Loading...
Monday, June 30, 2014

Najwa Mahiaddin Tidak Kecil Hati


ARTIS MELETOP

Najwa Mahiaddin Tidak Kecil Hati



Nama Zee Avi dan Yuna kini disebut-sebut sebagai penyanyi kelahiran Malaysia yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat. Namun begitu, nama penyanyi 'Got To Go', Najwa Mahiaddin seakan dilupakan sedangkan dia juga sedang melebarkan sayapnya di Amerika Syarikat seperti mereka.

Peluang bertemu dengan Najwa, membuka peluang kepada ARTISMELETOP untuk bertanya sama ada dia jauh hati atau tidak selesa dengan situasi yang dihadapinya.

"Saya tidak jauh hati. Saya pergi ke Amerika bukan kerana ingin menjadi penyanyi rakaman di sana atau sebagainya. Saya pergi kerana ingin menyambung pelajaran. Jadi bagi saya, jika orang tidak melihat saya seperti mereka (Yuna & Zee Avi), itu adalah betul.

Pada saya, cukup sekadar jika saya pergi ke sana dan balik ke sini semula, masih ada peminat yang tidak lupa kepada saya dan memberi maklumbalas kepada saya. Sebagai contoh, mereka mahu tahu perkembangan muzik saya dan bertanya bila saya mahu keluar dengan produk baru. Perkara itu sudah cukup buat saya bersyukur," ujar Najwa ketika ditemui di showcase bersempena dengan pelancaran album keduanya, 'Aurora' baru-baru ini.

Bercakap mengenai 'Aurora', penyanyi lagu 'Sweet October' ini memberitahu album terbarunya ini menampilkan sisi matangnya sebagai seorang pemuzik berbanding dengan albumnya pertamanya dahulu.



"Album kedua saya ini menunjukkan kematangan saya sebagai seorang pemuzik dan penyanyi. Berbeza dengan album pertama, 'Innocent Soul' yang lebih kepada muzik R&B dan soul, 'Aurora' menampilkan nuansa eletronik dalam lagu R&B dan soul. Sebagai penyanyi, ini menjadi tanda perkembangan muzik saya dan saya sendiri mahu bergerak ke hadapan dengan muzik yang saya bawakan," ujar Najwa.

Istimewa dan uniknya album ini, Najwa turut memuatkan sebuah lagu 'cover version' iaitu lagu asli yang pernah dipopularkan oleh Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza, 'Seri Mersing'. Jadi, mengapa agaknya Najwa memasukkan lagu tersebut dalam album terbarunya ini?

"Lagu 'Seri Mersing', saya masukkan dalam album ini kerana ada unsur-unsur tradisional, supaya generasi muda boleh tahu dan menghargai karya-karya lama. Sususan muzik saya gubah lebih kepada bunyi eletronik, tetapi saya masih mengekalkan cara dan lenggok nyanyian lagu asli.

Satu sebabnya adalah kerana saya berasal dari Johor. Tetapi sebenarnya, sebab utama adalah kerana lagu tersebut memang sudah lama melekat dengan saya, semenjak saya kecil. Saya sering mendengar lagu 'Seri Mersing'. Lagu tersebut memang terus terlintas dalam fikiran saya dan sebati dengan saya," katanya lagi.

Mengandungi lima buah lagu seperti 'Lover', 'Wonderland' dan 'Seri Mersing', peminat-peminat Najwa boleh mendapatkan album 'Aurora' dengan pembelian menerusi iTunes atau layari www.najwamusic.com untuk informasi lanjut.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP