Oh! Dakwah
SIAPAKAH YANG MEMULAKAN SOLAT TARAWIH BERJEMAAH?
SIAPAKAH YANG MEMULAKAN SOLAT TARAWIH BERJEMAAH?
Solat tarawih berjemaah yang pertama dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Sesiapa yang membaca hadis, akan menemui hal ini. Daripada Aishah r.aha:
“Sesungguhnya RasululLah s.a.w keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda. Paginya orang ramai pun bercerita mengenainya. Maka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua), baginda pun solat, mereka solat bersama baginda. Paginya orang ramai pun bercerita. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. RasululLah s.a.w keluar bersolat, mereka solat bersama baginda. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan orang yang hadir. (Baginda tidak keluar) sehinggalah baginda keluar pada solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, baginda bersyahadah, dan bersabda amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kamu, tetapi aku bimbang difardukan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu. Sehinggalah RasululLah s.a.w wafat dalam keadaan begitu (tiada jamaah tarawih di masjid)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini dengan jelas menunjukkan Nabi s.a.w yang memulakan solat qiam Ramadan atau disebut sebagai tarawih secara berjemaah dengan satu imam. Bukan ‘Umar r.a yang memulakannya. Namun baginda berhenti kerana bimbang ia menjadi kefarduan disebabkan simpati baginda kepada umat. Ini kerana zaman tersebut adalah zaman wahyu diturunkan atau zaman pensyariatan. Baginda tidak berhenti kerana ia salah atau tidak diizinkan, namun berhenti bimbangkan Allah fardukan kepada umat sedangkan umat ini mungkin ada yang tidak sanggup.
Maka dari hadis ini, solat tarawih berjemaah adalah sunnah yang jelas. Sahabat selama tiga hari telah solat di belakang baginda. Jika tidak kerana kebimbangan itu, tentu baginda meneruskannya. Apabila baginda wafat kebimbangan itu tiada lagi. Wahyu sudah terputus. ‘Umar pun menghidupkannya kembali. Pada zaman Abu Bakr, terlalu singkat masanya, dan mungkin beliau tidak berkesempatan menguruskan hal tersebut disebabkan berbagai kesibukan seperti kes murtad dan seumpamanya, atau beliau tidak melihat keperluan untuk itu.
0 comments:
Post a Comment