Digandingkan dengan tokoh agama terkenal, Ustaz Azhar Idrus dalam filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang arahan Pierre Andre, ia nyata memberi pengalaman manis buat dua anggota kumpulan Shiro, Ajak dan Shahrol.
Ajak atau nama sebenar, Mohd Hanaffi Razak, 27, dan Shahrol atau nama penuhnya, Shahrol Azizie Azmi, 29, mengakui pada mulanya mereka gementar berdepan penceramah agama popular di Malaysia itu.
Filem ke-86 terbitan MIG Pictures itu menemui penonton di pawagam sejak Khamis lalu. Selain Ajak sebagai Muiz dan Shahrol (Dadu), filem bergenre komedi turut dibintangi DJ Irwan (Ali), Wak D (Amri), Along Eyzendy (Hamzah) dan Zalif Sidek (Bagok). Ustaz Azhar pula memegang watak dirinya sendiri.
Ajak berkata, sebagai bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, dirinya sudah dilatih dalam situasi cemas dan tidak gugup berjumpa orang lain. Bagaimanapun, akuinya, situasi berbeza apabila bertemu Ustaz Azhar. Dia gementar apabila berdepan penceramah yang mempunyai ramai peminat itu.
Tonton dan nilai
“Saya terlalu gementar, pandangan mata saya tidak berkelip apabila melihat Ustaz Azhar. Bagaimanapun, Ustaz Azhar pandai membuatkan saya selesa apabila berlakon dengannya. Saya bertuah, Shiro bukanlah nama besar tapi dapat bergandingan dengan seseorang yang tinggi ilmu agama. Saya tidak berkecil hati jika ada yang melemparkan tanggapan, Shiro menumpang populariti Ustaz Azhar.
“Tapi, bukanlah populariti soal utama. Mereka kena menonton dulu filem Ustaz, Mu Tunggu Akan Datang. Selepas itu, barulah boleh menilai.
Tiga hari berlakon bersama Ustaz Azhar membuka mata kami. Bukan saja berkongsi ilmu agama, malah kami mendapat banyak unjuk ajar.
“Saya akui malu nak buat lawak berlebihan dengan Ustaz Azhar kerana beliau lebih kelakar daripada kami (ketawa),” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.
Ajak juga menjelaskan, dia yakin Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang mampu menjadi fenomena, memandangkan Ustaz Azhar mempunyai ramai pengikut.
“Namun apa yang lebih saya harapkan, mungkin dalam beribu-ribu penonton yang menonton filem ini, ada di kalangan mereka yang berubah dan mendapat petunjuk,” katanya jujur.
Shahrol pula berkata, Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang bukan hanya memberi ruang kepadanya mendekati Ustaz Azhar, malah mereka juga bertemu kumpulan tabligh.
“Ustaz, seorang yang merendah diri, kelakar dan senang didekati. Dia seorang yang bijak dan selalu mengkaji isu semasa. Awalnya, saya takut dan gugup, terfikir juga boleh ke Ustaz Azhar menerima orang macam saya. Tapi, beliau tidak seperti difikirkan. Beliau membuatkan saya selesa bergandingan dengannya. Banyak dialog spontan terkeluar, malah dalam babak akhir, kami langsung tidak mengikut skrip.
Dekati tabligh
“Saya dan Ajak juga mendekati kumpulan tabligh ketika penggambaran dilakukan di sebuah masjid di Ampang. Kami banyak mendapat nasihat berguna, malah berkawan dengan mereka terbit rasa hati nak berjuang seperti mereka. Mereka bukan golongan sebarangan, kebanyakannya ad ada kerjaya profesional seperti doktor, jurutera dan ahli perniagaan. Apa yang lebih membuatkan saya terharu, adik saya yang mendengar cerita saya pula mendapat hidayah. Alhamdullilah.
“Apa diceritakan membuatkan adik saya menyertai kumpulan tabligh ini. Adik saya memang nakal dan panas baran, tapi akhirnya terbuka hati untuk berubah. Saya bersyukur, Filem ini banyak permainan emosi. Bukan saja babak lawak, malah saya kena menangis. Memang susah buat saya menitiskan air mata, saya hanya menangis ketika minta ampun dengan ibu bapa pada hari raya (berseloroh).
“Bagaimanapun, saya tidak tahan melihat Ajak menangis tersedu sedan, saya pun turut menangis. Pierre pula pandai mencari emosi sedih, dia memasang lagu Zikir Taubat, kami berjuraian air mata,” katanya
0 comments:
Post a Comment