Loading...
Tuesday, May 6, 2014

Rossa kikis imej seksi sebelum berhijab


ARTIS MELETOP

Rossa kikis imej seksi sebelum berhijab


Rossa

DIVA pop Indonesia, Datuk Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handayani merupakan nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan bukan sahaja di negara seberang malah di Malaysia.

Apatah lagi dengan vokal mantap yang dimiliki serta lagu-lagu terkenal yang dilantunkannya seperti Tegar, Aku Bukan Untukmu, Atas Nama Cinta dan Takdir Cinta sangat meruntun perasaan dan meresap ke dalam jiwa setiap orang yang mendengar.

Selebriti jelita ini pernah menimbulkan kontroversi pada tahun lalu apabila cuma mengenakan hijab dalam tempoh yang sekejap sekembalinya dari menunaikan haji di Tanah Suci pada tahun 2012.

Tindakan Rossa dikecam banyak pihak dan mendapat kritikan peminat apabila dia seolah-olah mempersendakan pemakaian hijab yang sepatutnya wajib bagi setiap wanita beragama Islam.

Rossa bagaimanapun mengambil kritikan tersebut sebagai teguran yang baik dan tidak menyalahkan mereka yang mencercanya gara-gara isu tersebut.

Jelasnya, dia masih dalam usaha mempraktikkan pemakaian hijab sepenuhnya dan memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Kata-katanya dibuktikan melalui perubahan pakaian yang lebih sopan berbanding imejnya yang berani dan seksi pada suatu ketika dahulu.




Walaupun masih belum berhijab sehingga kini, Rossa tertarik dengan imej seorang Muslimah dan impian untuk bertudung sepenuhnya tidak pernah hilang.

Sanjungan penyanyi Wanita Yang Kau Pilih ini terhadap imej Muslimah turut dapat dilihat dengan sokongannya terhadap protegenya dalam program X-Factor Indonesia, Fatin Shidqia Lubis atau fatin.

Di saat ramai orang berpendapat pemakaian hijab akan membataskan kerjaya seni seseorang artis, mentor kepada juara rancangan realiti Indonesia yang diadaptasi dari X Factor Amerika itu tidak menganggap penampilan akan menjadi penghalang dan mengehadkan bakat seseorang.

Ternyata sokongannya terbukti apabila Fatin menyerlah sebagai artis baharu Indonesia yang berhijab dan mengenakan imej Muslimah serta berjaya menarik peminat untuk memilihnya sebagai juara.

Perkara tersebut dianggap suatu fenomena yang baharu lantaran tidak ramai penyanyi dari negara seberang yang mengenakan tudung, terutamanya golongan artis muda.

Terima kereta mewah

Seperti yang didedahkan dalam satu portal hiburan Indonesia, baru-baru ini Rossa telah menerima hadiah sebuah kereta sport Itali, FIAT 500 Sport yang dianggarkan berharga 365 juta rupiah oleh seorang rakan akrab lelakinya.

Bekas isteri anggota band Padi, Yoyo ini mengakui berasa teruja menerima kereta tersebut dan tidak menafikan mendapat hadiah mahal tersebut kerana disukai oleh jejaka tersebut.

“Sebelum ini saya dihantar oleh pemandu jika ingin ke mana-mana. Sekarang sudah ada kereta ni, senanglah juga nak hantar anak pergi sekolah!

"Saya langsung tak tahu akan diberi kejutan sebegini kerana kereta ini dihadiahkan ketika saya sedang menjalani penggambaran!” ujar ibu kepada Rizki Langit Ramadhan yang tidak menyembunyikan kegembiraan mendapat hadiah tersebut.

Meskipun telah mendapat hadiah mewah seperti itu, pelantun Nada-Nada Cinta ini masih tidak mahu menceritakan perihal hubungannya yang telah berputik dengan jejaka yang masih dirahsiakan itu.

Dia turut mengakui hatinya masih belum terbuka sepenuhnya untuk menerima pasangan baru dalam hidup.

Rossa menyifatkan pemberian kereta dari jejaka tersebut sebagai pepatah “orang berbudi kita berbahasa”.

“Orang dah bagi hadiah, saya terima sahaja. Tak bermakna saya sudah buka hati saya untuk mana-mana lelaki untuk bercinta lagi,” katanya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP