Loading...
Tuesday, May 13, 2014

Nurul & Ning: Kasih Ibu


ARTIS MELETOP

Nurul & Ning: Kasih Ibu



Sempena sambutan Hari Ibu, SELEBRITI menggandingkan dua penyanyi terkenal, Ning Baizura, 39, dan Nurul Wahab, 37, bersama putera masing-masing.

Seperti dijanjikan, Nurul tiba di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur tepat jam 3.30 petang bersama buah hatinya Zachary Depp, 7 bulan, manakala Ning menyusul kemudian berikutan ada urusan penting perlu diselesaikan terlebih dulu.

Zachary atau panggilan manjanya Zach tenang dalam pelukan Ning, malah ketika dipakaikan baju untuk sesi bergambar, dia langsung tidak merengek.

Seakan-akan memahami kerja ibunya, si kecil ‘sporting’ sepanjang sesi fotografi. Kalau pun merengek kerana mahu menyusu.




(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

Suasana tenang berubah menjadi ‘havoc’ sebaik saja Ning tiba. Keletah puteranya Ryan Sky Dalton, 15 bulan, menggamatkan suasana. Dialah ‘superstar’ hari itu.



Lincah berlari ke sana-sini, malah pandai mengusik. Sesekali dia mengagah Zach.

“Tengoklah tu, Ryan memang suka mengusik. Dulu Zach mena-ngis jika nampak Ryan, tetapi nampaknya dia dapat menyesuaikan diri,” kata Ning ketawa melihat gelagat Ryan.

Kongsi Ratu Pop dan R&B Malaysia ini, sejak kelahiran Ryan, hari-hari ditempuhi memang kecoh. Cinta hatinya bayi yang ceria, kelakar, kaya dengan senyuman dan suka ketawa.

Sejak boleh berjalan, ada saja perkara baru mahu diteroka Ryan, malah kebelakangan ini perlu lebih peka kerana anak sulungnya suka memanjat.

“Saya seronok melayan Ryan. Kalau keluar bekerja, pasti terasa rindu. Sampai saja di rumah, dia peluk dan cium saya. Sebagai ibu, memiliki zuriat satu kepuasan dan kenikmatan.

“Dia anak yang baik dan pandai ambil hati. Kalau kena marah, dia akan senyum dan reaksi itu automatik buat saya rasa sejuk hati. Ryan tidak pernah meragam apabila bangun tidur, sebaliknya dia senyum.

“Kebelakangan ini dia makin lasak. Kalau saya seorang, memang tak terdaya sebab dia tidak duduk diam. Ada saja benda nak buat, sedar-sedar dah panjat itu panjat ini. Saya bertuah kerana ibu dan pembantu menjaga Ryan.

“Omar kini terikat dengan komitmen kerja dan banyak berulang-alik ke Kazakhstan. Paling lama ke sana, dua minggu dan kalau ada di rumah, dia suka manjakan Ryan,” kata Ning.

Meskipun membesar dengan dua budaya (Melayu dan Inggeris), kata Ning, Ryan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak Melayu lain.

Tiada apa yang berbeza kerana dia dan suami, Omar Shariff Christopher Layton Dayton menerapkan budaya Melayu dalam jiwa anak mereka.

“Rupa dan fizikal Ryan memang lebih mirip bapanya tetapi sikapnya banyak ikut saya. Kalau nak tahu, dia lidah Melayu. Bubur nasi mesti letak ikan bilis dan setiap hari dia nak makan keropok udang. Jadi kena selalu ada bekalan keropok udang di rumah. Kalau ke Melaka, saya akan beli banyak.

“Pembesarannya memang cepat. Saiz badannya pun lebih besar daripada bayi sebaya. Dia kini pakai baju untuk kanak-kanak usia tiga tahun.

“Setiap Isnin, Rabu dan Sabtu, saya hantar dia ke gim kanak-kanak. Biar dia bina skil fizikal. Selepas usia dua tahun, saya akan pertimbangkan untuk hantar dia ke kelas Kumon dan mungkin muzik, selain dedahkan dia dengan kelas mengaji,” katanya.


Beli insurans, ASB sebaik anak lahir

Nurul menyifatkan kehadiran Zach kurniaan terindah buatnya dan Eric Depp. Terasa seperti pengalaman baru meskipun dia pernah melahirkan zuriat hasil perkahwinan pertama, 15 tahun lalu.

Katanya, kini ada beraneka barangan bayi yang jauh lebih canggih dan menarik berbanding dulu.

“Mereka yang sudah lama tidak ada anak kecil akan faham perasaan saya. Banyak benda dah lupa, tetapi Ning banyak bantu saya.

“Dia memang suka kongsi maklumat apa yang terbaik untuk anak. Dia rapat dengan anak saya, malah banyak mainan dan baju Ryan dia beri kepada Zach.

“Bila pandang Zach, saya rasa seperti tak percaya ada anak kecil. Seiring usia, saya kini lebih matang dan sabar membesarkan anak kecil. Rasa lebih terurus dan teratur,” katanya.

Cerita Nurul, Zach tidak banyak ragam dan senang dijaga. Kalaupun menangis hanya ketika lapar atau mengantuk. Memandangkan ini pengalaman pertama Eric menimang cahaya mata, mereka sepakat menguruskan Zach tanpa bantuan pembantu rumah atau pengasuh. Andai ada urusan kerja, mereka bergilir-gilir menjaga Zach.

“Kehidupan kami suami isteri semakin sibuk. Kami tidak ada pembantu rumah, tetapi tiga kali seminggu upah orang datang cuci rumah. Dia juga jaga Zach jika kami terpaksa keluar bekerja. Itupun jarang-jarang.

“Eric mahu Zach membesar di tangan kami. Saya hormati keputusannya, malah tidak kisah kerana ketika lahirkan Ayu dulu pun saya jaga sendiri sehingga usianya dua tahun.

“Zach bangun awal pagi dan tidur balik selepas sarapan. Apabila bangun, dia akan main sendiri. Memang senang jaga dia,” katanya.

Menyedari perancangan kewangan sangat penting untuk masa depan Zach, pasangan romantik ini membuka akaun Amanah Saham Berhad (ASB) dan membeli insurans sebagai perlindungan sebaik Zack lahir.

Kata Nurul, wang simpanan itu hanya boleh digunakan Zach apabila usianya 21 tahun.

“Bagi saya, perkara ini sangat penting. Soal pendidikan, Eric tidak tekankan sangat, sebaliknya lebih mengutamakan penerapan nilai hidup buat Zach. Dia mahu Zach berdikari, pandai bawa diri dan menghormati orang sekeliling.

“Zach lahir dalam budaya Melayu dan Perancis, jadi mana yang baik dalam dua budaya ini kami terapkan. Itu pendidikan awal yang kami beri pada Zach.

“Insya-Allah selepas ini saya akan masukkan Zach ke pusat gim yang Ryan pergi,” katanya.



0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP