Loading...
Friday, November 29, 2013

Imeg gile stacy bukan ditiru

KEKERAPANNYA tampil dengan imej pelik menyebabkan Stacy mula dikritik segelintir peminat. Sebelum ini, dia dikatakan meniru imej penyanyi popular Miley Cyrus ketika tampil membuat persembahan pada acara Anugerah Planet Muzik 2013.
Terbaharu, ketika membuat persembahan menerusi lagu Bosan semasa saingan separuh akhir Muzik Muzik ketiga pada minggu lalu, penyanyi yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu menampilkan gaya rambut Mohawk.
Mengulas mengenai imejnya sekarang ini yang sudah mula menjadi bualan ramai, penyanyi tersebut yang ditemui selepas acara berakhir mempunyai alasan tersendiri mengenainya.
Bagi Stacy, sebagai seorang penghibur dia perlu tampil dengan gaya tersendiri dan menyifatkan sesebuah fesyen itu adalah bersifat universal dan istilah meniru tidak seharusnya ditimbulkan.
Kosmo!: Ada segelintir pihak yang mengatakan anda selalu meniru penampilan gaya artis antarabangsa. Boleh komen mengenai perkara tersebut?
STACY: Tidak dinafikan saya ada dengar orang mengatakan yang saya meniru gaya Miley Cyrus. Sebelum ini, ada juga yang turut mengaitkan saya dengan penampilan penyanyi Rihanna menerusi gaya rambut. Dalam perkara ini, saya merasakan istilah meniru tidak harus menjadi pertikaian kerana masing-masing berhak tampil dengan fesyen yang digemari. Mungkin orang mengaitkan saya dengan Miley memandangkan namanya sedang popular sekarang.
Apakah yang membuatkan anda tampil dengan imej yang pelik?
Sebenarnya saya suka memberanikan diri untuk mencuba pelbagai imej terkini dan gemar mengikuti perkembangan fesyen semasa. Pada saya, asal apa yang dilakukan ini tidak melampaui batas, rasanya ia bukanlah satu kesalahan yang besar. Lagipun saya hanya tampilkan imej tersebut sewaktu membuat persembahan dan ia bersesuaian dengan lagu saya yang berentak rancak.
Maksudnya anda masih berpenampilan normal pada hari yang tidak memerlukan anda bekerja? Maksud saya sewaktu membuat persembahan?
Ya, pada hari biasa, saya berpenampilan normal. Tiada pakaian yang glamor atau dandanan rambut seperti yang khalayak lihat saya sewaktu membuat persembahan.
Bagaimanakah reaksi peminat tentang imej yang anda tampilkan?
Setakat ini ramai yang memberikan maklum balas positif dan menyukai penampilan saya, tetapi tidak dinafikan ada segelintir pihak yang kurang senang sehingga menuduh saya meniru artis lain. Lagipun saya perlu tampilkan sesuatu kelainan dalam setiap persembahan yang dilakukan. Apa yang boleh saya katakan, saya lakukan ini bersebab. Ia berkaitan dengan karier sebagai seorang penghibur.
Berkenaan dengan cerita peribadi pula, apakah status hubungan anda dengan Akim sekarang?
Setakat ini hubungan kami masih lagi berjalan seperti biasa, cuma saya berharap agar cerita peribadi saya tidak terlalu digembar-gemburkan. Biarlah orang lebih fokus kepada cerita mengenai kerjaya saya sahaja. Kalau ditanya tentang kahwin pula, buat masa ini saya memang masih belum bersedia ke arah itu lagi. Kalau sudah berjumpa dengan pasangan yang sesuai, saya akan beritahu kepada semua orang.
Bagaimanakah perkembangan terkini kerjaya anda?
Pada bulan Ogos lalu saya baru sahaja selesai merakamkan 10 buah lagu untuk album baharu dan kini masih lagi dalam proses untuk menyiapkan kulit album. Kalau ikut perancangan ia sepatutnya dilancarkan pada bulan hadapan. Bagaimanapun, saya terpaksa menundanya kerana mahu memberi fokus untuk saingan Anugerah Juara Lagu Ke-28 (AJL 28). Mungkin selepas AJL 28 nanti barulah saya fokus kepada album tersebut.
Apakah yang istimewanya untuk album baharu anda itu nanti?
Dalam album tersebut, terdapat sebuah lagu yang menampilkan kolaborasi saya dengan kumpulan terkenal Indonesia iaitu Smash menerusi lagu berjudul Hello.
Mungkin ramai yang sudah tahu bahawa Smash ini merupakan satu kumpulan yang cukup terkenal di negara asal mereka dan ini merupakan satu kolaborasi yang unik dan berharap lagu tersebut dapat diterima peminat di sana.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP