilewati 17 tahun lalu selepas meraih kemenangan dalam Asia Bagus pada 1994.

“Antara bahagia, senang dan terharu, akhirnya album ini menemui peminat. Tidak terasa sudah 17 tahun saya menyanyi, saya harap album ini diterima semua,” katanya mengenai album yang mengisi dua lagu terbaru dan 15 single terbaik.

Tidak kejar untung

Pertambahan usia dan membawa gelaran ibu kepada empat cahaya mata, jiwa Krisdayanti semakin tergerak untuk membabitkan diri dalam aktiviti sosial.

Atas alasan itu, isteri kepada Raul Lemos ini menyimpan niat mendermakan sebahagian daripada hasil jualan album terbarunya untuk menangani masalah kesihatan kanak-kanak di Indonesia.

“Andai mahu terus diukur dari segi pencapaian, saya sudah melewati fasa itu. Lantas, saya membawa album terbaru ini untuk berbicara dengan lebih tulus, bukan lagi sekadar mengejar untung.

“Insya-Allah, sebahagian daripada hasil penjualan album ini akan diberikan untuk pengurusan kesihatan anak Indonesia.

“Saya ingin berkongsi sesuatu yang indah. Ia menuntut keikhlasan dan jika berjaya disempurnakan, pencapaian itu tinggi. 

“Keikhlasan itu memerlukan kerelaan dan alhamdulillah, serentak usia yang bertambah, saya semakin ikhlas menjalani hidup tanpa perlu lagi dibebani urusan duniawi semata-mata,” katanya.

Dia bersyukur kerana pengaruhnya dimanfaatkan untuk usaha amal yang dijayakan bersama gerakan World Hunger Relief (WHR).

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP