ARTIS MELETOP
Hazama tenang hadapi kontroversi
Hazama
HAZAMA, antara penyanyi solo lelaki yang menyerlah dalam industri seni tanah air setelah menjuarai program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan pada 2011.
Malah, populariti pemilik nama penuh Hazama Ahmad Azmi ini semakin melonjak apabila lagu-lagunya sering menjadi kegemaran ramai, ditambah pula dengan vokalnya yang lunak dan meresap ke dalam jiwa setiap pendengar.
Namun, lumrah menjadi insan terkenal, penyanyi popular dengan lagu Tanya Sama Pokok ini, tidak terkecuali daripada terpalit dengan kontroversi yang membabitkan dirinya.
Baru-baru ini, timbul desas-desus mengatakan penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur ini ‘melenting’ apabila ditegur peminat melalui komen di laman sosial Instagram apabila memuat naik fotonya bersama kekasihnya, Genervie Kam, seorang pemuzik
wanita berbangsa Cina.
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Ketika diajukan soalan berkaitan hal tersebut, Hazama hanya ketawa dan tidak menganggap perkara itu serius kerana langsung tidak marah seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Tidak seperti sesetengah artis lain, Hazama tenang apabila berhadapan provokasi mahupun cerita kontroversi kurang enak tentang dirinya.
“Benda ini timbul apabila ada yang cakap saya berang ditegur peminat melalui komen di Instagram. Walhal sebenarnya, saya tak melenting, cuma saya balas komen orang menegur tu dengan nyatakan saya kurang gemar kalau orang komen setakat cari salah saya.
“Takkan saya sebagai artis tak ada hak nak bersuara langsung? Tapi saya balas okey, tak ada marah-marah pun. Saya cuma nak ‘educate’ orang supaya jangan gunakan media sosial untuk mencari salah orang lain, itu sahaja,” jelasnya.
Tambah Hazama, dia melihat perkara tersebut sebagai hikmah buat dirinya sendiri.
Tidak berakhir di situ, Hazama turut dikecam segelintir peminat apabila memuat naik gambar kakinya di laman sama.
Pun begitu, pelantun lagu Cinta Teragung ini menyatakan perkara tersebut bukanlah sesuatu yang melampau kerana dia tidak menyentuh sensitiviti atau menyakiti hati sesiapa.
Bakal menginjak usia 30 tahun September ini, pastinya Hazama tidak lari daripada diajukan soalan tentang perkahwinan, apatah lagi jejaka ini sudah mempunyai kekasih dan tidak menyembunyikan perkara tersebut.
Tidak dinafikan, ada peminat mempersoalkan pilihan hati penyanyi kesayangan mereka ini sehingga menyatakan perasaan kurang senang apabila Hazama tidak memilih wanita Melayu sebagai kekasihnya.
“Benda ni saya tak boleh nak komen sebab ia subjektif. Memang saya banyak kenal dan berkawan dengan wanita Melayu, tapi soal hati dan perasaan ini bukan kita boleh tentukan.
“Saya tak boleh nak marah kalau orang tak suka saya bercinta dengan teman wanita saya sekarang. Kalau itu jodoh yang Tuhan tentukan, saya terima dengan reda sahaja,” ujar Hazama.
Dia tidak menafikan ada membuat perancangan menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat ini, namun perbezaan antara dia dengan kekasihnya membuatkan mereka memerlukan lebih masa merencana kehidupan bersama ke fasa seterusnya.
Pun begitu, dia yakin dengan perhubungan tersebut dan akan berusaha melangkah ke tahap yang lebih serius.
“Saya sentiasa yakin dengan apa yang saya buat. Kalau saya tak yakin, saya tak teruskan. Saya serahkan kepada jodoh. Insya-ALLAH, kalau ada jodoh, adalah.” katanya.
Anak emas Ahmad Idham?
Selain menyanyi, bakat Hazama dalam bidang lakonan tidak boleh disangkal apabila lakonannya menyerlah dan diterima ramai dalam telefilem dan filem antaranya Ady Valentino, Apa Celop Toqq, Lari dan yang terbaharu, Hantu Nan Sempit.
Dek kerana sering membintangi naskhah arahan pengarah berkaliber, Ahmad Idham, ada pihak melabelkan Hazama sebagai ‘anak emas’ pengarah tersebut.
“Sebelum ni ada juga orang cakap saya ni anak emas Ahmad Idham. Timbul cerita anak emas ni mungkin sebab sebelum ni saya banyak berlakon di bawah arahan Ahmad Idham sahaja.
“Mungkin di mata orang lain nampak begitu, tapi sebenarnya tak ada isu anak emas pun. Saya rasa Ahmad Idham melayan artis atau pelakon dia sama rata sahaja. Dan saya tak kipas dia, ya!” ujarnya sambil berseloroh.
Tambah Hazama, dia senang bekerja dengan Ahmad Idham kerana pengarah itu banyak mencurahkan ilmu lakonan kepadanya.
“Saya memang tiada asas berlakon, Abang Idham yang banyak ajar dan gilap lakonan saya. Dia tahu kelemahan saya dan apa yang boleh saya buat. Secara tidak langsung membantu saya bawa watak dengan baik.
“Saya rasa, Ahmad Idham selesa bekerja dengan saya dan saya pun selesa bekerja dengan dia. Kami tak selalu berjumpa pun, cuma berjumpa bila ada kerja sahaja.
“Jadi, mungkin orang salah ertikan saya sebagai anak emas dia sebab peluang lakonan banyak datang dari dia. Saya senang menerima teguran dan ilmu daripada Ahmad Idham. Kalau ada apa-apa perkara berkaitan lakonan, dia yang banyak ajar saya,” ujarnya.
Sering membawa watak komedi, Hazama menyatakan genre itu kena dengan jiwanya dan lebih mudah untuk dilakonkan.
“Saya memang suka cerita komedi sebab genre tu ringan. Kalau cakap pasal hiburan, komedi paling dekat selain nyanyian.
“Bagi saya, komedi ini lebih senang untuk dilakonkan berbanding watak-watak sedih atau yang memerlukan saya untuk menangis.
“Lawak dalam filem-filem Abang Idham pula terkandung dalam jalan ceritanya sendiri tanpa perlu kita terlalu mencuba untuk menjadi kelakar. Jadi, sudah tentu saya selesa untuk membawakannya,” katanya.
Pun begitu, Hazama masih mendahulukan kerjaya nyanyian kerana bidang itu menjadi fokus utamanya dalam dunia seni.
“Saya jadikan lakonan ini sebagai satu cabang baru, tapi saya masih fokus kepada nyanyian sebagai bidang saya yang utama.
“Bagaimanapun, bidang lakonan banyak bantu saya dalam persembahan nyanyian apabila ia meningkatkan taraf keyakinan saya di samping membantu dalam penyampaian lagu,” katanya.
Lagu meletop!
Mungkin sudah tersurat rezeki buat Hazama apabila lagu yang dinyanyikannya mendapat sambutan dan sering diputarkan di stesen radio.
Bersyukur dengan perkara itu, Hazama menyatakan dia mempunyai strategi tersendiri dalam memastikan lagu nyanyiannya mendapat sambutan dan disukai oleh orang ramai.
“Sebelum masuk AF, saya tak ada ilmu bidang nyanyian. Tapi selepas tamat program itu, saya kaji apa lagu yang orang suka dengar dan apa yang orang kurang suka dengar.
“Strategi dari segi masa lagu itu dikeluarkan sangat penting. Contoh kalau masa negara sedang dilanda tragedi MH370, takkan nak keluarkan lagu yang ceria-ceria pula kan?
“Selain itu, saya juga banyak dibantu pihak pengurusan. Jadi, kalau lagu saya meletop, itu bukan usaha saya seorang tapi dari komposer, penulis lirik dan pihak pengurusan,” katanya.
Ujar Hazama lagi, terdapat lagu yang dia sendiri tidak menyangka akan menjadi hit dan mendapat sambutan hangat.
“Lagu yang paling saya tak sangka akan meletop adalah Relakan Jiwa. Saya cuma dilamar untuk menyanyi lagu tersebut sebagai lagu tema sebuah drama, sekali lagu tu jadi antara lagu paling lama dimainkan stesen radio!
“Tapi lagu nyanyian saya yang paling saya suka adalah Penglipur Lara, kerana saya rasa lagu itu dekat dan menggambarkan diri saya,” katanya.
Hazama turut berkebolehan mencipta lagu dan menulis lirik. Lagu terbaharu yang mendapat sentuhannya berjudul Malaikat, hasil kerjasama dengan Omar K dan dimuatkan sebagai lagu tema filem Hantu Nan Sempit.
Tak lupa diri
Kunjungan Hazama ke Kumpulan Media Karangkraf bagi sesi fotografi bersama Zass ketika jejaka ini baru sahaja pulang dari Boston, Amerika Syarikat, membuktikan penyanyi ini masih sama seperti dahulu, iaitu tetap rendah diri dan bersahaja walaupun sudah semakin popular.
Akui Hazama, dia sentiasa menjadi dirinya sendiri dalam apa jua perkara dan tidak berniat untuk lupa diri walaupun semakin dikenali dan menempah nama dalam hiburan tempatan.
“Saya jadi artis hanya bila saya perlu buat persembahan atau bekerja. Saya sekadar orang biasa yang tak rasa diri ni popular.
“Alhamdulillah, saya suka kalau orang minat saya sebab lagu-lagu saya. Saya jadi artis pun hasil dari undian orang ramai, jadi saya tak nak berlagak diva atau lupa diri,” katanya.
Justeru, tidak hairanlah penyanyi yang popular dengan genre Pop Rock ini dikagumi ramai dan mempunyai banyak peminat, apatah lagi gelagatnya yang lucu dan bersahaja membuatkan orang selesa dan senang mendampinginya.
0 comments:
Post a Comment