ARTIS MELETOP
Zarul, Marsha ekspresi Satu Rasa
BIARPUN berbeza generasi, keserasian antara Zarul dan Marsha tetap dapat dilihat menerusi lagu Satu Rasa.
ZARUL dan Marsha merupakan dua nama yang datang daripada rangka masa berbeza. Bagi Zarul, biarpun karier nyanyiannya pernah terhenti tatkala Umbrella tidak lagi mampu menjadi tempat berteduh. Namun itu bukan bermaksud minat dan cintanya dalam bidang muzik terkatup sama.
Atas semangat yang masih membara itu jugalah yang membawa pelantun lagu Bukalah Hatimu itu kini muncul semula. Masih diri Zarul yang sama, cuma bezanya kudrat yang ada padanya dilihat lebih deras alirannya.
Berbekalkan rasa cinta pada muzik itu sendiri juga, Zarul tekad mengemudi masuk semula dalam lembah seni suara secara solo.
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Terus memacu kecintaan sebagai penyanyi, lelaki berumur 41 tahun itu memilih untuk tampil dengan naskhah baharu hasil ciptaan komposer Akid dan lirik oleh Poji.
Bergandingan buat pertama kali dengan generasi pelapis muda, Marsha, keserasian mereka diterjemahkan menerusi lagu berjudul Satu Rasa. Hasil paduan dua suara yang disatukan dalam alunan melodi yang sama itu nyata menjanjikan keunikan tersendiri buat pengikut mereka.
Sensasi Bintang sempat mendekati Zarul dan Marsha bagi berkongsi cerita mengenai naskah terbaharu mereka yang sudah mula dimainkan di corong-corong radio.
Bagaimana tercetusnya idea untuk berduet dalam lagu Satu Rasa?
ZARUL (Z): Saya peroleh lagu itu sejak tahun lepas lagi. Waktu mula-mula dengar demonya, saya dapat rasakan ia amat sesuai sekiranya dinyanyikan secara berduet. Apabila diberi kepada Marsha, saya tak perlu tunggu lama, dia terus bersetuju untuk bernyanyi bersama saya.
MARSHA (M): Ya, pada mulanya, sewaktu demo lagu itu diberikan kepada saya, awal-awal lagi saya sudah tertarik dengan melodi dan liriknya. Saya jadi semakin tertarik dengan penceritaan dalam lagu itu. Apabila kami cuba menyanyikan bersama, nada suara saya dengan Zarul tidak jauh beza dan suara kami boleh serasi.
Adakah kalian berjudi nasib melalui gabungan antara muka baharu dan lama?
Z: Mengapa tidak untuk kita lakukan jika gandingan ini memberikan satu impak yang lebih baik kepada industri muzik. Itu satu senario yang sihat untuk dilaksanakan.
M: Masing-masing ada kelompok peminat sendiri. Zarul dengan pengikutnya sejak 1990-an lagi, dan saya mungkin dengan pengikut saya yang rata-ratanya terdiri daripada generasi muda zaman sekarang. Jadi, apabila bergabung suara dalam satu lagu, secara tidak langsung dapat kumpulkan pendengar daripada dua kelompok yang berbeza. Sekurang-kurangnya pendengar juga boleh bertambah.
Boleh ceritakan sedikit pengalaman pertama kali bekerjasama?
Z: Bagi saya, Marsha seorang yang mudah untuk bekerjasama. Saya berasa gembira dan selesa dapat bekerjasama dengannya. Daripada aspek vokal, nyanyian Marsha ada kekuatannya tersendiri. Cara nyanyiannya membuatkan lagu itu jadi sedap. Kami ambil masa kira-kira lima jam semasa proses rakaman.
M: Kali pertama berjumpa Zarul ialah sewaktu rakaman pada bulan Februari lalu, saya sebenarnya berasa agak gementar. Tangan saya seram sejuk semasa hendak menyanyi depan dia. Bukan apa, sebelum ini pernah dengar lagunya sahaja, tetapi orangnya belum pernah jumpa dan kenal secara dekat. Saya ada rasa malu. Mahu keluarkan suara pun segan-segan. Tapi, perasaan itu sekejap sahaja. Apabila dah kenal, semua jadi okey.
Apakah kekuatan yang ada pada lagu Satu Rasa itu jika dibandingkan dengan lagu-lagu yang lain?
Z: Lagu itu bergenre balada. Sekarang ini, saya rasa zaman lagu berentak balada boleh dikatakan memang lebih digemari umum. Dari segi liriknya, ia mudah untuk difahami. Ia tidak mengandungi maksud yang tersirat sehingga membuatkan orang perlu berfikir apa yang cuba disampaikan dalam lagu itu.
M: Menyentuh segi melodinya pula, bagi saya alunannya mudah menyentuh jiwa. Tambahan pula, ia berkaitan hubungan cinta yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Liriknya itu mungkin mudah dekat kepada pendengar.
Setakat ini, bagaimana kalian melihat sambutan yang diterima terhadap lagu itu?
Z: Lagu Satu Rasa sudah dimainkan di stesen-stesen radio tempatan seperti Sinar FM. Lagu ini belum ada klip video. Bagaimanapun, perancangan untuk merakamkan klip video itu juga memang sudah ada.
M: Kawan-kawan yang mendengar lagu itu yang saya kongsikan di laman-laman sosial, masing-masing kata lagu itu sedap didengar. Saya mengharapkan lagu ini dapat mendapat tempat di hati peminat. Bagi saya, lagu itu juga boleh dikatakan sebagai hadiah buat peminat Zarul yang selama ini tertunggu-tunggu kemunculan semula dirinya.
0 comments:
Post a Comment