Loading...
Monday, November 4, 2013

Cerita menantu dan mertua maria dan shahirah

MULUTNYA riuh, ada saja topik yang ingin dibualkan. Kepada yang pertama kali bersua muka dengan Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar pasti terkejut dengan kekecohan personaliti pelakon, pengacara dan kini bergelar penyampai radio itu. Apa yang kita saksikan di kaca TV, itulah diri sebenar wanita berumur 39 tahun itu.
Keramahan pekerti Sharifah Shahirah yang mesra disapa Shahirah itu membuatkan dia disenangi ramai. Dia tidak lokek senyuman dan suka berhumor sehingga berderai tawa individu sekeliling. Barangkali karakter bersahaja dan ceria itu membuatkan ibu kepada empat cahaya mata itu kekal jelita.
“Saya bukan kelompok wanita yang ada rejim kecantikan tertentu apatah lagi nak bersolek. Kalau tiada acara istimewa, penggambaran atau majlis yang melibatkan kerja, memang saya tidak akan mengoles solekan,” ujar Shahirah sambil ketawa kecil.
Penjagaan wajah Shahirah juga mudah. Keutamaan diberikan kepada kesesuaian produk memandangkan kulitnya jenis yang berjerawat. Begitupun, dia tidak meletakkan spesifikasi tertentu terhadap produk kecantikan yang digunakan.
Selagi produk itu boleh mengekalkan kesihatan kulit wajahnya, ia sudah memadai. Malah tidak pernah terdetik di dalam hatinya untuk mencuba alternatif kecantikan seperti vitamin C atau kolagen.
“Petua kecantikan peribadi memang tidak ada. Tambahan pula sekarang saya mengalami masalah tidur dan hanya lena selama lima jam. Bila bangun pagi, saya minum air kosong dan Nescafe.
“Rutin pagi saya selalunya di rumah sahaja sebab tugas saya di konti radio bermula pukul 3 petang. Lepas habis kerja saya terus ke pusat kickboxing di kawasan perumahan.
“Sudah tiga bulan saya lakukan aktiviti kecergasan ini tetapi saya buat gerakan mudah asalkan dapat berpeluh,” jelas Shahirah yang bertugas sebagai penyampai radio di stesen UFM pada frekuensi 101.3fm sejak tujuh bulan lalu.
Fokus kerjaya Shahirah dalam dunia radio memberikannya sedikit ruang untuk berehat dan bersantai bersama keluarga terutamanya pada hujung minggu. Buat sementara waktu, dia mahu berehat dalam bidang lakonan.
Gaya kasual
Menyentuh cita rasa fesyen isteri kepada Zulkifly Azari atau dikenali dengan panggilan Ijoy itu, Shahirah memberitahu dia cenderung kepada fesyen kasual dan gaya ringkas. Baju T dan seluar jean merupakan definisi melaram memadai bagi dirinya.
Imej muda itu masih menjadi pilihan Shahirah. Tanpa penambahan aksesori berlebihan, dia gemar bersederhana tanpa mempedulikan trend-trend baharu yang sering diikuti orang.
Bagi Shahirah dia kurang gemar aksesori. Jika teringin bergaya lebih, lazimnya dia hanya memakai subang atau anting-anting. Jika kebanyakan wanita suka membeli barang mengikut trend terkini, Shahirah pula gemar bertentangan trend.
Kasut tapak rata
Shahirah tidak menafikan ramai wanita terkenal dengan minat gilakan kasut tetapi tidak bagi dirinya. Sebaliknya, dia lebih selesa dengan kasut bertapak rata dan hanya menyarungkan kasut tumit tinggi untuk majlis-majlis tertentu.
“Dari segi barang berjenama mewah, ia subjektif kepada individu. Secara peribadi, saya juga ada keinginan untuk memiliki barang berlabel eksklusif tetapi saya hanya beli kalau ada duit lebih.
“Kalau duit cukup-cukup untuk keperluan harian, buat apa kita menyusahkan diri beli barangan tersebut? Jika tidak mampu tak payah beli dan pakailah mengikut kemampuan,” saran Shahirah yang tidak berasa istimewa jika memakai jenama mewah.
Ibu mertua Shahirah, Datin Maria Arshad pula mempunyai falsafah kecantikan yang berbeza. Begitupun, bekas aktres yang pernah mencipta nama sekitar tahun 1980-an itu tetap berkongsi kebiasaan yang sama seperti Shahirah apabila membabitkan solekan.

Wanita berusia 55 tahun itu mengakui jarang bersolek walaupun dengan bedak asas ketika keluar rumah. Namun, katanya, dia melihat keperluan solekan itu berdasarkan tempat yang ingin ditujui. Jika ke tempat biasa seperti pasar raya, memang solekan itu langsung tidak penting tetapi ia harus dipakai sekiranya menghadiri majlis istimewa.
Perihal wajah pula amat dititikberatkan Maria. Setiap hari, dia pastikan wajahnya mendapat penjagaan lengkap pada waktu pagi dan malam. Pencuci, pelembap dan penyegar menjadi tiga item wajib dalam rejim kecantikan wajah Maria.
“Penat macam mana sekalipun, jangan malas membersihkan muka,” pesannya ringkas.
Selain itu, Maria turut mendedahkan rahsia kelangsingan tubuhnya. Tanpa memerlukan penjagaan makan secara serius, Maria masih berupaya mengimbangi berat badannya walaupun telah memasuki usia 50-an.
“Tidak ada istilah diet. Saya masih lagi makan nasi seperti biasa. Kadang-kadang badan naik juga tetapi saya bakar semula kalori menerusi senaman aerobik.
“Setiap pagi saya menyertai kumpulan aerobik di Ukay Perdana, Ampang, Selangor selama satu jam. Kelas bermula pukul 10 pagi dan hanya ditutup pada hari Ahad,” teruja Maria bercerita ketika ditemui Stailo di kediaman anak lelaki dan menantunya, Shahirah baru-baru ini.
Tukar beg tangan
Naluri membeli-belah masih kuat dalam diri Maria. Cuma dia lebih suka berbelanja bersama rakan-rakan berbanding pergi sendirian.
Berbeza dengan Shahirah, Maria menyifatkan dirinya sebagai seorang yang gemarkan kasut khususnya sepatu baji dan tumit tinggi. Katanya: “Kasut memang saya selalu tukar tetapi tidak beg tangan. Kadang-kadang Shahirah tegur suruh saya tukar beg tangan sebab pakai lama sangat.”

Jika kebanyakan ibu mertua dan menantu perempuan sering berselisih pendapat, namun hal itu tidak dirasai oleh Maria dan Shahirah. Maria yang mempunyai tujuh orang anak dan lima cucu menyifatkan Shahirah sebagai individu yang boleh dibuat rakan.
“Sebenarnya saya lebih banyak telefon Shahirah daripada Ijoy. Bila ada kecemasan atau perkara yang saya nak tahu, saya hubungi Shahirah dan dia sangat membantu.
“Menjaga hubungan mertua dan menantu ini mudah. Saya jarang menyibuk dalam hal rumah tangga anak-anak saya dan seboleh-bolehnya tidak mahu mencelah. Saya bagi kebebasan kepada mereka. Tambahan pula hubungan saya dengan ibu bapa Shahirah cukup rapat,” dedah Maria.
Apabila diajukan pertanyaan tentang kerinduannya terhadap bidang seni, Maria hanya tersenyum. Kehidupan sekarang menguruskan anak-anaknya yang masih bersekolah membuatkan Maria memilih untuk sepi daripada kerjaya lamanya.
“Ada juga orang panggil tapi saya tolak sebab saya sibuk menghantar dan mengambil anak sekolah dan menguruskan keluarga,” luah Maria yang menghargai orang ramai yang masih mengenalinya di tempat awam.




0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP